SUARA BELIA

Literasi Digital Benteng Pertahanan Belia Dalam Era AI

14/07/2025 10:57 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Sharran Loganadzan

Transformasi digital yang pesat mendedahkan kerentanan baharu. Ia termasuk lonjakan mendadak dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi pintar, dan jaringan maklumat tanpa sempadan. Malaysia turut melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif seperti Dasar Pendidikan Digital, Pelan Induk AI Kebangsaan (Malaysia AI Road Map 2021–2025), penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) serta program-program berimpak tinggi seperti Belia Mahir Digital dan MyDigitalMaker. Namun, kemajuan teknologi ini turut hadir dengan cabaran baharu yang semakin kompleks dan yang paling terkesan ialah golongan belia.

Celik Teknologi, Bijak Menilai

Ini kerana, golongan belia umumnya mempunyai akses yang lebih luas kepada teknologi dan kemahiran digital berbanding kumpulan umur lain. Dengan bilangan pengguna Internet yang semakin meningkat, keupayaan membezakan fakta daripada fiksyen kini menjadi kemahiran penting. Atas dasar kesedaran ini, literasi digital bukan lagi kemahiran tambahan, tetapi keperluan asas. Tanpa kefahaman yang kukuh tentang etika digital, keselamatan siber, dan implikasi AI, belia akan menjadi pengguna pasif, mudah dipengaruhi oleh maklumat palsu, eksploitasi data peribadi dan manipulasi algoritma. Dalam mendepani masyarakat pintar 5.0, kita bukan hanya memerlukan belia yang celik teknologi, tetapi juga bijak menilai, bertindak dan beretika dalam dunia digital. Pada pengamatan penulis, golongan belia perlu berani tampil sebagai barisan hadapan dan menjadi pemimpin dalam memerangi maklumat palsu melalui program literasi media dan pembudayaan inovasi teknologi.

Pembangunan Belia

Statistik terkini jelas memaparkan potensi besar yang dimiliki oleh lapan kumpulan sasaran belia Malaysia bertepatan dengan Dasar Belia Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM, 2024), sebanyak 84 peratus belia Malaysia menggunakan Internet dan telefon pintar setiap hari, manakala 48 peratus menyatakan minat untuk menjadikan bidang teknologi sebagai kerjaya utama. Tamsilnya, sebagai pereka perisian, penganalisis data, pakar keselamatan siber dan jurutera kecerdasan buatan.

Senario ini menunjukkan keterbukaan dan kesediaan mereka untuk menyertai ekonomi digital. Lebih menarik, tiga daripada lima syarikat pemula AI di Malaysia (NexMind, Kommu dan Aigro) diasaskan oleh belia di bawah usia 35 tahun, sekali gus membuktikan daya keusahawanan dan kreativiti generasi muda. Sehingga kini, lebih 36,000 belia telah dilatih dalam bidang teknologi melalui pelbagai inisiatif kerajaan.

Sasaran lebih besar pula diletakkan melalui pendekatan ‘Whole-of-Government’ iaitu melahirkan 100,000 tenaga mahir AI menjelang 2030. Tegasnya, semua prakarsa ini membuka ruang besar untuk pembangunan belia secara positif, namun ia juga menuntut pengukuhan nilai dan prinsip dalam dunia digital.

Pelan Tindakan Literasi Digital, Belia Madani

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam Konvensyen Belia Digital 2025 menyifatkan transformasi ini sebagai satu “lonjakan paradigma” bukan hanya dari aspek teknikal, tetapi juga nilai kemanusiaan. Seiring kemajuan teknologi, belia harus memiliki "kompas moral digital" yang jelas. Ini termasuklah aspek keselamatan siber, privasi data, tanggungjawab sosial dalam media digital, serta keupayaan untuk mengenal pasti maklumat palsu.

Sebagai kesinambungannya, penganjuran aneka program literasi digital oleh badan-badan gabungan MBM seperti Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBTM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Junior Chamber International (JCI Malaysia) dan Majlis Belia Negeri (MBN), menagih komitmen dari pelbagai pihak sehingga akar umbi.

Penulis mencadangkan agar satu "Pelan Tindakan Literasi Digital, Belia Madani" dibangunkan secara inklusif dengan penglibatan langsung belia pelbagai latar belakang, termasuk dari kawasan luar bandar dan komuniti minoriti. Pelan ini harus merangkumi modul literasi digital berasaskan nilai, pembangunan bakat AI secara etika, serta garis panduan keselamatan siber yang mudah diakses oleh golongan belia.

Kempen Internet Selamat

Bukan itu sahaja, Rukun Negara, yang selama ini menjadi panduan kepada keharmonian negara, kini wajar diterjemahkan dalam ruang digital. Prinsip seperti "Kesopanan dan Kesusilaan" atau "Keluhuran Perlembagaan" bukan hanya untuk kehidupan nyata, tetapi perlu diangkat ke alam maya. Misalnya, tidak menyebar fitnah, tidak membuli siber, serta menghormati perbezaan pandangan dalam media sosial merupakan cerminan nilai Rukun Negara versi digital. Inisiatif seperti Kempen Internet Selamat (KIS) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah contoh usaha mempraktikkan prinsip Rukun Negara dalam konteks digital. KIS menekankan aspek keselamatan, kewaspadaan, dan tanggungjawab dalam penggunaan internet, sejajar dengan objektif Rukun Negara. Program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi secara beretika dan selamat, sekali gus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat digital Malaysia.

Literasi Digital Benteng Pertahanan

Kenyataan ini turut diakui oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dalam ucapannya sempena pelancaran Hari Belia Negara 2025, yang menyeru belia untuk menjadi “pengamal dan pemimpin yang beretika dan berjiwa rakyat” dalam ekosistem digital. Beliau menegaskan bahawa "AI tidak menggantikan manusia, tetapi memperkukuh keupayaan insan." Perkara ini senada dengan aspirasi Malaysia Madani yang diterjemahkan di dalam dokumen Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM) iaitu teknologi bukan menggantikan, tetapi memperkasa kehidupan manusia. Belia Malaysia mesti bersedia memegang peranan sebagai peneraju perubahan. Literasi digital adalah benteng pertahanan pertama dalam dunia yang sarat dengan maklumat, pengaruh dan cabaran siber. Kita tidak boleh membiarkan generasi ini terapung tanpa arah dalam lautan digital yang luas. Sebaliknya, kita harus membimbing mereka menjadi pelayar yang cekap, beretika, dan berpandukan nilai kebangsaan.

Kesimpulannya, era AI dan Masyarakat 5.0 bukan sekadar tentang robot, algoritma dan inovasi canggih. Ia tentang membina masyarakat yang bijak, berjiwa besar dan tidak lupa akar nilai kemanusiaan. Tuntas, di tengah-tengahnya, berdirilah belia sebagai penghubung antara teknologi dan tanggungjawab, antara data dan nilai, antara masa kini dan masa depan.

-- BERNAMA

Sharran Loganadzan ialah Felo Penyelidik di ASEAN Foundation dan Penerima Anugerah Remaja Perdana Peringkat negeri Pulau Pinang (Tempat Kedua, Kategori Individu Lelaki) 2025.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)