TINTA MINDA

Tinggi Hutang, Tipis Harapan? Mencari Jalan Keluar Dari Krisis Isi Rumah

21/07/2025 01:15 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Aslinda Abu Seman

Malaysia kini berdepan cabaran kewangan isi rumah yang semakin meruncing apabila jumlah hutang isi rumah terus meningkat secara konsisten. Menurut data rasmi Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah hutang isi rumah pada akhir Disember 2024 telah mencecah RM1.63 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), naik daripada RM1.57 trilion pada Jun 2024. Sebahagian besar hutang ini datang daripada pinjaman perumahan yang membentuk sekitar 60.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti oleh pinjaman kenderaan (13.2 peratus) dan pinjaman peribadi (12.4 peratus).

Walaupun aset kewangan isi rumah dianggarkan sekitar RM3.4 trilion (178.2 peratus daripada KDNK), dan aset cair masih melebihi 134 peratus daripada jumlah hutang, kebimbangan terhadap daya tahan kewangan isi rumah tetap wajar dipertimbangkan. Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa nisbah khidmat hutang (DSR) untuk pinjaman baharu telah meningkat kepada 41 peratus, menandakan sebahagian isi rumah membayar hampir separuh daripada pendapatan bulanan mereka kepada komitmen hutang.

Situasi ini diburukkan lagi oleh peningkatan penggunaan kemudahan kredit seperti pinjaman peribadi dan skim Buy Now Pay Later (BNPL). Walaupun sumbangan BNPL terhadap jumlah hutang isi rumah hanya sekitar 0.2 peratus atau RM2.8 bilion, ia telah mencatat transaksi bernilai RM10.67 bilion pada 2025 dengan lebih 5.1 juta pengguna aktif, dan dijangka terus berkembang sehingga RM18 bilion menjelang 2030. Menurut data, 56 pratus pengguna BNPL menggunakannya untuk keperluan harian, satu petunjuk kepada tekanan kos sara hidup yang semakin menekan.

Menurut statistik terkini Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sehingga Ogos 2025, pinjaman peribadi menjadi penyumbang utama kepada kebankrapan isi rumah, merangkumi 49.14 peratus daripada 35,714 kes kebankrapan yang direkodkan sejak 2019. Golongan berumur 35 hingga 44 tahun paling terjejas dengan 13,757 kes, manakala lebih 53,000 individu di bawah 30 tahun telah terperangkap dalam hutang bernilai hampir RM1.9 bilion, dengan pinjaman peribadi sebagai punca utama. Kebankrapan ini dikaitkan dengan pengurusan kewangan yang lemah, gaya hidup berhutang, dan kekurangan pendedahan terhadap sokongan kewangan seperti yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Pendekatan Holistik dan Peranan Pelbagai Pihak

Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani risiko keberhutangan yang semakin tinggi. Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan dan BNM mengamalkan pendekatan berhemat serta menyokong pendidikan kewangan melalui program seperti Bulan Literasi Kewangan dan Jaringan Pendidikan Kewangan. Dalam masa yang sama, Senator Mohd Hasbie Muda turut menggesa agar Akta Kredit Pengguna segera dikuatkuasakan bagi mengawal selia pinjaman mudah termasuk BNPL, terutama yang mensasarkan golongan muda.

Kementerian Kewangan juga menjelaskan bahawa walaupun hutang tinggi, tahap aset kewangan isi rumah masih jauh melebihi liabiliti, dengan nisbah aset kewangan kepada hutang mencecah 212.4 peratus pada akhir 2024. Ini menunjukkan masih wujud ketahanan kewangan. Namun begitu, angka kebankrapan yang meningkat tetap menjadi amaran jelas bahawa tidak semua isi rumah mampu mengurus hutang dengan cekap.

Bank Negara Malaysia dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 pula menjelaskan bahawa pertumbuhan hutang masih dikawal menerusi Dasar Pembiayaan Bertanggungjawab. DSR median untuk pinjaman sedia ada kekal pada 34 peratus, satu tahap yang masih boleh ditampung majoriti isi rumah, tetapi risiko tetap wujud jika pertumbuhan hutang tidak diiringi oleh pertumbuhan pendapatan.

Dalam konteks ini, tanggungjawab untuk mendidik dan membina disiplin kewangan tidak hanya terletak kepada kerajaan. Pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu memikul peranan yang lebih besar. Di peringkat sekolah, kurikulum perlu diperkukuhkan dengan pendidikan kewangan asas termasuk simulasi bajet, pengurusan tunai dan pendedahan kepada risiko hutang. Sementara itu, pihak universiti pula boleh mewujudkan program pemerkasaan kewangan dan kewirausahaan berasaskan realiti pasaran, termasuk mengadakan seminar literasi kewangan bersama institusi seperti AKPK dan BNM. Pelajar perlu diberikan pendedahan awal terhadap risiko kredit, kesan penggunaan BNPL dan cara mengelakkan beban hutang seawal usia produktif.

Hutang isi rumah yang tinggi bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, malah berpotensi menggugat kestabilan ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan Akta Kredit Pengguna, memperluas pendidikan kewangan kepada semua lapisan rakyat, dan memperketat kawalan terhadap pinjaman tidak beretika. Dalam masa yang sama, pihak sekolah dan universiti harus lebih proaktif mendidik generasi muda agar celik kewangan sebelum mereka memasuki dunia pekerjaan dan pinjaman.

Masa depan kewangan rakyat Malaysia bergantung kepada sejauh mana kita bertindak sekarang. Sekiranya kita terus membiarkan trend hutang ini tanpa kawalan dan pendidikan yang mencukupi, tidak mustahil kita akan berdepan dengan krisis kewangan isi rumah yang lebih besar. Inilah masanya untuk semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, dan masyarakat perlu berganding bahu memastikan rakyat bukan sekadar mampu berbelanja, tetapi bijak merancang kewangan untuk jangka panjang.

-- BERNAMA

Noor Aslinda Abu Seman ialah pensyarah di Johor Business School, Universiti Tun Husein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)