Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama seperti Malaysia, perpaduan sering kali menjadi tema utama dalam wacana kenegaraan.
Perpaduan disebut dalam ucapan rasmi, dijadikan tema sambutan Hari Kebangsaan, malah terpampang di papan iklan dan media sosial setiap kali negara berdepan ujian.
Namun di sebalik segala slogan dan dasar, perpaduan sebenar bukan dibina melalui kata-kata tetapi hidup dalam tindakan seharian rakyat biasa.
Di lorong-lorong pasar, di meja makan sekolah, di saat bencana melanda, di situlah perpaduan sebenar dapat dilihat dan dirasai.
Rasa ini hadir apabila kita lihat rakyat Malaysia bersama-sama menjaga sesama kita tanpa mempersoalkan siapa yang mereka bantu.
Artikel ini membawa anda menyusuri beberapa perkembangan dan situasi semasa yang membuktikan bahawa perpaduan bukanlah sekadar angan-angan.
Perpaduan itu hidup, nyata dan menginspirasikan jika kita memilih untuk melihat dan menghargainya.
Perpaduan Saat Krisis
Walaupun banyak cabaran yang menggugat keharmonian masyarakat, namun masih wujud detik-detik yang menunjukkan perpaduan rakyat Malaysia terus subur.
Ketika negara dilanda banjir besar pada penghujung 2021, kita menyaksikan gelombang bantuan merentas sempadan kaum dan agama.
Sukarelawan daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira bangsa turun ke kawasan yang terjejas untuk membersihkan lumpur, menghantar makanan dan membina semula kediaman yang rosak.
Tiada yang mempersoalkan tentang latar belakang mangsa. Keutamaan para sukarelawan hanyalah untuk membantu sesama rakyat Malaysia.
Inilah wajah perpaduan sebenar yang wujud tanpa dipaksa. Ini membuktikan bahawa rakyat mampu bersatu dalam masa sukar dan nilai kemanusiaan tetap menjadi pengikat meskipun wujud perbezaan budaya dan kepercayaan.
Situasi sebegini menunjukkan bahawa semangat perpaduan masih hidup dalam kalangan rakyat meskipun kadangkala ia dibayangi oleh perbezaan politik dan isu perkauman yang disensasikan.
Cabaran di Media Sosial
Namun begitu, realiti di ruang media sosial sering memberi gambaran yang berbeza.
Dalam era digital yang serba pantas, perbezaan politik dan isu-isu berkaitan kaum mudah dijadikan modal provokasi.
Segelintir pihak sama ada individu mahupun kumpulan berkepentingan, dilihat sengaja membakar sentimen perkauman demi meraih perhatian atau keuntungan politik jangka pendek.
Media sosial seperti Facebook, TikTok dan X menjadi medan kepada komen-komen bersifat stereotaip, pemesongan fakta sejarah dan perkongsian kandungan yang merendahkan kaum lain yang akhirnya menjejaskan persefahaman antara masyarakat.
Menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 1,454 kandungan berkaitan isu 3R (kaum, agama, raja) telah dikenal pasti dan diturunkan pada suku pertama tahun 2024.
Statistik ini menunjukkan bahawa walaupun perpaduan wujud di peringkat akar umbi, persepsi dan emosi rakyat mudah diganggu oleh naratif toksik yang tersebar tanpa kawalan.
Lebih membimbangkan, generasi muda yang banyak meluangkan masa di media sosial terdedah kepada pengaruh sebegini tanpa sempat membina asas kefahaman antara kaum yang kukuh.
Memulihkan Naratif Perpaduan
Pakar-pakar dalam bidang komunikasi, sosiologi dan keselamatan maklumat berpandangan bahawa media sosial kini menjadi antara cabaran utama dalam usaha memelihara perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
Kandungan berunsur fitnah, hasutan dan provokasi perkauman yang tersebar secara meluas terutama semasa musim pilihan raya atau isu sensitif telah memperlihatkan bagaimana ruang digital boleh dimanipulasi untuk mencetuskan ketegangan antara kaum.
Usaha membendung budaya kebencian ini tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja. Kerjasama merentasi sektor amat diperlukan, termasuklah daripada pihak pembangkang, organisasi masyarakat sivil dan syarikat media sosial itu sendiri.
Jika dibiarkan, kandungan berunsur perpecahan ini berisiko akan melemahkan asas sosial negara yang telah dibina sejak merdeka.
Pada masa yang sama, pengguna media sosial juga perlu lebih bertanggungjawab dan sedar akan kesan sebenar setiap hantaran atau komen yang dimuat naik.
Kebebasan bersuara yang dinikmati sewajarnya disertai dengan nilai empati dan tanggungjawab sosial. Tanpa kesedaran ini, budaya menyerang pihak yang berbeza pandangan akan terus membarah dalam masyarakat kita.
Namun begitu, media sosial juga tidak wajar hanya dilihat dari sudut negatif. Beberapa syarikat swasta di Malaysia telah menunjukkan contoh positif bagaimana platform digital boleh dimanfaatkan dalam penyebaran nilai perpaduan.
Petronas, misalnya, secara konsisten menghasilkan iklan sambutan perayaan yang mengangkat mesej kebersamaan dan hormat-menghormati antara kaum.
Pelbagai syarikat korporat lain turut menerbitkan kandungan yang memaparkan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia dengan naratif yang menghiburkan dan menyatukan.
Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam menyuburkan naratif perpaduan melalui medium yang dekat dengan rakyat.
Harapan dan Tanggungjawab Bersama
Perpaduan di Malaysia bukan sekadar wacana dalam ucapan rasmi atau tema sambutan tahunan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab harian yang perlu dipikul bersama-sama oleh seluruh lapisan masyarakat.
Dalam dunia hari ini yang serba terhubung, setiap kata yang ditaip, setiap kandungan yang dikongsi dan setiap interaksi yang berlaku di alam maya membawa kesan nyata kepada keharmonian negara.
Seiring dengan gagasan Malaysia MADANI yang diketengahkan oleh kerajaan kini, konsep perpaduan dalam kepelbagaian bukan lagi satu idealisme, tetapi suatu asas negara yang menuntut kita menghormati perbezaan sebagai sumber kekuatan bersama.
Malaysia MADANI mengangkat nilai-nilai insaniah yang menjadi teras kepada hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
Justeru, memelihara perpaduan bukan hanya terletak di bahu kerajaan atau institusi formal semata-mata, tetapi turut menjadi amanah individu yang hidup sebagai rakyat, pengguna media sosial, pendidik, pemimpin komuniti, bahkan sebagai jiran dan sahabat.
Jika setiap daripada kita memilih untuk mengangkat nilai saling menghormati, menyebarkan naratif yang menyatukan dan menolak hasutan yang memecah belah, maka masa hadapan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni, adil dan bersatu tetap dalam genggaman.
Perpaduan bukan perkara yang datang dengan sendiri, tetapi perlu terus diperjuangkan selagi kita semua percaya dan bertindak ke arahnya.
-- BERNAMA
Nabilah ‘Athirah Mohama ialah Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.