TINTA MINDA

Dangkal Dan Tidak Berkesan: Larangan Vape Bukanlah Jawapannya

30/07/2025 08:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Datuk Adzwan Abdul Manas

Di Malaysia, kita sedang menyaksikan gelombang usaha yang semakin meningkat dari kerajaan-kerajaan negeri untuk melarang penjualan produk vape.

Perlis, Terengganu dan Kedah - semuanya diperintah oleh parti pembangkang - telah mengumumkan larangan, manakala Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah yang sama.

Secara terbuka, para pemimpin dan Ahli Parlimen kini mula menyuarakan gesaan untuk melaksanakan larangan secara menyeluruh di seluruh negara, dengan alasan kebimbangan yang timbul terhadap produk vape yang didakwa mengandungi dadah serta peningkatan penggunaan dalam kalangan belia.

Untuk pencerahan: kebimbangan ini adalah benar, tetapi penyelesaian yang dicadangkan adalah salah dan berbahaya.

Masalah seperti penggunaan di bawah umur dan produk tercemar bukan berpunca daripada industri vape sah yang berdaftar.

Sebaliknya, ia berpunca daripada peruncit haram yang tidak bertanggungjawab serta sindiket jenayah yang terus beroperasi tanpa rasa gentar terhadap sebarang tindakan.

Golongan inilah yang tidak mempedulikan peraturan, tidak menghiraukan had umur, dan mengabaikan keselamatan produk.

Mereka membekalkan produk tidak berdaftar, menjual kepada remaja, dan memasukkan bahan berbahaya ke dalam rantaian bekalan.

Pasaran Gelap

Larangan ke atas vape tidak akan menghentikan penjenayah ini. Ia hanya akan menghukum perniagaan yang sah dan mematuhi undang-undang, sambil memberi kuasa kepada pasaran gelap.

Pemimpin yang kini menyeru kepada larangan sedang memberi reaksi terhadap kerosakan yang sebenarnya berpunca daripada pemain tidak sah dan tidak terkawal.

Namun, daripada menumpukan usaha kepada penguatkuasaan untuk menghapuskan elemen-elemen ini, mereka mencadangkan larangan menyeluruh yang bakal melenyapkan peruncit sah yang mana ramai antara mereka telah berdaftar dan mematuhi segala peraturan semasa.

Jika kita mengambil jalan mudah dan mengharamkan vape secara total, kita berisiko mencipta pasaran bawah tanah yang langsung tidak terkawal.

Semuanya akan berlaku dalam pasaran gelap – tiada pemeriksaan umur, tiada kawalan kualiti, dan tiada akauntabiliti. Ini adalah senario paling buruk untuk kesihatan awam.

Kita harus ingat bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah pun diperkenalkan.

Inilah alat yang direka khusus untuk membawa industri vape ke dalam ruang yang dikawal selia, memastikan keselamatan produk, melindungi golongan muda, dan membenarkan hanya pemain sah beroperasi.

Penguatkuasaan Tegas

Mengapa kita tidak menumpukan tenaga kita kepada pelaksanaan undang-undang ini secara berkesan, dengan penguatkuasaan tegas bagi menghapuskan pemain haram?

Menurut Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023 oleh Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan, majoriti pengguna vape terdiri daripada individu berumur antara 15 hingga 24 tahun.

Statistik ini tidak muncul dalam persekitaran yang dikawal selia. Ia berkembang kerana ketiadaan kerangka peraturan yang jelas. Ini membuktikan bahawa larangan tidak berkesan.

Apa yang berkesan adalah peraturan, pengawasan, dan kesungguhan politik untuk menguatkuasakan undang-undang.

Saranan MRECA

Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) menyokong sepenuhnya peraturan.

Kami menyokong garis panduan yang jelas bagi memastikan produk tidak sampai ke tangan golongan bawah umur dan menjamin keselamatan pengguna dewasa.

Tetapi kami tidak dapat menyokong sistem yang menggunakan sindiket jenayah sebagai alasan untuk mengenakan larangan menyeluruh yang hanya akan menjejaskan perniagaan sah.

Dengan Akta 852 telahpun berkuat kuasa, tumpuan kini harus diberikan kepada langkah yang lebih pandang ke hadapan: melaksanakannya dengan segera, melabur dalam penguatkuasaan, dan memperkukuh kerangka kawal selia supaya hanya pemain yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan kekal dalam pasaran.

Melarang produk yang dikawal selia bukanlah satu penyelesaian – ia adalah kegagalan untuk memikul tanggungjawab, dan secara tidak langsung menyerahkan pasaran kepada penjenayah.

Jika kita benar-benar mahu melindungi kesihatan awam dan keselamatan pengguna, kita mesti kekal dengan landasan yang betul, menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, dan komited untuk membina industri vape yang sah, telus, dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA

Datuk Adzwan Abdul Manas ialah Presiden, Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)