TINTA MINDA

Sinergi Ulama Dan Umara Di Era Malaysia MADANI

06/08/2025 10:00 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Senator Dr Zulkifli bin Hasan

Dalam sejarah peradaban Islam, ulama dan umara'(pemerintah) merupakan dua tonggak utama yang mempengaruhi arah kehidupan masyarakat. Ulama berperanan sebagai pewaris para nabi dalam menyampaikan ilmu, memelihara syariat dan membimbing umat, manakala umara bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran, keadilan dan kestabilan negara.

Ibn Khaldun dalam Muqaddimah menyatakan bahawa agama dan pemerintahan adalah saling melengkapi: “Agama menjadi asas pemerintahan, manakala pemerintahan menjadi penjaga agama.”

Di Malaysia, khususnya dalam konteks gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, pembinaan negara yang holistik dan berteraskan nilai memerlukan kerjasama erat antara kekuasaan moral dan kekuasaan politik, dengan peranan yang saling melengkapi antara satu sama lain, berlandaskan hubungan yang akrab dan sinergi rapat, bukannya saling bermusuhan dan bercakaran.

Sinergi Ulama dan Umara'

Konsep sinergi antara ulama dan umara telah lama dibahaskan oleh para sarjana Islam. Al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah menekankan keperluan pemerintah mendapatkan nasihat ulama dalam membuat keputusan.

Sementara itu, Al-Ghazali menyebut bahawa keadilan hanya dapat dicapai apabila pemerintah menerima nasihat yang ikhlas dan jujur daripada ulama.

Dalam tradisi Melayu-Islam, sinergi ini telah diterjemahkan dalam sistem Kesultanan Melayu yang meletakkan institusi ulama bergerak seiring di sisi kekuasaan politik, dan terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pentadbiran, sama ada dalam bentuk nasihat, musyawarah dan sebagainya.

Dalam konteks negara moden seperti Malaysia, peranan ulama ini mula diinstitusikan dalam bentuk formal seperti Jabatan-Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), institusi pengajian tinggi dan NGO Islam yang memainkan peranan ulama dalam bentuk rasmi yang lebih tersusun. Namun peranan para ulama dan tok-tok guru yang tidak berada dalam institusi kerajaan tetap diberi keutamaan dan penghormatan sewajarnya.

Peranan Ulama dalam Konteks Malaysia Madani

Malaysia Madani bukan sekadar sebuah gagasan membina negara, tetapi merupakan kerangka nilai untuk membina masyarakat yang berakhlak, bertamadun dan berteraskan etika.

Peranan ulama dalam konteks ini adalah sebagai penjaga nilai dan suara moral masyarakat.

Mereka perlu menjadi ejen kepada pencerahan masyarakat dalam memupuk nilai wasatiyyah, menjadi penasihat kritikal dan konstruktif kepada pemerintah, bertindak sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan serta memanfaatkan ruang digital dan sosial secara bijaksana.

Dalam tradisi Islam, terdapat banyak karya ulama yang tergolong dalam genre “nasihat kepada pemerintah” atau dikenali dalam kajian moden sebagai “mirrors for princes”. Karya-karya ini ditulis untuk membimbing pemimpin agar menjalankan pemerintahan secara adil, berakhlak dan berlandaskan syariat.

Imam al-Ghazali menerusi karyanya berjudul Nasihatul Muluk menggabungkan hikmah rohani, prinsip syariah dan pengajaran sejarah dalam memberi panduan kepada pemerintah.

Dalam konteks nusantara pula, Raja Ali Haji, ulama, ahli sejarah, serta pujangga Bugis-Melayu pengarang Tuhfat al-Nafis (Bingkisan Berharga) mengarang kitab yang sarat dengan teguran halus terhadap para pemerintah dan nasihat ikhlas demi melihat kemajuan dan kemaslahatan bangsa.

Selain penulisan, para ulama juga ada yang berperanan aktif dalam pembinaan masyarakat dan perjuangan kemerdekaan. Syeikh Abdullah Fahim, ulama tersohor kelahiran Pulau Pinang telah menasihati Tunku Abdul Rahman supaya bekerjasama dengan pemimpin kaum lain demi mempercepat rundingan kemerdekaan. Gandingan ulama-umara’ ini menatijahkan kemerdekaan Malaysia.

Di bawah pentadbiran kerajaan Madani pimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, para ulama diberi ruang seluas-luasnya untuk bersama-sama membina negara, sama ada dalam bentuk dakwah, penulisan mahupun nasihat dan kritikan membina terhadap pemerintah.

Dalam Program Malaysia Bermunajat 2025 yang disertai YAB PMX bersama para ulama dari seluruh negara termasuk Maulana Tariq Jameel dari Pakistan, YAB telah meminta Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki yang juga sahabat lama beliau untuk turut berucap menyampaikan pandangan dan nasihat kepada kerajaan. Sikap terbuka ini merupakan sifat terpuji yang perlu ada pada setiap pemimpin negara.

Sokongan Padu Golongan Umara Kepada Ulama

Sepanjang sejarah Islam, terdapat banyak bukti bahawa umara' telah memberi sokongan padu kepada golongan ulama dalam usaha memelihara agama, memperkasa keilmuan dan membina ketamadunan. Hubungan yang harmonis ini melahirkan zaman keemasan ilmu dan kemajuan peradaban Islam.

Di bawah Dinasti Abbasiyyah, Khalifah seperti al-Ma'mun menubuhkan Bayt al-Hikmah untuk melaksanakan kegiatan penterjemahan dan menyebarkan karya ulama serta sarjana dari pelbagai tradisi.

Sultan Nizam al-Mulk, wazir kerajaan Seljuk pula telah menubuhkan rangkaian madrasah yang dikenali sebagai Madrasah Nizamiyyah, termasuk di Baghdad dan Nishapur. Madrasah inilah yang telah melahirkan sekian ramai ulama besar dalam tradisi Islam, semisal Imam Hujjatul Islam al-Ghazali dan Imam Abu Ishak al-Shirazi.

Madrasah ini bukan hanya menjadi pusat pengajian fiqh dan akidah, tetapi juga pemangkin kepada kestabilan sosial dan pemikiran wasatiyyah.

Malaysia Madani komited untuk menjadi penerus kepada tradisi ini. Bagi tahun 2024, JAKIM telah menyalurkan sebanyak RM119 juta bagi peruntukan khas Selenggara dan Naik Taraf kepada 1,553 Institusi Pendidikan Islam berdaftar di seluruh negara demi merancakkan kegiatan keilmuan tradisional di madrasah-madrasah tahfiz dan sekolah pondok.

Di era Malaysia Madani juga, kita melihat aktiviti keilmuan terus rancak dan giat dilaksanakan di seluruh negara, khasnya yang bersifat mega dan besar-besaran. Tahun lepas kerajaan Malaysia telah melaksanakan Majlis Sama’ Hadith Sahih Bukhari, yang berjaya mengkhatamkan bacaan dan syarahan kitab agung tersebut selama sepuluh hari. Tahun ini, tradisi bacaan hadith itu bakal diteruskan dengan kitab Sahih Muslim pula.

Begitu juga dengan inisiatif Majlis Ilmu Madani di Kediaman Rasmi YAB Perdana Menteri yang menampilkan barisan ulama tersohor dari seluruh dunia semisal Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Tayyeb dan Syeikh Abdul Hakim Murad termasuk Usrah Madani yang pernah membariskan Syeikh Said Fudah dan Syeikh Mohammad Akram Nadwi.

Kesemua inisiatif ini terbit hasil kesedaran yang mendalam, bahawa demi menyuburkan budaya ilmu dalam negara, kita seharusnya memberi pengiktirafan tinggi kepada golongan ilmuwan dan menempatkan mereka di kedudukan yang selayaknya. Mereka yang terlibat dalam kegiatan ilmu juga harus diberi ruang sepenuhnya, serta disediakan segala bentuk kemudahan dan pembiayaan.

Ulama dan Umara'' tunjang kepada pembinaan negara

Sinergi antara ulama dan umara adalah tunjang kepada pembinaan negara. Dalam konteks Malaysia Madani, sinergi ini perlu diperkukuh, bukan dengan satu pihak memusuhi satu pihak yang lain, bukan juga dengan hubungan yang saling mencurigai, tetapi melalui sikap saling menghormati, mengiktiraf peranan masing-masing dan keikhlasan untuk membina sebuah negara yang maju dan harmoni.

Negara hanya akan makmur apabila pihak berautoriti melaksanakan suatu dasar berteraskan hujah ilmu dan kekuatan moral, dan pada masa sama golongan ilmuwan pula disokong oleh pihak autoriti dalam melaksanakan segala bentuk kegiatan pencerahan dan pencerdasan ummah.

Umara menyantuni dan menghormati ulama, manakala ulama menasihati dan membimbing umara ke jalan yang lurus. Inilah resipi paling mujarab, agar Islam terus subur dan mekar di bumi Malaysia yang kita cintai ini.

-- BERNAMA

Senator Dr Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri (Agama) di Jabtaan Perdana Menteri

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)