TINTA MINDA

Buli Di Sekolah: Mengapa Masih Berlaku Walaupun Sudah Ramai Dihukum?

11/08/2025 12:13 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Rozanizam Zakaria

Seperti bermusim, kejadian buli dalam kalangan remaja sekolah akan timbul saban waktu seakan tidak berpenghujung.

Ada sahaja kes baru, cuma berbeza pelaku serta mangsa, berubah lokaliti dan bilangan yang terlibat. Ada yang melibatkan kecederaan kecil, malah ada yang mengakibatkan kecederaan serius sehingga membawa kepada kematian yang tidak terduga.

Bukan sekadar digantung persekolahan, malah sudah banyak kes yang sedang dibicara bahkan ada juga pelaku yang dijatuhi hukuman penjara. Namun begitu, persoalan besar masih kekal setiap kali episode ini berulang ialah mengapa buli masih boleh berlaku?

Sebagai masyarakat dewasa, kita harus mendekati isu ini secara objektif. Kita tidak boleh melihatnya semata-mata melalui kes tertentu, sebaliknya perlu meneliti akar umbi masalah ini secara menyeluruh.

Hanya dengan itu, kita mampu merangka penyelesaian yang bukan sekadar reaktif, tetapi lebih bersifat preventif dan jangka panjang.

Kenapa remaja membuli?
Soalan ini merupakan kunci kepada penyelesaian. Kajian demi kajian, menunjukkan bahawa pembuli tidak semestinya “jahat” secara mutlak sebagaimana yang kita mungkin mudah tanggapi. Tindakan membuli sering kali berpunca daripada isu pergolakan emosi remaja, sejarah hidup yang rumit, atau persekitaran yang tidak sihat.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada perlakuan buli dalam kalangan remaja.

Antaranya termasuk masalah emosi seperti perasaan marah yang tidak terkawal, keresahan berpanjangan, dan kemelut keyakinan diri seseorang.

Latar belakang keluarga juga memainkan peranan penting; contohnya, remaja yang dibesarkan dalam suasana rumah tangga yang penuh konflik atau keganasan lebih cenderung menunjukkan tingkah laku agresif.

Selain itu, budaya sekolah yang tidak tegas dalam menangani pelakuan buli atau yang secara tidak langsung membiarkan tingkah laku agresif berlaku tanpa tindakan, turut menyumbang kepada penyebaran budaya ini.

Tekanan daripada rakan sebaya juga menjadi faktor yang penting sehingga menyebabkan ada pelaku yang membuli kerana ingin kelihatan popular, berpengaruh, atau sekadar mahu diterima dalam kelompok sosial tertentu.

Pada masa yang sama, pendedahan kepada kandungan media atau permainan video yang ganas boleh membentuk norma tingkah laku yang membiasakan keganasan sebagai hiburan atau bentuk komunikasi.

Tidak kurang juga ada yang terdorong membuli kerana rasa ingin berkuasa, menjadi dominan, atau menganggap ia sebagai sesuatu yang menghiburkan.

Apa yang sering dilupakan ialah setiap kes adalah unik dan memerlukan pendekatan yang berbeza. Ada juga remaja yang membuli kerana mereka sendiri pernah menjadi mangsa.

Ada pula yang membuli untuk mendapatkan penerimaan sosial atau kerana takut diketepikan daripada kumpulan rakan sebaya. Tidak kurang juga yang melihat perbuatan membuli sebagai satu bentuk hiburan atau gurauan tanpa menyedari impak psikologi yang mendalam kepada mangsa.

Dari sudut psikologi, pembuli sering menunjukkan ciri-ciri seperti tahap impulsiviti yang tinggi, kurang kawalan emosi, kecenderungan untuk mentafsir niat orang lain secara negatif, serta kekurangan empati terhadap orang lain.

Dari aspek keluarga pula, masalah seperti pengabaian emosi, kurangnya perhatian ibu bapa, gaya keibubapaan yang autoritarian atau terlalu permisif, dan pendedahan berterusan terhadap pertelingkahan atau keganasan rumah tangga turut menjadi pendorong.

Di sekolah, kekurangan pemantauan, diskriminasi, dan pengaruh rakan yang negatif mewujudkan suasana yang membenarkan budaya buli berkembang tanpa sekatan. Di samping itu, faktor sosioekonomi seperti tekanan hidup, kemiskinan, dan persekitaran kejiranan yang berisiko turut memperburuk keadaan.

Buli juga sering dilihat daripada perspektif dinamika sosial, khususnya dalam konteks kehidupan berasrama.

Dalam situasi ini, buli digunakan untuk membentuk dan mengekalkan hierarki sosial dalam kalangan pelajar. Pelaku buli biasanya berusaha menentukan norma dan sempadan kumpulan mereka, sering kali dengan menyasarkan individu yang dianggap berbeza atau menyimpang daripada norma tersebut.

Dalam kalangan pelajar lelaki terutamanya, sifat keras, kasar, dan dominan sering digunakan sebagai cara untuk mengekalkan kedudukan dalam hierarki sosial kumpulan.

Statistik Terkini: Sejauh Mana Seriusnya Isu Ini?
Laporan National Health and Morbidity Survey: Adolescent Health Survey 2022 menunjukkan bahawa buli masih menjadi isu yang membimbangkan dalam kalangan remaja Malaysia.

Sebanyak 8.6 peratus remaja melaporkan bahawa mereka pernah mengalami buli secara fizikal, manakala ejekan fizikal dan rupa paras menjadi antara bentuk buli yang paling lazim berlaku (26.7%), diikuti dengan buli berkaitan seksual (16%).

Angka-angka ini memberi gambaran jelas bahawa isu ini bukan lagi bersifat terpencil, malah telah menjadi sebahagian daripada dinamika sosial dalam kalangan pelajar.

Hukuman Bukan Satu-satunya Jalan Keluar
Walaupun tindakan undang-undang penting dan perlu diteruskan secara tegas dan tidak pilih kasih, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mekanisme hukuman semata-mata.

Penyelesaian jangka panjang menuntut pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak – ibu bapa, guru, pentadbir sekolah, pembuat dasar, ahli psikologi dan seluruh masyarakat.

Pendekatan seperti polisi “you touch you go” seperti yang diamalkan oleh MRSM contohnya mungkin menyelesaikan masalah setempat namun masih tidak menyelsaikan masalah sekiranya budaya buli tersebut di’eksport’ pula ke sekolah seterusnya.

Antara langkah-langkah penting termasuklah memperkenalkan pendidikan emosi dan sosial sejak awal usia bagi membantu kanak-kanak membina empati, mengenali emosi, dan mengurus konflik secara sihat.

Guru-guru juga perlu diberikan latihan yang mencukupi untuk mengenal pasti tanda-tanda awal masalah disiplin serta menangani kes buli dengan tegas dan berkesan.

Di peringkat sekolah, sistem sokongan yang kukuh seperti kehadiran kaunselor, program mentor-mentee, dan ruang selamat untuk pelajar melapor insiden perlu diwujudkan.

Peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya; mereka perlu terlibat secara aktif dalam membina komunikasi terbuka dengan anak-anak, selain memberikan sokongan emosi yang konsisten.

Di samping itu, pelajar yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk terlibat dalam buli, sama ada sebagai mangsa atau pelaku, perlu diberikan intervensi awal secara menyeluruh dan berfokus.

Antara model pencegahan buli yang terbukti berkesan di peringkat antarabangsa ialah Program KiVa yang dilaksanakan di Finland.

KiVa, singkatan kepada “Kiusaamista Vastaan” yang bermaksud “menentang buli”, merupakan program berasaskan bukti saintifik yang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Turku.

Program ini menekankan peranan rakan sebaya dalam menghentikan buli, dengan memberi penekanan kepada pendidikan sosial-emosi, latihan kemahiran tindak balas terhadap buli, serta intervensi sistematik terhadap kes yang dikenal pasti.

Hasil pelaksanaan KiVa menunjukkan penurunan kadar buli secara signifikan di sekolah yang mengamalkannya, selain meningkatkan rasa selamat dan kesejahteraan pelajar.

Pendekatan yang menyeluruh, berpaksikan pendidikan dan intervensi kolektif ini menunjukkan bahawa budaya buli boleh dicegah secara berkesan apabila seluruh komuniti sekolah dilibatkan secara aktif dan konsisten.

Buli bukan isu remeh. Ia meninggalkan luka jangka panjang terhadap perkembangan emosi dan sosial remaja. Kita tidak boleh sekadar bertindak bila sudah ada kes yang tular semata-mata.

Kita harus sentiasa beberapa langkah di hadapan dalam menangani isu ini. Kita semua memikul tanggungjawab untuk memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk semua. Mencegah lebih baik daripada menghukum dan pencegahan hanya akan berhasil jika kita semua berganding bahu.

-- BERNAMA

Dr Rozanizam Zakaria ialah Pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja dan pensyarah, Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)