Pada minggu ini masyarakat dunia umumnya serta rakyat Jepun khususnya memperingati kemusnahan bandaraya Hiroshima dan Nagasaki 80 tahun dulu akibat daripada penggunaan senjata bom atom pada 6 dan 9 Ogos 1945.
Dalam peristiwa hitam berkenaan, pihak Tentera Berikat yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah mengugurkan bom atom ke atas kedua – dua bandaraya terbabit bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua (1939 – 1945).
Penguguran senjata bom atom ke atas kedua – dua buah bandaraya berkenaan telah menyebabkan kemusnahan teruk ke atas kedua – dua buah bandaraya itu serta telah menyebabkan kehilangan nyawa ramai pihak yang tidak bersalah termasuk golongan wanita, warga tua serta kanak – kanak.
Beratus ribu penduduk di dua bandar berkenaan yang telah dilaporkan terkorban akibat daripada penggunaan senjata bom atom terbabit. Tidak dapat dipastikan sehingga kini jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit.
Namun jumlah mangsa yang dinyatakan melalui rekod – rekod sejarah adalah dalam sekitar 120,000 – 140,000 orang.
Kesan radiasi atau radioaktif akibat daripada pancaran bom atom terbabit juga telah menyebabkan masalah kesihatan yang teruk yang terpaksa dipikul oleh mangsa–mangsa yang terselamat dan kesan yang dihadapi oleh mereka juga masih kelihatan sehingga kini oleh kalangan mangsa–mangsa yang masih hidup.
Impak radiasi atau radioaktif ini juga memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.
Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu iaitu Presiden Harry S. Truman yang bertanggungjawab memberi kelulusan ke atas pengunaan sejata bom atom berkenaan menyatakan bahawa tindakan mengunakan senjata bom atom ke atas kedua–dua bandar terbabit adalah perlu bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua dengan segera.
Ia juga bagi menghentikan tindakan kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh tentera Jepun terhadap penduduk dikawasan yang telah mereka kuasai sepanjang Perang Dunia Kedua yang lalu di Asia Timur termasuklah di Malaysia ataupun dikenali sebagai Malaya, Sarawak dan Borneo Utara pada ketika itu.
Pendapat tidak sepatutnya bom atom digunakan
Walaupun begitu, masih banyak pihak yang berpendapat, senjata pemusnah seperti bom atom tidak sepatutnya digunakan langsung terutamanya terhadap masyarakat umum.
Pedebatan mengenai isu kewajaran pengunaan bom atom ke atas bandaraya Hiroshima dan Nagasaki 80 tahun yang lalu masih hangat dibincangkan oleh ramai pihak sehingga kini.
Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua serta berakhirnya Perang Dingin (1945 – 1991), tiada lagi senjata bom atom yang digunakan ke atas mana – mana bandaraya serta masyarakat umum.
Masih banyak negara mahu bangunkan senjata bom atom
Walaupun begitu, banyak negara dilihat masih membina serta masih mempuyai keinginan mengunakan senjata bom atom ini. Semenjak tamatnya Perang Dunia
Kedua, senjata bom atom ini telah ditambahbaik dari segi kekuatan kemusnahannya dan kini ia lebih dikenali sebagai bom nuklear yang mempunyai tahap kemusnahan yang lebih besar daripada senjata bom atom.
Beberapa buah negara barat masih menyimpan bom nuklear ini dengan kuantiti yang besar serta dilihat masih terus membangunkan teknologi pengunaan senjata nuklear ini.
Tindakan yang dilakukan oleh negara – negara ini telah menjadi contoh ikutan oleh negara – negara lain yang masih membangun termasuk negara mundur seperti Korea Utara untuk memiliki senjata nuklear mereka sendiri.
Sudah sampai masa semua negara bersatu haramkan senjata nuklear
Dengan mengambil kira faktor kemusnahan besar serta impak teruk yang boleh dibawa melalui pembinaan dan pengunaan senjata nuklear ini, sudah sampai masanya semua negara bersatu bagi mengharamkan sebarang bentuk pembinaan dan pengunaan senjata nuklear.
Walaupun bahan nuklear boleh digunakan dengan cara yang baik serta yang dapat memberi faedah kepada masyarakat, namun sebarang bentuk pembinaan serta pengunaannya sebagai bahan senjata perlu disekat dan diharamkan sepenuhnya untuk kesejahteraan dan keamanan sejagat.
Pada 7 Julai 2017 yang lalu, bertempat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, majoriti negara dunia telah memberi persetujuan mereka untuk menyokong Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear (Dalam Bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Treaty on the Prohibition of Nuclear Weapons atau Nuclear Weapon Ban Treaty).
Perjanjian ini adalah yang pertama dibuat dalam sejarah bagi mengharamkan pembangunan dan pengunaan senjata nuklear.
Malaysia setuju hentikan penggunaan senjata nuklear
Setakat bulan September 2024, 73 buah negara dunia telah memberi persetujuan mereka terhadap perjanjian antarabangsa Pengharaman Senjata Nuklear ini dan ini termasuklah Malaysia.
Malaysia menandatangani perjanjian itu pada 30 September 2020, menjadikannya negara ke-46 dalam perjanjian tersebut.
Malaysia menegaskan komitmennya yang teguh terhadap perlucutan senjata nuklear dan akan terus bekerjasama dengan negara – negara lain ke arah dunia yang bebas ancaman senjata nuklear.
Malangnya, masih banyak negara dunia termasuk dalam kalangan negara- negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Rusia telah menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyokong perjanjian ini dan tidak memberi undi mereka terhadap perjanjian berkenaan atas pelbagai alasan.
Langkah yang telah diambil oleh negara – negara maju ini sedikit sebanyak akan membantutkan segala usaha untuk mengharamkan pembangunan dan pengunaan senjata nuklear.
Langkah yang diambil oleh mereka juga akan menghantar isyarat yang jelas kepada negara-negara yang mempunyai rekod buruk hak asasi manusia seperti Israel dan Korea Utara untuk terus berdegil membangunkan program senjata nuklear mereka.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua negara dunia yang telah menyatakan persetujuan mereka terhadap penjanjian berkenaan untuk kekal bersatu dan mengambil segala usaha untuk terus mempelawa negara-negara yang masih belum memberi persetujuan terhadap perjanjian berkenaan untuk menyokongnya.
Hanya melalui sokongan semua negara dunia, senjata nuklear dapat dibendung dan dihapuskan sepenuhnya bagi menjamin masa depan dunia yang lebih selamat, aman dan makmur.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)