31 Ogos 1957 menjadi detik keramat dalam lipatan sejarah tanah air apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan kata keramat “Merdeka”. Stadium Merdeka ketika itu menjadi saksi bisu kepada sebuah kebebasan, harga diri dan maruah bangsa yang bebas daripada belenggu British.
Terlebih penting ketika itu adalah rasa sedar diri dan keyakinan seluruh rakyat untuk mengurus diri sendiri setelah berkurun lama nasib bangsanya ditentukan oleh kuasa asing.
Kemudian 16 September 1963 pula menyatukan Semenanjung, Sabah, dan Sarawak di bawah nama Persekutuan Malaysia.
Kedua-dua tarikh ini bukan sekadar sejarah. Dari Merdeka ke Malaysia, ia sebuah perjalanan hebat dalam usaha menyatukan bangsa yang melibatkan penyatuan wilayah di bawah satu bumbung.
Malaya dan Malaysia dalam bingkai sejarah
Konfrontasi Ganyang Malaysia (1963–1966), ancaman gerakan komunis hinggalah ke peristiwa 13 Mei 1969 pernah menjadi ujian kepada perpaduan bangsa kita.
Hakikatnya, kejayaan diplomasi ala Malaysia telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan keamanan dengan cara begitu berseni.
Malaysia akhirnya terus berdiri utuh dengan formular Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Untuk menghadapi cabaran semasa, kita juga wajar menoleh kembali kepada semangat pemimpin terdahulu yang pada mulanya mewakili kaum, bangsa dan kepentingan masing-masing.
Namun akhirnya membentuk kesepakatan berjiwa rakyat, sanggup mengorbankan kepentingan kelompok demi kepentingan bernegara. Semangat yang wajar diwarisi oleh generasi hari ini.
Dasar Pembangunan Negara: Dari DEB ke Malaysia MADANI
Kebijakan kepimpinan dan pemberdayaan masa lalu diperakui telah membina dasar yang lebih adil dan inklusif dalam masyarakat hari ini.
Antaranya Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan, penyusunan semula masyarakat serta jurang antara kaum dan wilayah. Begitu juga halnya dengan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) telah memfokuskan kepada meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan yang seimbang dalam kalangan berbilang kaum.
Naratifnya di diteruskan dengan Dasar Wawasan Nasional (2001-2010), Dasar Transformasi Nasional (2010-2020), Wawasan Kemakmuran Bersama (2021-2030) dan kini Malaysia MADANI (2023 – kini).
Namun harus diakui bahawa, cabaran negara masa kini lebih kompleks melibatkan hal ehwal globalisasi tanpa sempadan, persempadanan negara, teknologi yang mengubah gaya hidup, krisis iklim, polarisasi sosial dan tuntutan persaingan ekonomi serantau.
Maka timbul persoalan: bagaimana rakyat Malaysia memaknakan kemerdekaan dan Hari Malaysia dalam konteks dunia yang kian mencabar ini?
Bangsa MADANI: Kebebasan dengan nilai dan makna
Hari ini, bangsa Malaysia dituntut mengisi kebebasan dengan nilai yang memberi makna.
Adalah penting seluruh rakyat mengambil maklum apa yang telah berlaku di sekeliling kita dan mengambil iktibar serta menjadikan negara Malaysia jauh lebih baik dari semalam.
Dalam hal ini Malaysia MADANI menggariskan nilai persediaan kerangka moral, etika dan sosial untuk sebuah negara bangsa yang matang menghadapi masa hadapan.
Nilai Kemampanan seharusnya memastikan pembangunan negara bukan sahaja memberi manfaat hari ini, tetapi juga menjamin kelangsungan masyarakat pada masa hadapan.
Apa yang dibina pada hari ini harus kekal lestari pada masa akan datang. Keupayaan negara dan rakyatnya untuk berdaya tahan telah diterjemahkan menerusi RMK ke 12.
Ia memberi fokus kepada pembangunan seimbang di semua wilayah dan perlu menjadi usaha kemapanan berkesan sebelum negara kekal fokus kepada tuju arah RMK ke 13.
Manakala nilai Kesejahteraan pula merupakan usaha negara bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan berkualiti secara menyeluruh.
Isu kos sara hidup yang tinggi menjadi cabaran kesejahteraan. Namun usaha-usaha jangka pendek dan sederhana seperti subsidi bersasar dan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah serta Skim Peduli Kesihatan MADANI (SPKM) adalah langkah kerajaan memastikan tiada rakyat terpinggir dalam arus kemajuan masa hadapan.
Bangsa yang merdeka juga perlu mampu mencipta, berinovasi, serta menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Nilai Daya Cipta menuntut keupayaan rakyat secara progresif dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Malaysia harus konsisten serius dalam teknologi kecerdasan buatan (AI). Sebagai contoh pelancaran AI Telent Roadmap 2024-2030 menyediakan rakyat yang mahir AI dan pembangunan.
Manakala AI Sandbox pula menyediakan ruang dan alat praktikal untuk bakat berlatih, bereksperimen dan mencipta solusi. Ini merupakan idea-idea besar dan segar ke arah Malaysia yang semakin hebat di masa hadapan.
Begitu juga halnya bangsa yang kuat ialah bangsa yang tahu menghormati diri sendiri, sesama insan, serta alam sekitarnya.
Nilai Hormat adalah mengiktiraf dan menerima kepelbagaian serta perbezaan dalam masyarakat.
Diharapkan kita tidak lagi berdebat kusir sekali gus mencetus isu-isu sensitif seperti isu kalimah Allah dan ketegangan yang melibatkan rumah-rumah agama khususnya di media sosial.
Masyarakat malah pemimpin perlu lebih berjiwa besar dan berhikmah dalam menangani sensitiviti agama.
Nilai Keyakinan menuntut kepercayaan warga yang teguh diri sendiri, masyarakat, institusi negara, dan hala tuju masa depan.
Meyakini dan berusaha berdiri dengan akal budi sendiri, tanpa tunduk kepada pengaruh luar.
Isu-isu yang terkait dengan integriti dalam pentadbiran (misalnya kes rasuah berprofil tinggi) menjadi ujian teliti kepada seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan ketelusan.
Alhamdulilah beberapa kejayaan SPRM dalam mengambil tindakan tegas menambah semula keyakinan rakyat pada institusi.
Akhir sekali bangsa Malaysia harus hidup bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Nilai Ihsan ialah nilai kemanusiaan yang menekankan kasih sayang, empati, dan keprihatinan terhadap sesama manusia mahupun alam sekitar.
Dalam beberapa hal kita boleh berbangga dengan pandangan serta pendirian kita dalam isu Gaza.
Namun dalam konteks dalaman negara ia harus di pertingkatkan khususnya gejala polarisasi kaum dan agama yang boleh menghakis semangat perpaduan.
Laporan Merdeka Center 2022 menunjukkan isu perkauman masih menjadi cabaran besar kepada perpaduan nasional jika tidak ditangani dengan bijaksana.
Dari sejarah ke masa depan menyatukan perjalanan bangsa
Masa depan Malaysia bergantung kepada sejauh mana rakyat menghayati nilai-nilai MADANI dalam kehidupan seharian. Kemerdekaan yang harus difahami dan diusahakan pada masa kini ialah kebebasan membentuk masa depan bersama.
Kebebasan untuk menolak politik sempit, membina ekonomi inklusif, menjaga kelestarian alam sekitar dan memperkukuh persatuan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
Keamanan Malaysia adalah warisan yang mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Sejarah mengajar kita bahawa tiada jaminan sebuah negara akan kekal utuh tanpa perpaduan.
Marilah kita menghayati semangat dua tarikh keramat 31 Ogos dan 16 September sebagai obor ingatan dan perjuangan di bawah payung Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
Dr Lutfan Jaes ialah Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor