Kita sering mendengar ungkapan Jauh perjalanan luas pemandangan. Hakikatnya, melancong bukan sekadar berliburan, berbelanja, atau menikmati keindahan alam.
Ia adalah cerminan kekuatan jiwa bangsa, wadah memperkukuh identiti, serta medan memupuk nilai patriotisme dalam diri sendiri. Soalnya, adakah kita benar-benar sedar akan peranan besar pelancongan dalam membentuk rasa cinta kepada tanah air tercinta?
Hargai negara tercinta
Pada hemat saya, patriotisme bukan sekadar tentang mengibar jalur gemilang di setiap bulan Ogos, tetapi juga tentang menghargai negara kita yang tercinta.
Apabila saya melancong ke destinasi dalam negara — sama ada ke Pulau Langkawi, Taman Negara, Kundasang, atau Melaka — saya bukan sahaja sekadar melancong. Saya melalui proses mengenali sejarah, memahami warisan, dan menjiwai budaya yang menjadi sebahagian daripada jati diri bangsa kita.
Setiap kali saya melangkah ke tapak warisan UNESCO di George Town atau mendengar kisah-kisah sejarah perjuangan di Muzium Pasir Salak, secara tidak langsung saya menguatkan semangat patriotism di dalam jiwa.
Saya belajar bahawa negara ini dibina dengan sejarah pengorbanan, darah, dan air mata generasi terdahulu. Pelancongan juga adalah satu wadah pembelajaran - mendidik dengan cara yang tidak kita sedari.
Apabila saya menyusuri desa dan berinteraksi dengan komuniti Orang Asli atau komuniti nelayan di Terengganu, saya belajar tentang kesederhanaan, kesyukuran, dan ketabahan.
Melancong berii manfaat
Namun begitu, ada juga yang bertanya: bagaimana melancong ke luar negara memberi manfaat kepada saya? Bagi saya, setiap perjalanan ke luar negara mengukuhkan rasa patriotisme dalam bentuk yang berbeza.
Melewati jalan-jalan di London atau Istanbul, saya tidak dapat lari daripada membandingkan taraf kemudahan, kebersihan, sistem pengangkutan, dan layanan masyarakat dengan apa yang kita ada di Malaysia.
Melihat taman awam indah seperti Battery Park di New York, atau sistem metro yang kompleks tetapi teratur di Seoul, menimbulkan tekad dalam diri saya — bahawa Malaysia sebenarnya mampu menjadi lebih baik.
Pelancongan luar negara juga mengajar kita tentang perbezaan dan persamaan. Apabila saya solat di masjid kecil di Istanbul, atau duduk minum kopi di jalan-jalan kecil Hanoi, saya sedar bahawa bangsa Malaysia mempunyai keistimewaan — kepelbagaian budaya yang tidak dimiliki semua negara.
Kita ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan banyak lagi etnik yang hidup bersama. Dari pengalaman luar, kita belajar bahawa keharmonian ini bukan sesuatu yang wajar diambil mudah. Ia adalah aset negara, sekaligus sumber patriotisme yang unik.
Dari pengalaman inilah lahir rasa insaf dan kesedaran, bahawa cinta kepada ibu pertiwi bukan hanya melalui pujian, tetapi melalui keinginan melihat tanah air terus maju. Benarlah kata orang tua-tua: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Sama ada suka melancong dalam atau luar negara, yang penting ialah bagaimana kita menanamkan nilai itu dalam diri. Anak muda kita perlu dididik bahawa melancong bukan sekadar untuk mencipta konten media sosial, tetapi sebagai cara menimba pengalaman dan ilmu.
Institusi pendidikan seharusnya memanfaatkan pelancongan domestik sebagai sebahagian daripada kurikulum pembelajaran — agar sejarah tidak hanya dibaca, tetapi dihayati melalui pengalaman sebenar.
Manakala kerajaan pula mesti memastikan produk pelancongan kita diurus dengan baik, agar setiap pengalaman pelancongan meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwa mereka, baik orang kita atau pelancong antarabangsa.
Patriotisme tidak boleh dipaksa. Ia tumbuh daripada kefahaman dan pengalaman. Dan pelancongan, jika dimanfaatkan dengan betul, adalah baja terbaik untuk menyuburkannya.
Saya yakin, sekiranya rakyat Malaysia lebih kerap melancong di dalam negara sambil sesekali melihat dunia luar, mereka akan menjadi generasi yang lebih cintakan tanah air.
Akhirnya, sebagai seorang penyelidik dalam bidang ekonomi pelancongan, saya ingin menegaskan.
Janganlah kita melihat pelancongan hanya sebagai “industri menjana duit.” Ia jauh lebih besar daripada itu. Ia adalah wadah membina karakter bangsa, menanam rasa bangga, dan menyuburkan cinta pada tanah air. Inilah patriotisme yang sejati — lahir dari mata yang melihat, hati yang merasa, dan akal yang menilai.
-- BERNAMA
Prof Dr Mohd Hafiz Hanafiah ialah Timbalan Rektor ICARE, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Selangor.