Dalam usaha kita memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tidak seharusnya mengabaikan sepenuhnya kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat di negara ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris bukanlah bahasa asal negara kita dan ia pernah dikaitkan dengan sejarah penjajahan.
Namun demikian, kita tidak wajar bersikap terlalu emosional dalam isu ini kerana realitinya, bahasa Inggeris telah menjadi bahasa pengantar utama di peringkat global.
Lebih daripada itu, ia merupakan bahasa ilmu yang perlu dikuasai bagi memastikan negara terus berdaya saing dan mampu melangkah ke hadapan.
Penggunaan bahasa Inggeris telah lama dipraktikkan di negara kita, bahkan sejak sebelum merdeka lagi.
Hakikatnya, penggunaan bahasa ini tidak pernah menimbulkan masalah besar terhadap kemajuan negara mahupun terhadap keharmonian masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Hakikatnya, faktor yang boleh menjadi penghalang utama kepada kemajuan sesebuah negara serta keamanan masyarakat bukanlah penggunaan sesuatu bahasa, tetapi kelemahan kita sendiri dalam mengurus, menilai, dan memanfaatkannya dengan bijaksana.
Jangan jadikan isu berkaitan dengan pengunaan bahasa Inggeris sebagai kambing hitam ataupun alasan untuk menutupi sebarang kelemahan yang berlaku dalam negara, masalah yang berlaku dalam masyarakat kita ataupun terhadap diri kita sendiri.
Adalah penting juga isu berkaitan dengan bahasa Inggeris tidak dipolitikan oleh mana – mana pihak demi kepentingan politik sempit mereka.
Usaha Memantapkan Penggunan Bahasa Inggeris
Usaha harus diambil bagi memantapkan lagi pengunaan bahasa Inggeris dalam negara kita seperti usaha yang telah diambil terhadap pengunaan bahasa Melayu.
Usaha ini harus dilakukan pada peringkat awal lagi terhadap para pelajar di peringkat sekolah.
Sebarang usaha yang telah diambil oleh mana - mana pihak untuk memantapkan penguasaan bahasa pengantara (Lingua Franca) iaitu bahasa Inggeris khususnya dikalangan pelajar disemua peringkat dalam negara kita selama ini tidak harus dipandang serong dan rendah oleh mana-mana pihak.
Ianya perlu dilihat sebagai salah satu langkah bagi menyediakan pelajar kita menjadi golongan yang lebih berkemahiran serta mampu berdaya saing pada masa akan datang.
Tumpuan bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar ini juga tidak seharusnya dilihat bakal meminggirkan penguasaan terhadap mana – mana bahasa ibunda tempatan kerana usaha juga telah banyak diambil bagi memantapkan penguasaan bahasa ibunda tempatan dikalangan para pelajar.
Bahasa Inggeris kini ialah bahasa keempat (atau kemungkinan bahasa ketiga bergantung kepada sumber) yang paling banyak dituturi di seluruh dunia dengan lebih 380 juta penutur di seluruh dunia.
Lingua Franca
Ia mempunyai status ”lingua franca” atau ”bahasa pengantara” di kebanyakkan negara dalam dunia.
Bahasa Inggeris juga sekarang adalah paling banyak digunakan dan merupakan bahasa kedua yang paling banyak dipelajari di serata dunia.
Kebanyakan pelajar di seluruh dunia adalah digalakkan untuk mempelajari bahasa Inggeris.
Penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga dilihat menjadi pilihan utama untuk diambil bekerja oleh ramai majikan serta oleh tempat kerja.
Dewasa ini, kelemahan dalam penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar semakin merisaukan, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, mahupun institusi pengajian tinggi (IPT).
Antara punca utama yang dikenal pasti ialah sikap dan pemikiran pelajar itu sendiri, yang jarang mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris yang telah mereka pelajari dalam kehidupan seharian.
Selain itu, kebanyakan pelajar kurang membaca bahan ilmiah berbahasa Inggeris, sebaliknya lebih cenderung memilih bahan bacaan dalam bahasa ibunda yang lebih dekat dengan mereka sejak kecil.
Sikap Pelajar terhadap Bahasa Inggeris
Antara punca lain kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar ialah persepsi mereka terhadap bahasa ini yang hanya dianggap sebagai satu subjek untuk memenuhi syarat pengajian atau sekadar lulus peperiksaan.
Malah, ada juga yang melihat bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang membosankan serta membebankan.
Sikap sedemikian menyukarkan mereka untuk menanam minat, menghayati, dan seterusnya menguasai bahasa antarabangsa ini.
Selain itu, ramai pelajar juga enggan melatih diri untuk bertutur dalam bahasa Inggeris ketika bersama rakan-rakan mereka.
Terdapat juga pelajar yang enggan mencuba berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana berasa malu dan takut melakukan kesalahan, selain bimbang diejek oleh orang sekeliling.
Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar turut diperburuk oleh kurangnya sokongan daripada orang dewasa di persekitaran mereka, yang mungkin kurang menyedari kepentingan menguasai bahasa antarabangsa ini.
Oleh itu, amat penting untuk semua pihak mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik serta menggunakannya tanpa rasa malu atau takut.
Setiap pelajar di semua peringkat perlu diberi lebih banyak latihan dan kursus kemahiran bagi memperkukuh penguasaan bahasa ini.
Pada masa yang sama, mereka juga wajar diberi dorongan serta motivasi agar lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
Pelajar yang tidak fasih tidak seharusnya dipandang rendah atau diperlekehkan, sebaliknya perlu dibantu supaya mereka mampu menguasai serta bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik dan penuh keyakinan.
Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita, khususnya bagi para pelajar.
Sama ada kita suka atau tidak, bahasa Inggeris kini merupakan bahasa antarabangsa yang utama.
Ia juga perlu dilihat sebagai bahasa komunikasi yang penting selain daripada bahasa kebangsaan. Penguasaan bahasa Inggeris, bersama-sama bahasa lain yang semakin mendapat tempat di peringkat global seperti bahasa Arab dan Mandarin, amatlah penting bagi melahirkan generasi muda yang lebih berkemahiran serta berdaya saing, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).