PENA WANITA

Algoritma Bukan Kawan, Elak Kebergantungan Emosi Digital

12/09/2025 05:22 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Izzal Asnira Zolkepli

Selama ini pengguna mungkin berasakan bahawa masing-masing mempunyai kuasa menentukan kandungan yang muncul di media sosial melalui like, subscribe dan follow.

Pengguna mengikuti akaun yang digemari, menonton kandungan yang selari dengan minat, serta melakukannya mengikut keselesaan sendiri.

Sebaliknya, apa yang terpapar di media sosial tidak sepenuhnya berdasarkan pilihan semata-mata.

Ia sebenarnya ditentukan oleh algoritma, iaitu satu sistem yang merancang, menyusun dan menapis kandungan mengikut corak tingkah laku pengguna media sosial.

Algoritma dalam media sosial berperanan sebagai “penapis pintar” dengan memilih, menyusun, dan mencadangkan kandungan supaya setiap orang mendapat pengalaman yang peribadi dan berbeza walaupun menggunakan platform yang sama.

“Penapis pintar” ini memerhati setiap interaksi pengguna, memahami bentuk kandungan kesukaan, jangka masa tontonan sesuatu video, siapa yang diikuti, dan kandungan yang kerap diklik atau dikongsi.

Berdasarkan data ini, algoritma mencadangkan lebih banyak kandungan serupa kepada pengguna.

Masalahnya, algoritma tidak mampu membezakan di antara rasa ingin tahu dan minat sebenar pengguna media sosial.

Cukup hanya sekali pengguna berhenti seketika pada suatu tajuk atau video sensasi, maka pengguna akan terus dihujani dengan kandungan seumpamanya.

Tanpa sedar, pengguna telah mungkin masuk ke dalam ‘gelembung digital’ yang penuh dengan permainan emosi, provokasi dan ketoksikan.

Inilah punca mengapa ramai pengguna media sosial hari ini berasa letih, mudah marah, dan cepat hilang fokus selepas melayari aplikasi kegemaran mereka yang membawa pada satu tahap ketagihan.

Kandungan beremosi tinggi seperti kemarahan, ketakutan atau kontroversi mendapat perhatian lebih kerana ia meningkatkan masa tontonan dan kadar interaksi.

Secara tidak langsung pengguna berdepan dengan kebergantungan emosi digital kerana “penaklukan” algoritma ini.

Ia berlaku bukan kerana pengguna media sosial menyukai sesuatu kandungan negatif, tetapi kerana sistem algoritma dibina untuk menyajikannya.

Pembersihan digital

Apa yang boleh pengguna lakukan? Di sinilah pentingnya kebersihan digital (digital hygiene), iaitu amalan penggunaan media sosial secara sedar dan sihat.

Sebagaimana kebiasaan menjaga kebersihan diri untuk kesihatan fizikal, begitulah juga kebersihan digital membantu pengguna menjaga kesihatan mental dan emosi masing-masing.

Pembersihan digital dimulakan dengan menyedari bagaimana media sosial mempengaruhi emosi, masa dan fikiran pengguna yang mana rata-rata corak dan tabiat penggunaan adalah berbeza.

Pertamanya, nilailah tahap dan tabiat penggunaan digital masing-masing. Kandungan apakah yang sering dilihat, dibaca dan ditonton? Bagaimanakah perasaan pengguna selepas melungsur kandungan media sosial sekurang-kurangnya 15 minit?

Jika pengguna kerap merasa letih, resah atau tidak tenteram, itu petanda awal bahawa ‘digital detok’ diperlukan segera.

Elakkan daripada melayan kandungan yang mengganggu emosi. Jangan biarkan satu klik menjadi tiket untuk algoritma mengawal suasana hati sepanjang hari.

Platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook sebenarnya menawarkan pelbagai alat untuk pengawal mengawal pengalaman digital.

Antaranya, gunakan butang mute atau hide akaun tertentu, tandakan “tidak minat”, susun semula siapa yang pengguna mahu lihat di paparan suapan (feed), atau hadkan notifikasi yang diterima.

Ramai di antara pengguna media sosial yang tidak tahu atau tidak mengambil peluang ini.

Sebenarnya, inilah alat kawalan jauh dalam dunia digital yang hebat. Satu ruang kuasa yang dipunyai oleh pengguna media sosial tetapi tidak digunakan sebaiknya.

Menetapkan had masa

Aspek penting lain dalam menjaga kebersihan digital adalah menetapkan had masa. Media sosial tidak akan pernah habis menyajikan naratif mengikut citarasa yang difahami oleh medium ini.

Jika tidak hadkan sendiri, maka pengguna akan terus melungsur kandungan tanpa sedar akan masa yang berlalu.

Tetapkan waktu khusus untuk membuka media sosial, contohnya 10 minit sebelum rehat tengah hari atau selepas makan malam.

Elakkan menjadikan media sosial sebagai perkara pertama yang dilihat selepas bangun tidur atau sebelum tidur. Tabiat ini kelihatan kecil, tetapi kesannya besar terhadap fokus, kesejahteraan mental dan ketenangan fikiran pengguna media sosial.

Selain itu, pengguna media sosial digalakkan untuk menyusun semula siapa dan apa yang mereka ikuti.

Ikuti akaun yang memberi ilmu, inspirasi atau kepelbagaian perspektif. Elakkan diri daripada terperangkap dengan hanya satu jenis kandungan sahaja.

Dunia digital perlu mencerminkan kepelbagaian, bukan mengukuhkan satu naratif sahaja.

Jika pengguna berasakan suapannya adalah sempit atau berat sebelah, ambil masa untuk reset.

Pengguna tidak perlu padam aplikasi, tetapi boleh memadam corak lama penggunaan dan mulai mencipta pengalaman digital yang lebih sihat.

Para pengguna media sosial harus sedar bahawa kemudahan ini merupakan satu platform perniagaan khususnya aktiviti pengiklanan produk dan perkhidmatan.

Matlamat utama adalah keuntungan, bukan kesejahteraan pengguna. Mereka menjana pendapatan dengan menjual perhatian pengguna kepada pengiklan mengikut suapan kandungan yang dijamah.

Maka, jika pengguna tidak mengawal tingkah laku digital, platform ini akan mengawal pengguna mengikut logik komersial mereka.

Kesedaran ini amat penting bukan untuk menakutkan, tetapi untuk membuka minda dan mata.

Pengguna media sosial mempunyai kuasa mengubah apa yang dilihat dan dirasai. Mulakan dengan memilih bentuk kandungan, siapakah yang diikuti, dan keperluan untuk berehat dari media sosial.

Sedikit demi sedikit, pengguna akan mendapati pengalaman media sosial menjadi lebih seimbang, tenang, sihat dan bermakna.

Jelas bahawa, algoritma bukan kawan tetapi ia boleh diarahkan selagi pengguna yang memegang kawalan dan nakhodanya. Semoga kuasa pengawalan berada di tangan pengguna, bukan sebaliknya.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Izzal Asnira Zolkepli ialah Setiausaha Kehormat, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)