Global Sumud Flotilla (GSF) menjelma sebagai manifestasi keberanian masyarakat sivil yang teguh dalam mempertahankan prinsip perundangan antarabangsa. Armada ini bukan sekadar konvoi bantuan yang membawa bekalan makanan dan perubatan, tetapi suara yang mengingatkan dunia bahawa undang-undang bukan sekadar dokumen di atas kertas tetapi janji kemanusiaan yang mesti ditegakkan walau di tengah lautan ancaman dan tekanan.
GSF menjadi cerminan ujian terhadap kerangka Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa, dan Undang-Undang Jenayah Antarabangsa.
Sejak akhir Ogos 2025, lebih lima puluh buah kapal yang membawa aktivis dari 44 negara, termasuk Greta Thunberg, dilaporkan belayar dari Sepanyol dan Mediterranean menuju ke Gaza. Matlamat utamanya adalah untuk mendesak pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang dikenakan sekatan sejak 2007.
Konvoi ini dilaporkan terpaksa berpatah balik beberapa kali akibat cuaca buruk dan berdepan insiden kebakaran serta serangan dron di perairan Tunisia. Walaupun tiada korban jiwa, insiden tersebut menzahirkan bahawa misi kemanusiaan ini membawa risiko yang nyata. Maklumat ini dilaporkan secara meluas oleh agensi berita antarabangsa serta media arus perdana Eropah.
Pengharaman Kebuluran dalam Undang-Undang Kemanusiaan
Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) mengharamkan secara mutlak penggunaan kelaparan sebagai senjata peperangan. Protokol Tambahan Pertama 1977 kepada Konvensyen Geneva (Perkara 54) memperuntukkan secara spesifik bahawa tindakan menjadikan orang awam kelaparan sebagai kaedah peperangan adalah dilarang.
Kompilasi Undang-Undang Kemanusiaan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), melalui Kaedah 53 hingga 55, menetapkan bahawa objek yang mustahak untuk kelangsungan hidup orang awam tidak boleh diserang, dan bantuan kemanusiaan wajar dibenarkan aksesnya tanpa halangan.
Manual San Remo 1994 turut memperincikan bahawa sekatan maritim hanya boleh dianggap sah sekiranya ia tidak menafikan akses kepada keperluan asas. Apabila sesuatu sekatan itu melumpuhkan kelangsungan hidup masyarakat awam, maka kesahihannya dari segi undang-undang akan terbatal.
Prinsip ini diperkukuhkan lagi melalui penemuan Misi Pencarian Fakta, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan insiden flotila Mavi Marmara pada 2010, yang merumuskan bahawa pengepungan Gaza merupakan satu bentuk hukuman kolektif yang dilarang di bawah Konvensyen Geneva Keempat (Perkara 33).
Justeru, pelaksanaan sekatan yang menafikan kelangsungan hidup orang awam adalah pencabulan undang-undang perang yang mendedahkannya kepada liabiliti negara serta pendakwaan jenayah perang.
Perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes Afrika Selatan lwn. Israel telah mengeluarkan dua perintah interim yang signifikan. Pada 26 Jan 2024, mahkamah mengarahkan Israel untuk membenarkan akses kepada perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan.
Seterusnya, pada 24 Mei 2024, mahkamah mengulangi penegasan terhadap kewajipan tersebut. Bukan sekadar seruan moral, perintah ini merupakan obligasi perundangan yang mengikat (legally binding).
Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 2720 (2023) telah menugaskan Setiausaha Agung untuk melantik seorang Penyelaras Kanan Kemanusiaan dan Pembangunan Semula bagi memastikan penyaluran bantuan berskala besar, termasuk dari laut dilaksanakan.
Ini mencerminkan bagaimana komuniti antarabangsa telah meletakkan kerangka perundangan yang jelas bagi menjamin kelangsungan hidup penduduk Gaza.
Hak Asasi Manusia dan Obligasi Negara
Hak untuk hidup secara bermaruah ialah hak asasi fundamental yang tidak boleh dikompromi (non-derogable)
Ulasan Umum No. 12 oleh Jawatankuasa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (Committee on Economic, Social and Cultural Rights) PBB mengenai makanan, Ulasan Umum No. 15 mengenai air, serta Ulasan Umum No. 14 mengenai kesihatan menggariskan obligasi negara untuk memastikan ketersediaan, kebolehcapaian, dan kualiti keperluan asas.
Ulasan Umum No. 36 oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB pula menekankan hak untuk hidup sebagai prinsip rukun.
Human Rights Watch selama lebih 15 tahun telah melabelkan Gaza sebagai sebuah “penjara terbuka”. Laporan badan itu mendokumentasikan bagaimana penafian akses kepada air, elektrik, bahan api, dan bantuan kemanusiaan merupakan pencabulan undang-undang yang mengancam kelangsungan hidup.
Pada 22 Ogos 2025, mekanisme Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong oleh PBB mengesahkan berlakunya kebuluran tahap Fasa 5 di Gaza. Lebih 500,000 penduduk terjejas, dan angka itu dijangka meningkat kepada 640,000 menjelang akhir September.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan dapatan ini, manakala Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menamakannya sebagai ‘kebuluran buatan manusia’. Fakta ini membuktikan bahawa Obligasi Teras Minimum (Minimum Core Obligations) di bawah undang-undang hak asasi telah dicabuli secara terang-terangan.
Jenayah Perang dan Jenayah Terhadap Kemanusiaan
Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa 1998 menetapkan bahawa tindakan menjadikan orang awam kebuluran secara sengaja adalah jenayah perang di bawah Perkara 8(2)(b)(xxv). Perkara 7(1) pula menegaskan bahawa serangan yang meluas atau sistematik terhadap penduduk awam merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Pada 20 Mei 2024, Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah memohon waran tangkap terhadap pemimpin Hamas dan pemimpin Israel, termasuk Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant, atas jenayah perang penggunaan kelaparan.
Kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, pada 9 Okt 2023 yang menyamakan penduduk Gaza dengan ‘haiwan manusia’ mengukuhkan lagi bukti wujudnya niat penyahinsanan (dehumanization).
Apabila retorik ini disertai dengan tindakan nyata seperti penafian bekalan asas dan penyekatan bantuan, maka elemen niat khusus (dolus specialis) untuk jenayah genosid mula kelihatan.
Desakan Gencatan Senjata dan Konsensus Antarabangsa
Perhimpunan Agung PBB melalui Resolusi ES-10/21 (27 Okt 2023) dan Resolusi ES-10/22 (12 Dis 2023) telah mendesak gencatan senjata kemanusiaan segera, serta pematuhan mutlak terhadap Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa.
Resolusi pertama mendapat 120 undi sokongan, manakala resolusi kedua memperoleh 153 undi. Sokongan majoriti yang amat besar ini mempamerkan konsensus global bahawa bantuan mesti disalurkan dan orang awam wajib dilindungi.
Pada 16 Sept 2025, Suruhanjaya Siasatan PBB menerbitkan sebuah laporan setebal 72 halaman yang merumuskan bahawa Israel sedang melakukan tindakan genosid di Gaza. Empat daripada lima perbuatan terlarang dalam Konvensyen Genosid 1948 telah dikenal pasti.
Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan Israel telah dirujuk sebagai bukti niat genosid. Walaupun ia bukan merupakan pendirian rasmi PBB secara keseluruhan, laporan ini ialah dokumen yang paling tuntas setakat ini dan bakal mempengaruhi prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa serta Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Sumud sebagai Keteguhan Kedaulatan Undang-Undang
Global Sumud Flotilla ialah sebuah misi sivil yang sah dan wajar di bawah undang-undang antarabangsa. Pemeriksaan keselamatan boleh dijalankan, tetapi penggunaan kekerasan terhadapnya akan meruntuhkan sendi-sendi fundamental Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.
Fakta semasa dan kerangka perundangan yang wujud jelas berpihak kepada misi ini.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah memerintahkan akses bantuan, WHO dan IPC mengesahkan realiti kebuluran, Human Rights Watch dan Amnesty International menyifatkan sekatan sebagai hukuman kolektif, ICC menamakan penggunaan kelaparan sebagai jenayah perang, dan Suruhanjaya Siasatan PBB menyimpulkan bahawa tindakan genosid sedang berlaku.
‘Sumud’ bermaksud keteguhan. Pada hari ini, keteguhan bukan sekadar kemampuan untuk bertahan, tetapi keberanian untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang pada saat ia paling rapuh.
Bantuan kemanusiaan mesti menembusi sekatan, orang awam mesti dilindungi, dan pihak yang bertanggungjawab atas pencabulan ini mesti diheret ke muka pengadilan. Jika flotila ini masih dihalang secara tidak sah, maka yang akan karam bukan hanya kapal-kapal di lautan, tetapi juga martabat dan kewibawaan sistem perundangan antarabangsa itu sendiri.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail ialah pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.