PENA WANITA

Kebanjiran Lori Di Jalan Raya: Sisi Cerah Atau Sisi Gelap?

30/12/2025 11:49 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Siti Sarawati Johar

Fenomena lori semakin mendominasi jalan raya Malaysia bukan lagi sekadar persepsi, tetapi ia realiti.

Pemandu kereta dan motosikal sering berada dalam deretan panjang antara lori kontena, treler dan kenderaan berat lain. Apakah mungkin jumlah lori seolah-olah sudah mengatasi jumlah kereta?

Persoalan besar timbul: mengapa keadaan ini berlaku, apakah kesannya kepada pengguna lain, dan sejauh manakah penguatkuasaan terhadap operasi lori di negara ini?

Malaysia masih bergantung besar kepada pengangkutan darat sebagai tulang belakang logistik.

Sistem rel kargo terbatas, menyebabkan penghantaran barang dari pelabuhan, kilang dan gudang dilakukan hampir sepenuhnya melalui lori dengan perjalanan jarak jauh.

Hanya satu peratus kargo di Malaysia diangkut menggunakan rel, berbanding majoriti besar yang masih bergantung kepada lori. Sasaran baharu hanyalah untuk meningkatkan angka itu kepada 10 peratus dalam Rancangan Malaysia ke-13.

Angka ini amat kecil jika dibandingkan dengan negara-negara luar, kerana rel kargo memainkan peranan besar dalam logistik.

Pertumbuhan pesat sektor e-dagang dan industri perkilangan menambah lagi jumlah lori kecil dan besar di jalan raya. Bagi syarikat, lori dianggap lebih fleksibel dan murah berbanding pelaburan dalam sistem rel, dengan menggunakan jalan raya sebagai saluran utama logistik.

Namun, kesan negatif terhadap pengguna lain amat ketara. Statistik rasmi menunjukkan lebih 1,457 kematian direkodkan dalam kemalangan melibatkan lori antara 2019 hingga 2024, dengan ratusan kecederaan parah dan ringan.

Saiz besar lori, blind spot yang meluas, serta muatan berat menjadikan risiko kepada kereta kecil dan motosikal sangat tinggi.

Kesesakan di lebuh raya semakin kronik apabila deretan lori bergerak perlahan, menjejaskan kelancaran perjalanan.

Lori diesel turut menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi, manakala tekanan psikologi merangkumi stres dan runsing pemandu kereta dan penunggang motor juga tidak boleh dipandang ringan.

Kronik lori Malaysia: Dari integriti ke nyawa

Di sinilah timbul persoalan tentang penguatkuasaan. Adakah semua lori yang beroperasi di jalan raya benar-benar membawa muatan sah? Isu rasuah dalam kalangan pihak berkuasa sering dibangkitkan.

Istilah “counter setting” dan “kontena terbang” merujuk kepada manipulasi sistem pemeriksaan di pelabuhan atau sempadan.

Ada kontena yang sepatutnya diperiksa tetapi “terbang” keluar tanpa pemeriksaan. Kes mahkamah membuktikan perkara ini bukan kisah dongeng. Pegawai kastam pernah didakwa atas pertuduhan rasuah kerana melepaskan lori tanpa pemeriksaan.

Fenomena ini menimbulkan keraguan nyata, sejauh manakah kita yakin semua lori di jalan raya membawa barang yang patuh undang-undang?

Masalah ini bukan sekadar soal integriti, dan keselamatan jalan raya, tetapi juga soal keselamatan negara. Jika penguatkuasaan longgar dan rasuah berleluasa, lori menjadi saluran utama jenayah terancang!

Walaupun pihak berkuasa mengumumkan kejayaan menahan lori membawa dadah atau barangan seludup, tetapi persoalannya berapa banyak pula yang terlepas tanpa dikesan, mahupun tidak direkodkan?

Bukti kes terkini Malaysia sebagai transit sindiket dadah, iaitu pada 7 November 2025, apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar satu sindiket dadah antarabangsa di Pelabuhan Klang.

Modus operandi sindiket adalah dengan mengubah suai bahagian atas sebuah kontena dan menyembunyikan dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.44 juta. Kontena tersebut diisytiharkan membawa 22 palet marmar. Hasil risikan bersama Australian Federal Police (AFP) mendapati muatan tambahan turut cuba diseludup.

Malaysia dijadikan lokasi transit, dengan dadah dibawa masuk dari Timur Tengah sebelum dihantar ke pasaran Australia. Ini membuktikan Malaysia bukan sahaja menjadi laluan masuk, tetapi juga pusat transit antarabangsa sindiket dadah.

Lori kontena digunakan untuk mengangkut dadah dalam jumlah yang besar, disembunyikan bersama muatan sah. Begitu juga dengan senjata api, rokok seludup, barangan tiruan, daging-daging beku, malah manusia juga yang turut diperdagangkan.

Automasi, digitalisasi dan kawalan sempadan, resipi empat negara contoh

Jika dibandingkan dengan negara lain contohnya Switzerland, Jepun, Jerman dan Turki, didapati mereka telah jauh ke hadapan mengatasi masalah pengurusan lori, dengan mempunyai sistem logistik lebih seimbang, kereta api kargo dan pelabuhan yang efisien.

Negara-negara ini bukan sahaja menguruskan lori dengan cekap, tetapi juga mempunyai sistem yang secara langsung dapat mengurangkan kebanjiran lori di jalan-jalan raya, mengukuhkan sistem keselamatan pengguna kenderaan ringan, mengelakkan pencemaran dengan menjaga kualiti alam sekitar, serta memantapkan integriti masyarakat dengan mengurangkan isu ruang ketirisan, masalah rasuah dan manipulasi logistik.

Switzerland: LSVA dan pemantauan satelit

Sistem LSVA (Leistungsabhängige Schwerverkehrsabgabe) adalah medium cukai berasaskan prestasi yang dikenakan ke atas lori sejak tahun 2001 di Switzerland. Kadar cukai bergantung pada kilometer yang dilalui, berat lori dan tahap pencemaran.

Bermula tahun 2025, sistem ini dipantau melalui Global Navigation Satellite System (GNSS), dengan setiap lori dipasang alat jejak satelit. Data dihantar terus ke Federal Office for Customs and Border Security (BAZG), tanpa campur tangan manusia bagi memastikan ketelusan. Ini hampir menghapuskan peluang manipulasi, ketirisan dan rasuah dalam kutipan tol dan kawalan lori.

Disebabkan kos operasi lori yang tinggi, pengangkutan barang lebih banyak dialihkan kepada rel, manakala lori digunakan hanya bila benar-benar perlu.

Jepun: Automasi dan pengurusan berasaskan teknologi

Sistem Autoflow Road menggantikan 25,000 lori dengan tali sawat automatik, tiada pemandu, dan tiada interaksi manusia.

Pengurusan lori di Jepun sangat berdisiplin, dengan jadual digital, laluan tetap dan pemantauan berterusan. Penguatkuasaan trafik menggunakan kamera, sensor dan sistem penalti automatik. Ini juga dapat mengurangkan ruang untuk manipulasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jerman: Sistem Transport Management (TMS) dan Perancangan Dinamik

Lori dikawal melalui sistem digital TMS yang merancang laluan, muatan dan masa perjalanan.

Setiap perjalanan direkod dan dianalisis secara langsung, oleh itu tiada ruang untuk “jalan belakang.”Pelabuhan seperti Hamburg menggunakan sistem pengimbas dan integrasi kastam digital. Ketelusan tinggi dan audit berterusan berjaya mengelakkan rasuah berlaku.

Turki: Kawalan Sempadan dan Permit Ketat

Setiap lori asing perlu permit khas dan pemeriksaan kastam yang teliti. Sistem sempadan Turki direka untuk mengurangkan interaksi manual, dengan penggunaan sistem digital dan pengimbas automatik.

Pelabuhan seperti Mersin dan Istanbul menggunakan zon logistik terkawal, yang mana hanya lori yang diluluskan boleh keluar masuk. Ini mengurangkan peluang “kontena terbang” dan rasuah di pintu sempadan.

Automasi, rel dan integriti logistik, jalan keluar dari banjir lori

Keempat-empat negara tersebut menunjukkan bahawa pengurusan lori yang cekap mesti datang bersama sistem integriti.

Mereka membanteras masalah rasuah bukan dengan sekadar penguatkuasaan, tetapi dengan menghapuskan peluang rasuah melalui automasi, digitalisasi dan pemantauan langsung.

Malaysia perlu belajar dari kaedah ini, kerana selagi sistem dominan dengan interaksi manual, ruang untuk “kontena terbang,” “counter setting” dan penyeludupan tidak mustahil masih wujud dan berlarutan, sehingga memudaratkan segala aspek.

Masalah kemalangan, kesesakan, pencemaran dan risiko jenayah yang berpunca daripada dominasi lori di jalan raya perlu diberi perhatian sewajarnya.

Cadangan penyelesaian di Malaysia perlu dilihat secara menyeluruh. Pelaburan besar dalam kereta api kargo boleh diutamakan.

Jika Switzerland Jepun, Jerman dan Turki boleh mengurangkan lori melalui rel dan sistem kawalan ketat, Malaysia juga pasti boleh.

Lorong khas untuk lori di lebuh raya boleh diwujudkan bagi mengurangkan gangguan kepada kereta dan motosikal. Integriti pihak berkuasa mesti diperkukuh, dengan sistem pengimbas automatik di pelabuhan dan sempadan untuk mengurangkan ruang manipulasi.

Teknologi hijau seperti lori elektrik atau biodiesel boleh digalakkan bagi mengurangkan pencemaran.

Pemandu lori pula perlu dilatih dengan lebih ketat, termasuk kesedaran tentang risiko kepada pengguna lain. Langkah yang praktikal kepada keselamatan jalan raya perlu dikekalkan seperti larangan lori beroperasi di jalan raya pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Fenomena lori semakin banyak bukan sekadar isu logistik. Ia adalah cerminan kelemahan sistem pengangkutan alternatif, kelemahan penguatkuasaan, dan cabaran besar dalam membanteras jenayah terancang.

Jika Malaysia ingin menyaingi negara maju, pelaburan dalam sistem rel kargo seharusnya disegerakan. Penguatkuasaan perlu diperkukuh dengan teknologi moden dan integriti pihak berkuasa.

Tanpa langkah drastik, jalan raya negara akan terus dibanjiri lori, bukan sahaja kerana logistik yang sah dari segi undang-undang, tetapi juga berpotensi secara kontra di sebaliknya kerana di ambil kesempatan sebagai saluran aktiviti jenayah.

Akhirnya, pengguna jalan raya lain bukan sahaja berisiko kemalangan, tetapi juga terpaksa menjadi saksi kepada kelemahan sistem yang mengakibatkan jenayah beroperasi di depan mata, tetapi terselindung di sebalik dinding-dinding lori.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Siti Sarawati Johar ialah daripada Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)