Oleh Muhammad Danial Mohamed Farook
Tahun ini menyaksikan pelbagai inisiatif agresif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Namun, satu dasar yang benar-benar menangkap perhatian pemerhati pendidikan adalah langkah mewajibkan pendidikan menengah sehingga Tingkatan 5.
Persoalannya, adakah ini satu anjakan yang kritikal?
Realitinya, sebelum ini Malaysia hanya mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah rendah. Dasar ini terbukti berjaya apabila kadar penyertaan murid sekolah rendah melonjak daripada 92.9 peratus sebelum dasar diperkenalkan pada 2003, kepada 99.39 peratus pada tahun 2024.
Namun, kejayaan ini tidak diteruskan dengan konsisten di peringkat menengah. Statistik semasa menunjukkan kadar enrolmen jatuh kepada 96.31 peratus di peringkat menengah rendah, dan menyusut lagi kepada 92.6 peratus di peringkat menengah atas.
Lebih meresahkan, kadar keciciran keseluruhan mencatatkan 0.83 peratus. Jika kanta difokuskan ke kawasan luar bandar, kadar keciciran sebenarnya menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan. Ia meningkat daripada 3.13 peratus pada 2017 kepada 4.67 peratus pada 2023.
Realiti Pahit: Mengapa Mereka Cicir?
Mengapa anak-anak ini meninggalkan bangku sekolah?
Pucuk pangkalnya sering kali berbalik kepada desakan ekonomi. Kemiskinan memaksa pelajar melupakan buku demi masuk ke alam pekerjaan bagi menampung keluarga. Hal ini ditambah pula dengan kos penyediaan persekolahan yang dianggap membebankan.
Selain itu, jurang kesedaran dalam institusi keluarga turut menyumbang kepada masalah ini. Di kawasan pedalaman, termasuk dalam kalangan komuniti Orang Asli, masih wujud persepsi bahawa pendidikan formal tidak penting kerana anak-anak boleh sekadar mewarisi pekerjaan tradisi ibu bapa.
Faktor geografi tidak kurang hebatnya menjadi penghalang. Berbeza dengan sekolah rendah yang berjumlah 7,778 buah dan lazimnya dekat dengan komuniti, jumlah sekolah menengah hanya 2,458 buah. Ini adalah satu jumlah yang kecil dengan akses asrama yang terhad.
Bayangkan, ada pelajar yang perlu menempuh perjalanan dua hingga tiga jam semata-mata untuk menuntut ilmu.
Kitaran Kemiskinan dan Risiko Sosial
Sering kedengaran suara sumbang yang berkata bahawa biarlah anak-anak ini memilih haluan mereka sendiri jika tidak mahu belajar.
Pandangan ini silap.
Masalahnya bukan hari ini, tetapi kesannya pada masa hadapan. Tanpa kelayakan SPM atau kemahiran teknikal, golongan ini bakal terperangkap dalam pekerjaan tidak mahir yang berisiko tinggi serta bergaji rendah.
Akhirnya, mereka gagal keluar daripada belenggu kemiskinan dan mewariskan kesusahan yang sama kepada generasi seterusnya.
Lebih menakutkan, sekolah sebenarnya berfungsi sebagai pelindung sosial. Apabila remaja keluar dari sistem pendidikan terlalu awal, mereka jauh lebih terdedah kepada risiko jenayah, masalah disiplin, dan gejala sosial.
Belajar Dari Jiran Tetangga
Malaysia tidak bersendirian dalam usaha ini. Lihat sahaja negara jiran, Indonesia, yang telah melaksanakan program wajib belajar 12 tahun sejak 2013 merangkumi sekolah rendah hingga menengah atas.
Impaknya sangat signifikan. Kadar buta huruf di sana menjunam dari 40 peratus kepada hanya 8 peratus. Malah, trend enrolmen ke sekolah meningkat drastik daripada 70.53 peratus pada 2012 kepada 83.82 peratus pada 2025.
Ekosistem Sokongan: Bukan Sekadar Undang-Undang
Adakah pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan semata-mata mampu menyelesaikan masalah?
Jawapannya tidak kerana ia mesti disusuli dengan ekosistem sokongan yang kukuh.
Di sinilah peranan bantuan kerajaan menjadi tunjang. Bantuan Awal Persekolahan (BAP) meringankan beban pembelian kelengkapan, manakala Bantuan Kecil Persekutuan (BKP) sebanyak RM70 sebulan diberikan kepada keluarga layak.
Namun, ketegasan perlu ada.
Di bawah pindaan RUU ini, ibu bapa yang gagal memastikan anak mereka bersekolah boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga 6 bulan. Hukuman ini bukan untuk menzalimi, tetapi sebagai isyarat jelas bahawa pendidikan adalah hak asasi anak yang tidak boleh dikompromi.
K9 dan K11: Penyelesaian Luar Kotak
Menyedari pembinaan sekolah baharu memakan masa dan kos tinggi, KPM telah memperluaskan konsep Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan K11. Sekolah K9 menggabungkan pendidikan dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3, manakala K11 membawa murid sehingga ke Tingkatan 5 di satu lokasi yang sama.
Strategi ini membuahkan hasil. Dalam tempoh tiga tahun, jumlah sekolah K9 meningkat kepada 25 buah, manakala K11 sebanyak 5 buah. Impaknya dapat dilihat apabila kadar transisi murid Orang Asli dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu meningkat daripada 89 peratus pada 2023 kepada 94.70 peratus setakat November 2025.
SPM: Lesen Kehidupan Dewasa
Tuntasnya, bayangkan pendidikan menengah ini umpama lesen memandu untuk kehidupan dewasa.
Tanpa lesen ini iaitu SPM atau Sijil TVET, anda mungkin masih boleh bergerak atau bekerja, tetapi anda hanya mampu berjalan kaki di lorong sempit dengan pendapatan rendah.
Anda tidak dibenarkan memandu di lebuh raya kerjaya profesional untuk pergi lebih jauh dan pantas. Dengan undang-undang baharu ini, kerajaan kini bertindak tegas. Ia bukan untuk menghukum, tetapi untuk memastikan tiada lagi anak watan yang dibiarkan berjalan tanpa arah di jalan raya kehidupan yang serba mencabar ini.
-- BERNAMA
Muhammad Danial Mohamed Farook ialah Felo Teach For Malaysia, sebuah Program Pembangunan Kepimpinan selama dua tahun yang intensif sepenuh masa dan bergaji penuh yang direka khusus untuk melengkapkan bakal pemimpin dengan kemahiran, pengalaman lapangan, dan jaringan untuk mencipta perubahan dalam bilik darjah, komuniti, dan sistem pendidikan dalam jangka panjang.