PENA WANITA

Syawal Di Skrin Kecil: Antara Tradisi Dan Algoritma

19/03/2026 10:14 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Rahmahtunnisah Sailin

Setiap kali Ramadan menghampiri Syawal, ruang digital Malaysia seakan berubah wajah.

Jika dahulu lagu raya hanya bergema di radio, televisyen atau pusat membeli-belah, kini ia hidup dalam bentuk baharu iaitu klip pendek 10 hingga 20 saat di TikTok, Instagram Reels dan YouTube Shorts.

Dunia digital menjadikan lagu raya bukan sekadar didengar, tetapi dipersembahkan semula sebagai kandungan hiburan yang tular.

Fenomena ini melahirkan lagu-lagu moden seperti Raya Mana Dulu, Ketipak Ketipung Raya dan Alamak Raya Lagi paling mencuri perhatian.

Lagu ini bukan sahaja popular di Malaysia, malah menembusi pasaran global apabila cabaran tariannya diikuti oleh artis antarabangsa dan komuniti luar negara.

Aidilfitri kini diraikan bukan sekadar dengan juadah dan kunjungan, tetapi juga dengan ribuan video pendek yang berputar di telefon pintar.

Strategi Populariti di Era Algoritma

Dalam ekosistem media sosial, kejayaan sesebuah lagu tidak lagi bergantung pada keseluruhan komposisi.

Sebaliknya, ia ditentukan oleh “hook” paling pendek yang mudah diulang dan ditiru.

Potongan audio “alamak, alamak, alamak” misalnya menjadi bahan sempurna untuk TikTok yang lebih ringkas, lucu dan sesuai dijadikan cabaran tarian. Inilah logik algoritma: semakin mudah ditiru, semakin besar peluang ia menjadi trend.

Tidak hairanlah ada lagu raya kini direka dengan formula tertentu: rentak rancak, lirik ringan dan chorus yang mudah dipotong untuk klip viral. Lagu raya moden seolah-olah lahir dengan strategi media sosial di minda penciptanya.

Di TikTok, lagu raya bukan sekadar hiburan audio, tetapi menjadi latar kepada pelbagai bentuk kandungan.

Cabaran tarian raya, video komedi keluarga tentang persiapan kelam-kabut, “POV raya” seperti dilema balik kampung atau rumah mentua dahulu, serta transformasi outfit Raya sebelum dan selepas bersiap, semuanya menjadi trend tahunan.

Menariknya, banyak video ini sebenarnya dirakam dalam ruang keluarga sendiri; di ruang tamu, dapur atau halaman rumah lalu dikongsi sebagai kenangan bersama.

Budaya raya kini bukan sahaja dialami, tetapi turut dipersembahkan kepada khalayak digital.

Kandungan raya menjadi sebahagian daripada ekosistem hiburan negara, diulang kongsi dan ditiru semula oleh ribuan pengguna.

Antara Hiburan Tular dan Kritikan Nilai

Namun, fenomena ini tidak terlepas daripada kritikan.

Ada yang melihat trend lagu raya viral sebagai terlalu ringan atau sekadar gimik media sosial.

Malah, terdapat teguran daripada tokoh agama dan masyarakat terhadap cabaran tarian raya yang dianggap kurang sesuai dengan batas agama, adab budaya dan nilai kesopanan.

Perdebatan ini membuktikan bahawa lagu raya bukan sekadar hiburan, tetapi simbol budaya dan identiti bersama.

Apabila ia dipersembahkan dengan corak dan medium yang dianggap kurang sesuai, sensitiviti mudah timbul.

Kebimbangan turut wujud bahawa unsur sentimental; kerinduan pulang kampung, memohon maaf, nilai kekeluargaan yang dilihat semakin terpinggir apabila lagu raya dibentuk oleh kuasa tular semata-mata.

Evolusi Kreatif dan Inklusif

Namun dari sudut lain, trend TikTok raya boleh dilihat sebagai evolusi kreatif generasi muda dalam meraikan Aidilfitri era digital.

Cabaran besar bagi pengkarya muzik ialah mencari keseimbangan: menghasilkan lagu relevan untuk Generasi Z dan Alpha, sambil mengekalkan nilai emosi bagi Generasi X dan Y.

Tidak semua trend bersifat hiburan ringan. Lagu Serumpun oleh MimiFly misalnya menjadi tular melalui persembahan bahasa isyarat di TikTok.

Komuniti pekak menghasilkan video menterjemahkan lirik lagu tersebut, membuka ruang inklusif kepada pengalaman muzik raya.

Fenomena ini membuktikan media sosial juga mampu memperluaskan akses budaya kepada kelompok yang sering terpinggir daripada hiburan arus perdana.

Nostalgia Keluarga dan Lagu Raya Klasik

Walau bagaimana pun, lagu raya yang benar-benar bertahan biasanya bukan sekadar viral untuk satu musim.

Ia membawa naratif kekeluargaan, nostalgia dan rasa kebersamaan. Lagu klasik seperti Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad atau Suasana Hari Raya oleh Anuar Zain dan Ellina menggambarkan kerinduan pulang ke desa, memohon maaf dan kehangatan keluarga.

Lagu-lagu ini hidup puluhan tahun kerana ia adalah sebuah cerita dan emosi lengkap, menjadikannya sesuatu yang tidak boleh dipendekkan oleh algoritma.

Tradisi Lama dan Realiti Baharu

Melihat kepada perspektif yang berbeza, media sosial tidak memusnahkan budaya dan tradisi, tetapi membuka ruang baharu untuk generasi muda mengekspresikan kegembiraan Aidilfitri.

Video keluarga menari ringkas, kandungan persiapan juadah atau gurauan tentang “Raya mana dulu” memperlihatkan dinamika komunikasi keluarga dan komuniti yang masih hidup, cuma kini dipaparkan kepada khalayak digital.

Inilah realiti baharu budaya raya: tradisi lama tidak hilang, tetapi berdampingan dengan algoritma. Lagu klasik masih bergema di radio dan pusat membeli-belah, sementara lagu viral menguasai ruang telefon pintar.

Di antara dua dunia itu, Aidilfitri terus diraikan, sama ada melalui nostalgia mendalam, atau sekadar senyuman dalam video 15 saat.

-- BERNAMA

Rahmahtunnisah Sailin ialah Pensyarah, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)