Mei kembali lagi dan seperti lazimnya, media sosial mula dibanjiri dengan dedikasi buat insan bergelar ibu.
Namun, di sebalik visual bunga-bungaan dan ucapan puitis, terselindung satu realiti yang sering kita terlepas pandang dalam hiruk-piruk kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.
Sebagai seorang kaunselor, saya melihat satu fenomena yang kian meruncing iaitu "perang dingin" antara ibu bekerjaya dan ibu suri rumah, serta kesunyian yang mencengkam jiwa ibu tunggal.
Kita sering terlupa bahawa di sebalik label-label ini, ada sekeping hati yang sedang berjuang dengan kepenatan, keraguan diri (self-doubt) dan harapan yang tidak bertepi demi masa depan anak-anak.
Berbeza peranan
Isu insecurity atau rasa rendah diri sering menjadi "tetamu tidak diundang" dalam jiwa para ibu.
Bagi ibu suri rumah, mereka kadangkala merasa terpinggir daripada arus kemodenan, merasa sumbangan mereka tidak nampak di mata kasar ekonomi, lalu timbul satu mekanisme pertahanan diri yang agresif.
Apabila berlaku sesuatu isu melibatkan anak-anak, sering kedengaran dialog seperti, "Sebab itulah aku sanggup berhenti kerja, demi anak," yang secara tidak langsung mengguris hati ibu yang bekerjaya.
Sebaliknya, ibu bekerja pula sering dihantui rasa bersalah (mom guilt) kerana tidak dapat berada di sisi anak setiap waktu, sedangkan mereka juga sedang berjihad memerah keringat demi kelangsungan ekonomi keluarga dalam keadaan kos sara hidup yang kian mencabar.
Dari sudut psikologi, perbuatan membanding-bandingkan ini sebenarnya berpunca daripada tekanan sosial yang mahukan imej "ibu sempurna".
Kesannya bukan sekadar stres biasa kerana boleh membawa kepada kelesuan emosi (burnout) dan kemurungan.
Apabila seorang ibu merasakan dirinya gagal mencapai piawaian yang ditetapkan oleh persepsi masyarakat, dia akan mula mengalami defisit harga diri.
Tingkah laku membandingkan diri dengan orang lain sama ada untuk merasa lebih hebat atau merasa lebih kerdil hanyalah cerminan kepada ketidakstabilan emosi dalaman.
Kita perlu faham bahawa setiap ibu mempunyai "medan perang" yang berbeza.
Pengorbanan ibu maraton kasih sayang yang panjang
Membandingkan pengorbanan antara ibu bekerjaya dan ibu suri rumah adalah ibarat membandingkan epal dan oren yang kedua-duanya bernutrisi, cuma berbeza bentuk dan rasanya.
Janganlah kita lupakan satu lagi kelompok yang sering "tercicir" daripada radar sokongan kita, iaitu ibu tunggal.
Di Malaysia, ibu tunggal bukan sahaja bergelut dengan bebanan tugas dua kali ganda sebagai bapa dan ibu, malah sering berhadapan dengan stigma sosial yang menyisihkan mereka.
Mereka sering berjuang dalam sunyi, menelan kepahitan hidup demi memastikan sesuap nasi di pinggan anak.
Keberanian mereka berdiri teguh di tengah badai kehidupan adalah satu manifestasi kekuatan mental yang luar biasa yang sepatutnya mendapat penghormatan tertinggi daripada komuniti.
Islam sendiri meletakkan darjat ibu di tempat yang sangat mulia tanpa membezakan status kerjaya atau status perkahwinan mereka.
Rasulullah SAW bersabda bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu yang merupakan satu metafora tentang pengabdian dan pengorbanan yang tiada galang gantinya.
Agama kita mengajar sifat rahmah iaitu kasih sayang yang melimpah-limpah. Sifat ini seharusnya diterjemahkan dengan cara kita memandang sesama ibu dengan pandangan yang penuh empati bukan dengan kanta yang menghakimi.
Allah SWT menilai usaha dan keikhlasan hati, bukannya berapa banyak hantaran di media sosial atau berapa besar gaji bulanan kita.
Setiap titisan peluh ibu suri rumah yang menguruskan rumah tangga dan setiap langkah ibu bekerja ke pejabat adalah ibadah yang dinilai tinggi di sisi-Nya.
Oleh itu, marilah kita menukar naratif persaingan ini kepada naratif penyembuhan. Langkah pertama adalah dengan berhenti membandingkan "siapa yang lebih berkorban".
Sebagai ibu, hargailah pilihan masing-masing. Jika anda seorang suri rumah, banggalah kerana anda adalah pengurus institusi keluarga yang paling hebat.
Jika anda ibu bekerja, banggalah kerana anda adalah pejuang ekonomi yang kental. Kepada masyarakat, berikanlah sokongan moral kepada ibu tunggal di sekeliling anda.
Ringankan beban mereka, bukan menambah beban emosi mereka dengan pandangan sinis.
Dalam dunia psikologi, "sistem sokongan" (support system) adalah kunci utama kesihatan mental. Jadilah sistem sokongan itu, bukan menjadi punca tekanan kepada ibu yang lain.
Bagi para ibu yang sedang membaca coretan ini, ketahuilah bahawa anda sudah melakukan yang terbaik.
Apabila anda merasa lelah, carilah ruang untuk bernafas. Tidak mengapa untuk mengaku penat dan tidak mengapa untuk meminta bantuan.
Kesihatan mental anda adalah aset paling berharga buat anak-anak anda. Seorang ibu yang bahagia akan membesarkan anak yang bahagia.
Praktikkan belas kasihan terhadap diri sendiri (self-compassion).
Jangan biarkan kata-kata negatif di media sosial menentukan nilai diri anda sebagai seorang ibu. Anda adalah "ratu" di istana anda sendiri, walau apa pun bentuk istana itu.
Sebagai penutup, Mei ini biarlah menjadi titik mula untuk kita saling merangkul, bukan memukul emosi sesama sendiri.
Setiap ibu sama ada yang memegang pen di pejabat, yang memegang senduk di dapur, mahupun yang berjuang sendirian tanpa pasangan semuanya adalah wira yang tidak didendang.
Perjalanan keibuan bukanlah sebuah perlumbaan tetapi sebuah maraton kasih sayang yang panjang.
Semoga Allah SWT sentiasa menguatkan bahu para ibu, menenangkan jiwa yang lara dan memberkati setiap inci pengorbanan yang diberikan.
Selamat Hari Ibu kepada semua wanita hebat di Malaysia. Anda semua berharga, anda semua layak diraikan dan anda semua adalah anugerah terindah buat dunia.
--BERNAMA
Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin ialah kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.