Oleh Norashikin Azmi
Hari Raya Aidilfitri sering dikaitkan dengan kegembiraan, kunjung-mengunjung dan kemeriahan keluarga.
Namun, bagi sebahagian individu, khususnya anak yang menjaga ibu atau ayah yang sakit, makna Raya berubah menjadi lebih mendalam dan mencabar.
Ia bukan sekadar soal tradisi, tetapi tentang mengimbangi tuntutan emosi, fizikal dan komunikasi dalam keluarga.
Sebagai anak bongsu yang diberi amanah menjaga kedua ibu dan ayah yang uzur, pengalaman melalui Hari Raya dalam keadaan ini benar-benar mengubah perspektif hidup penulis.
Setiap pagi Raya tidak lagi dimulakan dengan kesibukan menyediakan juadah semata-mata, tetapi dengan memastikan ubat diberi tepat waktu, tubuh mereka selesa dan keperluan asas dipenuhi.
Dalam diam, detik-detik itu menjadi ruang yang paling dekat untuk merasai kasih sayang yang tulus apabila tangan yang dahulu memimpin kita kini kita genggam dengan penuh berhati-hati.
Hari Raya bukan lagi sekadar sambutan, tetapi menjadi momen yang menguatkan ikatan kasih antara anak dan ibu ayah yang terlantar sakit.
Pengalaman menjaga orang tua yang uzur ketika musim perayaan membuka ruang refleksi bahawa tidak semua kegembiraan perlu diterjemah dengan cara yang sama.
Dalam konteks ini, keutamaan bukan lagi pada kemeriahan, tetapi kesejahteraan insan yang paling memerlukan perhatian.
Mengubah Keutamaan: Pesakit Didahulukan
Dalam budaya kita, melayan tetamu dengan sebaik mungkin adalah satu nilai murni.
Namun, apabila berada dalam situasi menjaga pesakit, keutamaan perlu disusun semula. Keadaan pesakit harus sentiasa menjadi pertimbangan utama.
Jika pesakit penat atau tidak selesa, tidak mengapa untuk menghadkan ziarah atau memendekkan masa lawatan. Dari sudut komunikasi kekeluargaan, ini menuntut kejelasan peranan.
Anak sebagai penjaga perlu berani menyampaikan kepada ahli keluarga dan tetamu bahawa keadaan tidak mengizinkan untuk menerima kunjungan terlalu lama atau terlalu ramai.
Keupayaan menetapkan jangkaan ini penting bagi mengelakkan salah faham atau rasa tersinggung dalam kalangan sanak saudara.
Dilema Membawa Pesakit Beraya: Antara Risiko dan Keperluan
Salah satu cabaran utama ialah membuat keputusan sama ada membawa pesakit keluar beraya atau tidak.
Secara emosinya, keputusan untuk tidak membawa ibu atau ayah keluar mungkin terasa seperti “menghilangkan” suasana Raya mereka.
Namun dari sudut penjagaan, ia adalah satu pilihan paling selamat.
Perjalanan jauh, kesesakan jalan raya, perubahan persekitaran dan kekangan kemudahan boleh memberi tekanan besar kepada pesakit.
Risiko seperti keletihan melampau, gangguan jadual ubat dan kecemasan kesihatan adalah realiti yang perlu dihadapi.
Namun, komunikasi yang baik dalam keluarga boleh membuka ruang pengecualian.
Jika lokasi ziarah mesra pesakit, tidak terlalu sesak dan tuan rumah memahami keperluan penjagaan, lawatan ringkas boleh dipertimbangkan.
Di sinilah pentingnya empati kolektif dalam keluarga besar.
Mengurus Ziarah dan Suasana Rumah Secara Berhemah
Satu lagi aspek penting ialah mengawal tempoh dan bilangan tetamu.
Pesakit mempunyai tenaga yang terhad dan interaksi sosial yang berpanjangan boleh menjadi sangat meletihkan.
Pendekatan seperti menetapkan waktu ziarah, mengehadkan bilangan pelawat dalam satu masa atau menyusun kehadiran secara berperingkat boleh membantu.
Dalam konteks komunikasi, ini memerlukan kejelasan dan ketegasan yang disampaikan secara sopan.
Rumah yang mempunyai pesakit juga memerlukan suasana yang berbeza daripada kebiasaan Raya. Bunyi bising, gelak tawa yang kuat atau pergerakan yang tidak terkawal boleh mengganggu rehat pesakit.
Di sinilah sensitiviti emosi menjadi elemen penting.
Ahli keluarga juga perlu memainkan peranan sebagai “penapis sosial” memastikan suasana kekal terkawal tanpa menjejaskan adab menerima tetamu.
Mendidik tetamu secara halus seperti memaklumkan keadaan pesakit atau menetapkan “zon tenang” adalah satu bentuk komunikasi berhemah yang sangat diperlukan.
Ketegasan dan Kepekaan dalam Penjagaan
Ramai penjaga berdepan dilema untuk berkata “tidak” kerana bimbang dilihat tidak mesra.
Namun, dalam realiti penjagaan, ketegasan adalah satu bentuk kasih sayang.
Menolak kunjungan ketika pesakit tidak bersedia, memendekkan tempoh lawatan atau meminta tetamu memahami keadaan bukanlah satu kekasaran, sebaliknya satu tanggungjawab.
Ia mencerminkan keupayaan menetapkan batas yang sihat demi kesejahteraan bersama.
Dalam masa sama, penjaga perlu sentiasa peka terhadap keadaan pesakit.
Sepanjang tetamu berada di rumah, perhatikan tanda-tanda pesakit mula penat seperti perubahan wajah, pernafasan atau respon.
Jika perlu, tangguhkan sesi ziarah dengan cara yang baik.
Jangan terleka melayan tetamu sehingga terlepas waktu ubat, makan atau rehat pesakit. Konsistensi rutin adalah faktor penting dalam mengekalkan kestabilan kesihatan mereka.
Ini memerlukan disiplin serta pembahagian peranan dalam kalangan ahli keluarga agar tiada keperluan penting yang terlepas pandang.
Menerima Seadanya dan Menyusun Ziarah dengan Lebih Terurus
Hakikatnya, Raya dalam situasi ini tidak akan sama seperti sebelumnya.
Rumah mungkin tidak sempurna, hidangan tidak semewah biasa dan layanan tidak seperti dahulu.
Namun, di sinilah terletaknya nilai keikhlasan.
Tetamu yang hadir dengan niat menziarahi pesakit lazimnya lebih memahami dan tidak menilai dari sudut luaran.
Pendekatan seperti menganjurkan rumah terbuka pada hari tertentu boleh menjadi solusi praktikal.
Ia membolehkan penjaga membuat persediaan rapi, mengawal suasana dan mengurangkan keletihan akibat kunjungan berulang.
Ia juga memudahkan penyampaian maklumat kepada ahli keluarga tentang waktu yang sesuai untuk berkunjung.
Makna Raya yang Lebih Mendalam
Akhirnya, menjaga ibu atau ayah yang sakit ketika Raya bukan bermakna kehilangan kegembiraan.
Sebaliknya, ia adalah perjalanan yang memperkayakan makna Aidilfitri itu sendiri.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
Dalam diam, kita sedang berusaha menjadi anak yang soleh yang bukan sahaja mendoakan, tetapi juga berbakti dan menjaga ibu ayah ketika mereka paling memerlukan.
Kini, walaupun kedua-dua ibu dan ayah telah meninggal dunia, kasih sayang yang mendalam itu tidak dapat digantikan dengan apa jua sekalipun.
Ramadan dan Syawal tetap disyukuri, walaupun hadir bersama rasa sunyi yang tidak dapat disembunyikan.
Rindu untuk menatap wajah mereka sering datang tanpa diundang, apatah lagi untuk berpeluk, bersalaman mengucapkan Selamat Hari Raya serta memohon maaf dan restu.
Namun, kenangan menjaga mereka menjadi hadiah paling berharga, satu bukti bahawa kasih yang diberi ketika mereka masih ada, tidak pernah sia-sia.
- -BERNAMA
Norashikin Azmi ialah Pegawai Tadbir Universiti Islam Selangor (UIS).