SALAM DARI BEIJING

Tai Chi, Bahasa Kesihatan Malaysia - China

12/06/2026 10:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Siti Zanariah Nor Zin

“Tarik nafas perlahan-lahan, gerakkan tangan mengikut rentak dan fokus pada keseimbangan badan.”

Itu antara arahan pertama yang diberikan jurulatih ketika penulis menyertai kelas Tai Chi di Beijing baru-baru ini.

Pergerakannya yang perlahan membuatkan ia kelihatan mudah untuk dipelajari.

Namun sebaik sahaja cuba mengikuti setiap langkah dan posisi yang ditunjukkan, penulis segera menyedari bahawa seni pergerakan tradisional China itu memerlukan lebih daripada sekadar menggerakkan anggota badan.

Tai Chi merupakan amalan yang menggabungkan pergerakan fizikal, teknik pernafasan dan tumpuan mental bagi membantu mencapai keseimbangan antara tubuh dan minda.

Berasal dari China sejak ratusan tahun lalu, ia terus diamalkan sehingga hari ini sebagai salah satu aktiviti yang menyokong gaya hidup sihat.

Atas sebab itu, Tai Chi sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan termasuk meningkatkan keseimbangan badan, fleksibiliti, kekuatan otot serta membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan.

Kepentingan Tai Chi bukan sahaja diiktiraf di China, malah di peringkat antarabangsa.

Pada 2020, amalan tersebut disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO (Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity), sekali gus mengiktiraf nilai budaya dan falsafah yang diwarisi turun-temurun sejak berabad lamanya.


Gerak perlahan tetapi tidak mudah

Pengalaman menyertai kelas Tai Chi itu memberikan perspektif baharu kepada penulis.

Pada mulanya, penulis menyangka sesi tersebut tidak memerlukan banyak tenaga kerana hampir semua pergerakannya dilakukan secara perlahan.

Namun selepas beberapa minit mengikuti arahan jurulatih, penulis mendapati setiap gerakan memerlukan keseimbangan badan, koordinasi anggota dan tahap fokus yang tinggi.

Ada ketika penulis perlu mengimbangi berat badan pada sebelah kaki sambil memastikan kedudukan tangan dan bahu berada pada posisi yang betul.

Kelihatan mudah apabila dilakukan oleh jurulatih, tetapi menjadi cabaran apabila cuba mengikutinya sendiri.

Lebih menarik, sepanjang sesi berlangsung, peserta tidak digalakkan melakukan pergerakan secara tergesa-gesa. Sebaliknya, setiap gerakan perlu dilakukan dengan tenang dan terkawal sambil memberi perhatian kepada pernafasan.

Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, pengalaman itu seolah-olah mengingatkan penulis tentang pentingnya memperlahankan rentak kehidupan buat seketika dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat, bernafas serta menumpukan perhatian kepada kesihatan.


Dua negara berkongsi bahasa kesihatan yang sama

Pengalaman mengikuti kelas Tai Chi di Beijing turut membuatkan penulis memikirkan satu persamaan yang dikongsi oleh Malaysia dan China.

Walaupun kedua-dua negara mempunyai budaya, bahasa dan sejarah yang berbeza, masyarakatnya sebenarnya berkongsi matlamat yang sama iaitu menjalani kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

Apa yang menarik, Tai Chi sendiri bukan lagi sesuatu yang asing di Malaysia. Seni pergerakan tradisional itu turut diamalkan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang melihatnya sebagai aktiviti riadah yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Di taman-taman rekreasi dan pusat komuniti tertentu, kelas Tai Chi sering mendapat sambutan terutama dalam kalangan mereka yang mencari bentuk senaman berimpak rendah tetapi memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental.

Perkembangan itu menunjukkan bahawa pertukaran budaya antara Malaysia dan China tidak hanya berlaku melalui perdagangan, pelancongan atau pendidikan. Sebaliknya, ia turut berlaku menerusi amalan harian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Bagi penulis, pengalaman mempelajari Tai Chi di Beijing bukan sekadar peluang untuk mengenali satu lagi warisan budaya China. Ia juga menjadi peringatan bahawa kesihatan merupakan nilai sejagat yang dikongsi oleh semua manusia tanpa mengira bangsa, bahasa atau negara.

Di sebalik segala perbezaan yang wujud antara Malaysia dan China, kedua-duanya sebenarnya bertutur dalam bahasa yang sama-bahasa kesihatan, kesejahteraan dan keseimbangan hidup.

“Salam Dari Beijing”

-- BERNAMA

Siti Zanariah Nor Zin ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program Pusat Media Antarabangsa China 2026 anjuran China International Press Communication Centre (CIPCC) di Beijing selama tiga bulan bermula Mei 2026.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)