Perubahan yang dilaksanakan ketika kita mengharungi penularan COVID-19 lebih dua tahun lalu, khususnya dalam pelaksanaan aktiviti pekerjaan, wajar dikekalkan secara berterusan demi manfaat pekerja dan organisasi.
Antara perubahan utama yang perlu diteruskan ialah pelaksanaan sistem kerja fleksibel, termasuk amalan bekerja dari rumah.
Bergantung kepada jenis pekerjaan, pelaksanaan sistem kerja fleksibel atau kebenaran bekerja dari rumah bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, malah turut meningkatkan produktiviti organisasi.
Pelaksanaan sistem kerja fleksibel atau kebenaran bekerja dari rumah dapat memudahkan urusan pekerja menjalankan tugas tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya atau berdepan risiko kemalangan.
Selain itu, pendekatan ini juga membantu menjimatkan masa, kos dan tenaga pekerja.
Pada masa yang sama, pelaksanaan kerja fleksibel atau bekerja dari rumah mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana pekerja tidak perlu berada di jalan raya setiap hari untuk ke tempat kerja.
Sehubungan itu, amalan ini wajar digalakkan, khususnya di organisasi yang beroperasi di bandar-bandar besar, kerana berupaya mengurangkan tekanan perjalanan harian serta meningkatkan produktiviti kerja.
Pelaksanaan sistem kerja secara fleksibel ataupun kerja dari rumah sebenarnya tidak menjejaskan produktiviti kerja, kerana masa dan hari bekerja telah diuruskan mengikut kesesuaian pihak pekerja dan keperluan pihak majikan.
Kerja Fleksibel Tingkat Produktiviti
Sistem kerja secara fleksibel ataupun kerja dari rumah sangat diperlukan pada ketika ini kerana seseorang pekerja di bandar besar menghabiskan masa antara dua hingga tiga jam setiap hari untuk pergi dan balik akibat kesesakan lalu lintas.
Sistem kerja secara fleksibel ataupun kerja dari rumah dilihat adalah penyelesaian terbaik terhadap isu kesesakan jalan raya yang sering diperkatakan dalam negara kita.
Segala manfaat daripada pelaksanaan sistem kerja fleksibel atau bekerja dari rumah ini dapat mengurangkan beban dan tekanan pekerja, sekali gus meningkatkan produktiviti serta membolehkan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada organisasi.
Dari sudut kerajaan, keperluan untuk berbelanja besar bagi pembinaan jalan raya baharu atau memperluas jaringan pengangkutan awam semata-mata untuk mengurangkan kesesakan dapat dikurangkan.
Penjimatan ini boleh disalurkan kepada keutamaan lain seperti pendidikan, pertahanan serta bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
Perlu diketahui juga, kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada kini juga banyak memberi ruang dan peluang untuk sesetengah jenis pekerjaan untuk dilakukan melalui secara dalam talian tanpa perlu berada di pejabat secara semuka seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi.
Pihak majikan disemua sektor pekerjaan perlu memanfaatkan kemudahan teknologi moden yang wujud pada masa kini untuk menjalankan beberapa aktiviti yang berkaitan dengan tempat kerja.
Zaman sudah pun berubah. Pada zaman moden kini, pelbagai jenis kemudahan serta aplikasi moden sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak.
Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan.
Segala kemudahan dan aplikasi moden dalam talian yang tersedia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak, termasuk para pekerja di tempat kerja masing-masing.
Kemudahan ini tidak wajar dijadikan sekadar pelengkap atau hanya digunakan ketika situasi kecemasan seperti penularan wabak penyakit.
Sebaliknya, ia perlu dimanfaatkan secara berterusan kerana memberikan pelbagai manfaat, bukan sahaja kepada pekerja, malah kepada orang ramai yang berurusan dengan mereka.
Mengoptimumkan Kerja Fleksibel
Penggunaan kemudahan dan aplikasi dalam talian mula mendapat tempat di negara ini dan di seluruh dunia ketika penularan COVID-19 pada awal tahun 2020 yang mengancam kesihatan serta nyawa manusia.
Namun begitu, kemudahan dan aplikasi moden yang telah disediakan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh majikan dan pekerja selepas keadaan kembali reda daripada ancaman penularan virus tersebut.
Sebaliknya, ramai majikan dan pekerja memilih untuk melaksanakan aktiviti kerja seperti mesyuarat, bengkel dan seminar secara bersemuka di tempat kerja atau pejabat.
Penggunaan kaedah lama ini boleh menimbulkan pelbagai masalah sampingan seperti pembaziran masa, tenaga dan kos. Oleh itu, perubahan perlu dilakukan agar segala kemudahan teknologi dapat dimanfaatkan secara optimum, termasuk dalam pelaksanaan kerja fleksibel atau bekerja dari rumah.
Pihak kerajaan melalui Jabatan Perkidmatan Awam (JPA) boleh mengeluarkan satu bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis aktiviti berkaitan dengan tempat kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain – lain dilakukan secara dalam talian.
Tanpa adanya perintah atau arahan jelas ini, sukar untuk kita merealisasikan usaha untuk mengalakkan pihak majikan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja secara fleksibel atau berkerja dari rumah.
Majikan disektor swasta pula perlu menghormati dan melaksanakan pindaan yang telah dilakukan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] baru-baru ini yang membenarkan pekerja mereka untuk bekerja secara fleksibel melalui perubahan waktu bekerja, perubahan hari bekerja dan perubahan tempat kerja.
Walaupun pindaan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] ini telah memaksa pihak majikan untuk terus membenarkan pekerja mereka untuk bekerja secara fleksibel, namun pihak majikan harus mengunakan pertimbangan mereka dengan wajar dalam memberi kebenaran berkenaan.
--BERNAMA
Prof Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).