Oleh Nurul Nisha Mohd Shah dan Mohd Radzman Basinon
Dalam naratif besar pendidikan abad ke dua puluh satu, digitalisasi sering dipersembahkan sebagai penyelamat.
Platform pembelajaran dalam talian, kecerdasan buatan, dan ekosistem digital dianggap sebagai jawapan kepada isu akses, kecekapan dan kebolehskalaan pendidikan.
Namun, di sebalik retorik kemajuan ini, terdapat satu dimensi yang semakin terhakis secara senyap tetapi kritikal iaitu sentuhan kemanusiaan dalam proses pembelajaran.
Pendidikan bukan sekadar proses pemindahan maklumat.
Ia adalah proses pembentukan insan yang kamil.
Apabila pembelajaran dipindahkan secara agresif ke ruang digital, kita sebenarnya bukan sekadar menukar medium, tetapi mengubah sifat asas Pendidikan.
Yang hilang bukan hanya kehadiran fizikal guru, tetapi kehilangan komunikasi antarapersonal yang menjadi medium utama pembentukan nilai, emosi dan identiti pelajar.
Hapusnya Elemen Bukan Verbal
Pembelajaran dalam talian sering dipuji kerana fleksibiliti dan kebolehcapaian yang memudahkan semua pihak.
Namun, kelebihan ini datang dengan kos yang jarang dibincangkan secara jujur.
Dalam komunikasi manusia, lebih 70 peratus makna disampaikan melalui elemen bukan verbal seperti ekspresi wajah, nada suara dan bahasa tubuh.
Apabila semua ini ditransformasikan kepada skrin dua dimensi maka kita kehilangan lapisan makna yang tidak boleh digantikan oleh teknologi.
Sewaktu sesi pembelajaran dalam bilik darjah secara fizikal, seorang guru mampu membaca kegelisahan pelajar hanya melalui perubahan kecil pada wajah atau bahasa tubuh, lalu menyesuaikan pendekatan pengajaran secara spontan.
Namun, dalam ruang digital, pelajar sering menjadi ikon kecil atau skrin gelap. Interaksi menjadi minimum, maklum balas menjadi tertangguh, dan hubungan menjadi longgar.
Pembelajaran akhirnya bertukar daripada pengalaman yang membentuk keperibadian manusia menjadi kepada transaksi yang hanya memindahkan maklumat.
Data daripada kajian pendidikan digital global menunjukkan bahawa tahap penglibatan pelajar menurun apabila interaksi sosial berkurang, walaupun kandungan pembelajaran kekal sama.
Situasi ini menunjukkan bahawa keberkesanan pembelajaran bukan hanya bergantung kepada apa yang diajar, tetapi bagaimana hubungan dibina dalam proses tersebut.
Generasi muda hari ini bukan sekadar celik teknologi, tetapi dibentuk oleh logik algoritma.
Mereka belajar dalam ekosistem yang didominasi oleh kandungan pendek, pantas dan bersifat fragmentasi.
TikTok, YouTube dan platform media sosial lain telah menjadi sumber rujukan utama, bukan kerana ketepatan ilmu, tetapi kerana keupayaan menarik perhatian.
Dalam ekonomi digital, perhatian adalah mata wang.
Maka, kandungan yang paling mendapat perhatian bukanlah yang paling benar, tetapi yang paling sensasi.
Situasi ini mewujudkan satu bentuk hegemoni algoritma di mana sistem teknologi secara tidak langsung menentukan apa yang dianggap penting untuk dipelajari.
Implikasinya lebih besar daripada sekadar perubahan medium. Ia mencetuskan krisis epistemologi.
Ilmu tidak lagi dinilai berdasarkan kesahihan, tetapi berdasarkan engagement atau keterlibatan penonton. Autoriti intelektual semakin lemah, digantikan oleh populariti digital.
Dalam konteks ini, krisis terbesar bukan pada teknologi, tetapi pada kekosongan suri teladan.
Dalam sistem pendidikan tradisional, guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi simbol nilai dan etika.
Hari ini, pelajar lebih terdedah kepada pempengaruh media sosial berbanding pendidik.
Perubahan ini bukan sekadar perubahan figura rujukan, tetapi perubahan sistem nilai. Kredibiliti digantikan dengan visibiliti.
Integriti digantikan dengan populariti. Kejayaan diukur melalui jumlah tontonan dan tanda suka, bukan melalui kedalaman ilmu atau sumbangan kepada masyarakat.
Teori Albert Bandura
Teori Pembelajaran Sosial oleh Albert Bandura menjelaskan bahawa manusia belajar melalui pemerhatian terhadap tingkah laku yang diberi ganjaran.
Dalam ekosistem digital, ganjaran diberikan kepada kandungan yang mencetuskan emosi ekstrem, kontroversi dan sensasi. Maka, tidak hairan apabila generasi muda mula meniru tingkah laku yang sama.
Ketiadaan suri teladan yang autentik dalam kehidupan seharian menyebabkan pembentukan identiti berasaskan persona digital yang seringkali tidak realistik.
Ini mewujudkan jurang antara identiti dalam talian dan realiti kehidupan sebenar, yang akhirnya menjejaskan kestabilan emosi dan sosial.
Satu daripada kesan paling mendalam tetapi kurang dibincangkan ialah kemerosotan empati.
Empati bukan kemahiran kognitif semata-mata, tetapi kemahiran sosial yang dibina melalui interaksi sebenar.
Apabila komunikasi manusia dihadkan kepada teks, emoji dan video satu hala, keupayaan untuk memahami emosi orang lain menjadi semakin lemah.
Kajian psikologi kontemporari menunjukkan bahawa peningkatan masa skrin telah menurunkan tahap empati dan meningkatkan kecenderungan untuk bersikap narsistik dalam kalangan remaja.
Dalam ruang digital, manusia cenderung kepada data.
Mereka menjadi nombor kehadiran, nama pengguna, atau sekadar profil gambar.
Apabila manusia tidak lagi dilihat sebagai manusia, tetapi sebagai entiti digital, hubungan sosial kehilangan makna yang mendalam.
Situasi ini bukan sekadar cabaran pendidikan, tetapi ancaman kepada struktur sosial masa hadapan. Melihat pada realiti yang berlaku kini, peranan pendidik perlu ditakrifkan semula.
Guru tidak lagi boleh berfungsi sebagai penyampai maklumat kerana maklumat kini berada di mana-mana.
Sebaliknya, guru perlu menjadi arkitek pengalaman pembelajaran.
Keadaan ini bermaksud para pendidik harus berani mencipta pengalaman bersama pelajar dengan menggabungkan teknologi dengan elemen kemanusiaan.
Pendekatan seperti dialog reflektif, perbincangan mendalam, simulasi situasi sebenar dan pembelajaran berasaskan pengalaman perlu menjadi teras kepada pendidikan digital.
Para pendidik perlu menggunakan platform digital dan Kecerdasan Buatan (Ai) bukan sekadar untuk merekabentuk poster yang menarik tetapi juga untuk mensintesis maklumat agar dapat disampaikan dengan mudah kepada pelajar.
Namun, apa yang lebih penting adalah pendidik harus kembali menjadi suri teladan yang hadir secara signifikan dalam kehidupan pelajar, bukan sahaja dalam ruang fizikal, tetapi juga dalam ekosistem digital.
Kehadiran ini bukan sekadar kehadiran teknikal, tetapi kehadiran emosi dan intelektual yang mampu memberi makna kepada pembelajaran.
Jangan Biar Teknologi Tentukan Arah Pendidikan
Kita tidak boleh menolak teknologi.
Tetapi kita juga tidak boleh membiarkan teknologi menentukan sepenuhnya arah pendidikan.
Apa yang diperlukan kini adalah menyeimbangkan antara kecekapan digital dan nilai kemanusiaan.
Pembelajaran hibrid perlu dilihat bukan sebagai pembahagian antara dalam talian dan bersemuka, tetapi sebagai integrasi antara teknologi dan hubungan manusia.
Institusi pendidikan perlu memberi penekanan serius kepada pembangunan kemahiran antarapersonal.
Dalam dunia yang semakin terasing secara sosial, keupayaan untuk berkomunikasi, memahami emosi dan membina hubungan adalah kemahiran asas untuk kelangsungan hidup.
Persoalan paling penting dan asas bukanlah sejauh mana teknologi boleh meningkatkan pembelajaran, tetapi jenis manusia apakah yang sedang dihasilkan oleh sistem ini.
Jika kita mahu melahirkan generasi yang mahir menggunakan teknologi tetapi gagal memahami manusia, maka kita sedang mencipta satu bentuk krisis yang lebih besar daripada kegagalan akademik.
Kita sedang membina generasi yang cerdas secara teknikal tetapi rapuh secara emosi.
Pendidikan yang sebenar tidak diukur melalui jumlah maklumat yang dikuasai, tetapi melalui keupayaan seseorang untuk menjadi manusia yang seimbang dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.
Dalam dunia yang semakin digital, sentuhan manusia bukan lagi pilihan. Ia adalah keperluan yang paling kritikal.
-- BERNAMA
Nurul Nisha Mohd Shah ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.
Mohd Radzman Basinon ialah Pengarah Kreatif, Sixtysix Action Academy.