PENA WANITA

BDR Dan Pendidikan: Kecekapan Tenaga Untuk Masa Depan MADANI

30/04/2026 11:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Raja Mayang Delima Mohd Beta

Era pascapandemik bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap sistem kesihatan global, malah ia telah membuka kotak pandora mengenai betapa rapuhnya ketahanan tenaga dunia.

Dalam mendepani tahun 2026 yang penuh dengan ketidaktentuan bekalan bahan api fosil dan lonjakan tarif elektrik dunia, sektor pendidikan Malaysia merangkumi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sekolah, kini berdiri sebagai benteng hadapan dalam eksperimen kelestarian nasional.

Persoalan besar yang timbul bukan lagi sekadar "bolehkah kita bekerja dari rumah?", tetapi "sejauh manakah bekerja dari rumah (BDR) mampu menjadi strategi nasional dalam menguruskan krisis tenaga global?"

Perdana Menteri, dalam satu amanat baru-baru ini mengenai Kelestarian Ekonomi Negara, menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada model operasi tradisional yang bersifat 'business as usual'.

Transformasi digital IPTA: Lubuk penjimatan skala besar

IPTA dalam konteks ini adalah gergasi yang menyimpan potensi penjimatan tenaga yang amat signifikan.

Sebuah kampus universiti bukan sekadar blok pejabat; ia adalah sebuah 'bandar kecil' yang menempatkan dewan kuliah, asrama, pusat data, dan makmal penyelidikan yang beroperasi hampir 24 jam.

Intensiti penggunaan tenaga di sini amat luar biasa.

Oleh itu, langkah memperkenalkan BDR bagi kakitangan akademik dan pentadbiran, serta model pembelajaran hibrid bagi pelajar, adalah satu transformasi yang amat dialu-alukan.

Apabila kuliah dijalankan secara dalam talian, universiti dapat melakukan 'zonasi tenaga' (energy zoning), iaitu bangunan yang tidak digunakan boleh dipadamkan sistem pendingin hawa dan pencahayaannya secara berpusat.

Namun, penjimatan ini bukan bermakna universiti ditutup sepenuhnya.

Kemudahan kritikal seperti makmal berteknologi tinggi dan pusat data tetap beroperasi, tetapi dengan beban yang lebih terkawal.

Strategi ini bukan sekadar menjimatkan petrol buat pensyarah, tetapi ia adalah satu langkah 'demand-side management' yang mampu mengurangkan beban grid nasional pada waktu puncak.

Kestabilan fizikal sekolah: Kepentingan modal insan

Namun, naratif yang berbeza perlu diterapkan kepada institusi sekolah.

Berbeza dengan IPTA yang mempunyai pelajar dewasa dan matang, sekolah rendah dan menengah adalah makmal pembentukan sahsiah manusia.

Di sini, BDR atau pembelajaran di rumah (PdPR) mempunyai had yang sangat nyata.

Walaupun secara teknikalnya sekolah menggunakan tenaga yang jauh lebih rendah berbanding universiti kerana operasinya terhad kepada waktu siang dan peralatan teknologi yang tidak sekompleks makmal universiti kerana kos 'sosial' akibat penutupannya adalah terlalu tinggi.

Keperluan sekolah untuk kekal beroperasi secara fizikal adalah kritikal bagi mengelakkan berlakunya jurang pembelajaran, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih berdepan cabaran infrastruktur digital.

Di sekolah, strategi yang lebih tepat bukanlah BDR secara total, sebaliknya adalah modenisasi fasiliti.

Penggunaan lampu LED, panel solar di bumbung sekolah, dan sistem pengudaraan semula jadi adalah jawapan kepada krisis tenaga tanpa perlu mengorbankan kualiti pendidikan.

Sinergi operasi pintar: Menghubung sektor awam dan swasta

Krisis tenaga global ini juga menuntut sinergi yang lebih erat antara institusi pendidikan awam dan swasta. Institusi swasta selalunya lebih lincah dalam mengadaptasi teknologi bagi mengurangkan kos operasi.

Namun, IPTA sebagai institusi milik rakyat perlu menjadi penanda aras bagi pengurusan sumber yang mampan. Bekerja dari rumah di IPTA perlu dilihat sebagai satu bentuk "kerja pintar" (smart working).

Ia membolehkan perkongsian sumber dilakukan secara maya, mengurangkan keperluan pembinaan bangunan tambahan yang hanya akan menambah beban tenaga jangka panjang.

Melalui koordinasi yang strategik, kerajaan boleh memperkenalkan insentif bagi institusi pendidikan yang berjaya mencapai sasaran 'net-zero'.

Ini termasuklah menggalakkan penggunaan sistem automasi bangunan (Building Automation System) yang mampu memantau penggunaan elektrik secara 'real-time'.

Dengan data yang tepat, keputusan untuk melaksanakan BDR pada hari-hari tertentu boleh dibuat berdasarkan ramalan beban tenaga, sekali gus menjadikan sektor pendidikan sebagai sektor yang paling responsif terhadap krisis sumber.

Peneraju kelestarian negara: Melampaui isu petrol

Kita perlu membetulkan persepsi bahawa BDR hanyalah tentang menjimatkan kos petrol individu atau mengelak kesesakan jalan raya.

Dalam konteks yang lebih besar, ia adalah tentang daya tahan nasional (national resilience).

Apabila bekalan tenaga dunia tergugat, sesebuah negara yang mempunyai sistem kerja yang fleksibel dan efisien akan lebih mudah bertahan.

Dengan menjadikan BDR sebagai satu daripada instrumen pengurusan tenaga di IPTA, kita sebenarnya sedang melatih tenaga kerja masa depan para pelajar untuk bekerja dalam ekosistem digital yang cekap.

Manakala dengan mengekalkan sekolah sebagai institusi fizikal yang cekap tenaga, kita memastikan asas pembangunan negara tidak goyah.

Menuju masa depan hijau

Sebagai penutup, langkah mengimbangi antara keperluan BDR di IPTA dan kestabilan fizikal di sekolah adalah manifestasi kematangan tadbir urus negara.

Kita tidak boleh memadamkan terus lampu di menara gading atau menutup pintu-pintu bilik darjah.

Sebaliknya, kita harus menguruskan "cahaya" tersebut dengan lebih bijak.

Transformasi ini memerlukan pengorbanan dan perubahan minda daripada semua pihak.

Pensyarah, guru, pelajar, dan ibu bapa perlu melihat bahawa keberkesanan pendidikan tidak lagi diukur pada jumlah jam kita berada di bawah bumbung bangunan, tetapi pada kualiti ilmu yang disampaikan dan impak positif yang kita tinggalkan kepada alam sekitar.

Melalui integrasi dasar yang disuarakan oleh pucuk pimpinan negara, sektor pendidikan Malaysia mampu membuktikan kepada dunia bahawa krisis tenaga bukanlah penghalang, sebaliknya adalah jambatan menuju masa depan yang lebih hijau, mampan, dan kompetitif.

Akhirnya, pendidikan yang lestari bukan sahaja melahirkan insan yang bijaksana, tetapi juga rakyat yang bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi yang kita kongsi bersama.

-- BERNAMA

Dr Raja Mayang Delima Mohd Beta ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)