Krisis bukan perkara asing dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW.
Baginda bukan hidup dalam ruang yang sunyi daripada tekanan apalagi ancaman.
Baginda berdepan fitnah, permusuhan, perang saraf, kemiskinan, pengkhianatan, konflik kaum, provokasi politik, dan salah faham masyarakat.
Keagungan kepimpinan baginda bukan sekadar menyelesaikan krisis, tetapi baginda menyelesaikannya tanpa kehilangan akhlak, meruntuhkan keadilan, dan mengorbankan prinsip wahyu.
Solusi pertama baginda adalah berfikir sebelum bertindak. Baginda tidak melayan krisis dengan emosi melulu.
Dalam banyak keadaan, baginda memilih untuk mendengar, menilai suasana, melihat kesan jangka panjang, kemudian bertindak dengan hikmah.
Inilah beza antara pemimpin yang reaktif dengan pemimpin yang berjiwa besar.
Orang biasa mahu segera menang, tetapi Rasulullah mengajar bahawa tidak semua kemenangan perlu berlaku hari ini.
Ada kemenangan yang perlu ditangguhkan demi maslahat yang lebih besar.
Keadilan bukan milik kelompok sendiri
Perjanjian Hudaibiyah adalah contoh paling jelas.
Pada zahirnya, perjanjian itu kelihatan seperti merugikan umat Islam.
Sebahagian sahabat berasa berat menerimanya. Namun Rasulullah melihat lebih jauh daripada emosi sesaat.
Baginda menerima syarat yang tampak sukar demi membuka jalan kepada keamanan, dakwah dan kestabilan.
Akhirnya, perjanjian itu menjadi pintu kepada kemenangan yang lebih besar.
Inilah kebijaksanaan strategik yang bukan sekadar bertanya “siapa menang hari ini?”, tetapi “apa kesan keputusan ini kepada umat esok?”
Seterusnya, baginda meletakkan keadilan di atas taasub kelompok. Sebelum kenabian lagi, baginda terlibat dalam Hilf al-Fudul, satu kesepakatan membela orang yang dizalimi tanpa mengira kabilah.
Semangat ini sangat besar maknanya. Rasulullah mengajar bahawa keadilan bukan milik kelompok sendiri sahaja.
Jika orang luar dizalimi, tetap wajib dibela. Jika pihak sendiri bersalah, tetap perlu ditegur.
Masyarakat rosak apabila kebenaran hanya diukur berdasarkan siapa yang berkata, bukan apa yang dikatakan.
Prinsip hidup bersama dan kebijaksanaan
Solusi ketiga ialah membina sistem, bukan sekadar menyelesaikan kes terpencil. Ketika berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW tidak hanya berdakwah secara lisan.
Baginda membina masyarakat melalui Piagam Madinah, yang mengatur hubungan antara Muslim, Yahudi dan kabilah-kabilah lain.
Ini menunjukkan bahawa krisis sosial tidak cukup diselesaikan dengan nasihat umum, ia perlu dibantu dengan struktur, perjanjian, tanggungjawab dan disiplin bersama.
Masyarakat yang pelbagai memerlukan prinsip hidup bersama, bukan budaya saling curiga.
Solusi keempat ialah mendamaikan manusia dengan kebijaksanaan yang membuat semua pihak merasa dihormati.
Peristiwa peletakan Hajar al-Aswad sebelum kenabian menunjukkan kecerdikan sosial Nabi Muhammad SAW.
Ketika kabilah Quraisy hampir bertelagah kerana masing-masing mahu mendapat kehormatan meletakkan batu tersebut, baginda mencadangkan agar Hajar al-Aswad diletakkan di atas kain dan setiap ketua kabilah memegang bahagian kain itu bersama-sama.
Baginda kemudian meletakkannya di tempat asal. Masalah selesai tanpa ada pihak dimalukan.
Inilah seni menyelesaikan konflik: bukan mencari siapa paling kuat, tetapi mencari jalan agar maruah semua terpelihara.
Solusi kelima ialah mengawal lidah dan tindakan ketika marah. Rasulullah sangat tegas terhadap kebatilan, tetapi ketegasan baginda tidak berubah menjadi cercaan murahan.
Baginda tidak membina umat melalui penghinaan. Ini sangat penting untuk zaman media sosial.
Hari ini ramai menganggap kasar itu berani, menghina itu tegas, dan memperlekehkan orang lain itu tanda bijak.
Sedangkan Nabi Muhammad SAW menunjukkan bahawa ketegasan paling tinggi ialah kemampuan mempertahankan kebenaran tanpa kehilangan adab.
Keseimbangan Maqasid Syariah
Solusi keenam ialah memaafkan, apabila pemaafan membawa pembaikan, tetapi tetap menegakkan keadilan apabila kezaliman perlu dihentikan.
Rasulullah bukan pemimpin yang lembik, dan bukan juga pemimpin yang keras tanpa rahmah.
Baginda tahu bila perlu berlembut, bila perlu memberi peluang, dan bila perlu bertindak.
Inilah keseimbangan Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan harta.
Rahmah tidak bermaksud membiarkan kerosakan. Tegas pula tidak bermaksud menghilangkan ihsan.
Solusi ketujuh ialah mengutamakan maslahat umum berbanding kepuasan peribadi.
Banyak keputusan baginda bukan dibuat untuk menjaga imej diri, tetapi untuk menyelamatkan umat.
Baginda tidak memimpin dengan ego. Pemimpin yang ego mahu dilihat menang.
Pemimpin yang rabbani mahu manusia selamat. Sebab itu, dalam krisis, Nabi Muhammad SAW tidak terburu-buru mencari populariti.
Baginda mencari penyelesaian yang paling dekat dengan reda Allah dan paling besar manfaatnya kepada masyarakat.
Pengajaran besar daripada solusi nabi
Maka, jika mahu mengambil pengajaran besar daripada solusi Nabi Muhammad SAW, kita perlu kembali kepada tiga perkara iaitu ilmu, adab dan hikmah.
Ilmu menyelamatkan seseorang itu daripada jahil. Adab menyelamatkan manusi daripada melampau.
Hikmah menyelamatkan insan daripada keputusan yang betul pada niat tetapi salah pada cara.
Krisis hari ini mungkin berbeza bentuk, tetapi penyakitnya hampir sama iaitu emosi mengatasi akal, taasub mengatasi keadilan, dan ego mengatasi kebenaran.
Maka ubatnya juga kembali kepada warisan Rasulullah.
Jangan cepat menghukum.
Jangan membesarkan api fitnah. Jangan memperkecilkan orang yang tidak sependapat.
Serahkan urusan yang perlu disiasat kepada pihak berautoriti. Jika mahu mengkritik, kritiklah dengan ilmu dan solusi.
Kerana akhirnya, ukuran kematangan umat bukan pada kuatnya suara ketika marah, tetapi pada benarnya pertimbangan ketika diuji.
-- BERNAMA
Atriza Umar ialah Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia