Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut pada 29 Mei setiap tahun di Malaysia bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 sebagai penghargaan kepada pengamal media negara.
Dalam era digital hari ini, sambutan HAWANA bukan lagi sekadar meraikan dunia kewartawanan tradisional, tetapi turut menjadi ruang penting untuk membincangkan masa depan media, teknologi dan masyarakat.
Bagi tahun 2026, tema HAWANA “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” hadir tepat pada waktunya ketika dunia sedang berhadapan ledakan kecerdasan buatan (AI), media sosial dan krisis kepercayaan terhadap maklumat digital.
Di seluruh dunia, manusia kini hidup dalam keadaan lambakan maklumat tanpa sempadan. Berita bergerak terlalu pantas. Video boleh dimanipulasi. Gambar boleh dijana AI. Malah kandungan palsu juga mampu kelihatan sangat meyakinkan.
Dalam suasana ini, persoalan paling penting bukan lagi siapa paling pantas menyampaikan berita, tetapi siapa yang masih dipercayai.
Generasi Digital Native dan Dunia Tanpa Sempadan
Perbincangan tentang media hari ini tidak boleh dipisahkan daripada konsep digital native dan digital immigrant.
Generasi digital native merujuk kepada mereka yang lahir dalam era internet dan media sosial.
Mereka membesar dengan telefon pintar, TikTok, YouTube dan AI sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Bagi generasi ini, dunia digital bukan lagi alat tambahan, tetapi sebahagian daripada identiti sosial mereka.
Sebaliknya, generasi digital immigrant ialah golongan yang lahir sebelum era digital berkembang pesat dan terpaksa menyesuaikan diri dengan teknologi moden.
Mereka masih mempunyai pengalaman dunia analog seperti surat khabar fizikal, televisyen tradisional dan komunikasi tanpa internet.
Perbezaan ini menyebabkan cara kedua-dua generasi memahami maklumat juga sangat berbeza.
Generasi terdahulu cenderung menilai kredibiliti berita berdasarkan institusi media dan reputasi wartawan.
Namun generasi digital native lebih banyak menerima maklumat melalui media sosial, algoritma dan kandungan yang muncul secara automatik di skrin telefon mereka.
Di sinilah cabaran besar berlaku.
Apabila algoritma media sosial menjadi “editor” utama kehidupan digital manusia. Jadi, masyarakat semakin sukar membezakan antara maklumat benar, sensasi dan manipulasi.
Kajian global menunjukkan lebih lima bilion manusia kini menggunakan media sosial di seluruh dunia dengan purata penggunaan harian melebihi dua jam sehari.
Dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, tempoh penggunaan jauh lebih tinggi.
Situasi ini menyebabkan beberapa negara mula mempertimbangkan langkah lebih tegas terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Baru-baru ini Kesatuan Eropah (EU), misalnya, sedang meneliti cadangan mengehadkan akses media sosial kepada pengguna bawah umur bagi menangani isu ketagihan digital, keselamatan siber dan kesihatan mental.
Hakikatnya, generasi muda hari ini bukan sekadar menggunakan media sosial, tetapi sedang dibentuk oleh media sosial.
AI, Algoritma dan Krisis Kredibiliti
Dalam era AI, cabaran media menjadi semakin kompleks. AI kini mampu menulis berita, menghasilkan gambar, menyunting video dan mencipta suara tiruan yang sukar dibezakan daripada manusia sebenar.
Teknologi deepfake pula menjadikan manipulasi visual semakin mudah dilakukan.
Pada satu sudut, AI membantu mempercepat proses kerja media. Wartawan boleh menggunakan AI untuk analisis data, transkripsi temu bual dan pemprosesan maklumat mampu dilakukan secara lebih pantas.
Namun pada masa sama, AI juga membuka ruang besar kepada penyebaran maklumat palsu dan manipulasi naratif.
Apa yang membimbangkan ialah algoritma media sosial tidak dibina untuk mengutamakan kebenaran. Sistem ini dibina untuk mengekalkan perhatian pengguna selama mungkin pada skrin.
Disebabkan itu kandungan sensasi, kontroversi dan emosi lebih mudah menjadi tular berbanding kandungan yang bersifat mendidik dan seimbang.
Akibatnya, masyarakat kini hidup dalam keadaan terlalu banyak maklumat tetapi semakin kurang kepastian. Mereka menjadi keliru.
Fenomena ini akhirnya mewujudkan krisis kredibiliti maklumat dalam masyarakat. Orang ramai semakin sukar menentukan sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu, gambar yang tular itu asli atau telah dimanipulasi, serta video yang beredar di media sosial benar-benar berlaku atau sekadar hasil teknologi deepfake.
Jadi, dalam keadaan maklumat bergerak terlalu pantas, masyarakat juga semakin keliru tentang siapa yang sebenarnya boleh dipercayai sebagai sumber maklumat yang sahih dan bertanggungjawab.
Dalam suasana inilah institusi media berdepan tekanan besar untuk terus kekal relevan dan dipercayai. Jika dahulu media hanya bersaing sesama organisasi berita arus perdana, hari ini landskap tersebut berubah sepenuhnya.
Media kini turut bersaing dengan influencer digital, content creator, kandungan yang dijana AI serta algoritma platform media sosial yang menentukan apa yang muncul di skrin pengguna setiap hari.
Akibatnya, persaingan mendapatkan perhatian masyarakat menjadi semakin sengit dan kompleks.
Media yang terlalu mengejar perhatian digital berisiko kehilangan integriti. Sebaliknya media yang terlalu perlahan pula mungkin tenggelam dalam arus maklumat pantas.
Maka cabaran terbesar kewartawanan hari ini ialah mencari keseimbangan antara kelajuan dan kebenaran.
Manusia, AI dan Masa Depan Kewartawanan
Di sebalik semua perkembangan teknologi ini, satu perkara penting perlu difahami iaitu AI mungkin mampu menghasilkan kandungan dengan sangat pantas dan meyakinkan, namun AI tetap bukan manusia.
Walaupun teknologi ini boleh menulis berita, menghasilkan visual dan memproses data dalam beberapa saat, AI tidak mempunyai empati, kesedaran moral, tanggungjawab sosial mahupun nilai kemanusiaan seperti yang dimiliki manusia.
AI juga tidak memahami kesan sesuatu berita terhadap emosi masyarakat, sensitiviti budaya atau implikasi sosial sesuatu maklumat.
Berbeza dengan manusia, AI tidak mempunyai rasa belas, hikmah dan pertimbangan etika dalam menentukan sama ada sesuatu kandungan itu wajar disebarkan atau tidak.
Sebab itu manusia tidak boleh menyerahkan sepenuhnya masa depan maklumat kepada algoritma dan mesin.
Hakikatnya, manusia bukan sekadar “organisma pintar” yang hidup untuk memproses maklumat semata-mata. Manusia mempunyai fitrah untuk mencari makna, kebenaran dan ketenangan dalam kehidupan.
Sebab itu dalam apa juga perkembangan teknologi, manusia masih memerlukan nilai-nilai asas seperti amanah, integriti, empati dan tanggungjawab moral dalam membuat keputusan serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Dalam konteks kewartawanan, nilai-nilai inilah yang membezakan wartawan sebenar dengan sistem automasi digital.
Wartawan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi turut mempertimbangkan kesan sosial, sensitiviti masyarakat dan nilai kemanusiaan dalam setiap laporan yang dihasilkan.
Dalam dunia yang dipenuhi AI dan algoritma, nilai paling mahal selepas ini mungkin bukan lagi “breaking news”, tetapi “trusted news”.
Di sinilah relevannya tema HAWANA 2026. “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” membawa mesej bahawa masa depan media tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.
Teknologi akan terus berubah. AI akan menjadi semakin pintar. Namun kepercayaan masyarakat tetap bergantung kepada manusia yang mempunyai integriti dan tanggungjawab.
HAWANA 2026 seharusnya menjadi ruang penting untuk industri media Malaysia menilai semula arah kewartawanan masa depan.
Persoalan utamanya bukan lagi sama ada AI boleh menghasilkan berita, tetapi sama ada manusia masih mampu mempertahankan kebenaran dalam dunia digital yang semakin dipenuhi manipulasi dan kecelaruan maklumat.
Kerana akhirnya, teknologi boleh menjana kandungan, tetapi kredibiliti tetap dibina oleh insan. Iaitu insan bernama wartawan.
-- BERNAMA
Dr Md Rozalafri Johori, Pensyarah Kanan di Program Komunikasi, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial (FSS) Universiti Islam Selangor (UIS) (email: rozalafri@uis.edu.my).