TINTA MINDA

Merkuri Dalam Produk Pencerahan: Cantik Segera, Risiko Seumur Hidup

11/06/2026 12:27 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Norliawati Mohd Sidek dan Nur Emiera Remali

Dalam era media sosial yang dipengaruhi standard kecantikan‚ kulit cerah serta “flawless” sering dianggap sebagai simbol kecantikan yang ideal.

Fenomena ini mendorong ramai pengguna‚ terutamanya wanita menggunakan produk pencerahan kulit yang menjanjikan hasil yang cepat․

Bagaimanapun‚ terdapat risiko besar yang sering diabaikan di sebalik keberkesanan segera yang ditawarkan iaitu merkuri.

Selebriti dan pempengaruh (influencer) di platfrom media sosial seperti Tiktok dan Instagram juga berperanan dalam membentuk persepsi ini apabila mereka turut mempromosikan produk tanpa mengetahui kandungan sebenar yang digunakan.

Keadaan ini meyebabkan pengguna di luar mudah terpengaruh dan kurang berhati-hati dalam membuat pilihan.

Merkuri ataupun mercury (Hg) merupakan logam berat bertoksik yang diharamkan penggunaannya dalam kebanyakan produk kosmetik.

Bagaimanapun, produk tidak berdaftar yang bermerkuri masih dijual sama ada secara dalam talian atau di pasaran gelap․

Harga produk yang murah dan testimoni yang meyakinkan sering menjadi faktor utama pengguna mudah terpedaya, tanpa mengambil kira aspek keselamatan untuk jangka panjang.

Sifat kimia serta penggunaan untuk merkuri

Merkuri boleh wujud di dalam beberapa bentuk seperti mercury (II) chloride serta ammoniated mercury‚ yang sering digunakan secara tidak sah dalam krim pencerah kulit․

Bahan ini bertindak dengan cara menghalang penghasilan melanin‚ iaitu pigmen yang menentukan warna kulit manusia․

Kesan pencerahan dapat dilihat dalam masa yang singkat‚ namun mekanisme ini sebenarnya mengganggu fungsi sel kulit yang normal.

Kepentingan dan realiti pengguna

Secara teorinya‚ merkuri tidak mempunyai kepentingan yang sah dalam produk kosmetik moden kerana penggunaannya telah diharamkan di kebanyakkan negara.

Namun, ia masih diguna secara tidak sah kerana memberi kesan pencerahan dengan kadar yang cepat, kos penghasilan yang rendah dan permintaan tinggi daripada pengguna․

Selain itu, kurang penguatkuasaan terhadap penjualan produk dalam talian juga menyumbang kepada penyebaran produk ini serta kurang kesedaran tentang bahaya merkuri.

Hal ini mencerminkan sikap masyarakat yang lebih mengutamakan kecantikan luaran berbanding kesihatan dalaman.

Golongan berisiko

Penggunaan produk yang mengandungi merkuri memberi kesan buruk kepada pelbagai golongan‚ terutamanya wanita muda kerana mereka paling mudah terpengaruh oleh trend kecantikan di media sosial dan cenderung mencuba produk tanpa pemeriksaan lanjut․

Merkuri juga memberi kesan kepada ibu hamil melalui peredaran darah yang boleh menjejaskan tumbesaran janin‚ terutama pada sistem saraf bayi yang boleh menyebabkan berlaku gangguan perkembangan otak.

Selain itu, individu yang membuat pembelian produk secara dalam talian tanpa pengetahuan tentang kelulusan pihak berkuasa lebih berisiko kerana kebanyakkannya tidak melalui ujian keselamatan terlebih dahulu.

Pendedahan merkuri secara tidak langsung boleh berlaku melalui sentuhan pada pakaian ataupun permukaan yang ada di dalam rumah․ Keadaan ini menunjukkan kesan merkuri boleh menjejaskan orang sekeliling kita.

Kesan buruk merkuri terhadap kesihatan

Merkuri yang digunakan di dalam produk kosmetik boleh mengakibatkan impak negatif yang pelbagai sama ada dalam tempoh singkat atau jangka panjang dan berlaku secara berperingkat apabila bahan toksik sudah mula terkumpul dalam badan kita.

Kerosakan kulit -- Pada peringkat awal‚ pengguna mungkin akan melihat perubahan yang positif pada kulit iaitu menjadi lebih cerah serta licin․

Bagaimanapun‚ penggunaan untuk tempoh yang lama mengakibatkan kulit menipis‚ sensitif serta mudah mengalami inflamasi‚ misalnya‚ kulit menjadi merah‚ mengelupas serta cepat terbakar jika terdedah kepada matahari․

Dalam kes yang lebih teruk, pengguna boleh mengalami perubahan warna kulit yang tidak sekata dan sukar untuk dirawat.

Kerosakan buah pinggang -- Merkuri mampu memasuki badan melalui kulit serta berkumpul dalam organ seperti buah pinggang․ Contohnya, kegagalan fungsi buah pinggang akibat pengumpulan toksin sehingga memerlukan rawatan seperti dialisis.

Gangguan sistem saraf -- Merkuri merupakan bahan neurotoksik․ Bahan ini boleh menjejaskan sistem saraf pada manusia seperti sakit kepala‚ gegaran tangan‚ kemurungan‚ dan masalah ingatan adalah berpunca daripada pendedahan merkuri․

Alternatif semula jadi

Untuk menggantikan produk yang mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri‚

pengguna boleh memilih alternatif semula jadi․ Antaranya aloe vera yang membantu melembapkan serta menegangkan kulit․

Seterusnya, vitamin C untuk mencerahkan kulit secara semula jadi. Ekstrak kunyit pula mempunyai sifat antioksi dan anti-radang serta madu boleh membantu dalam memperbaiki tekstur pada kulit․

Bahan semula jadi lebih selamat untuk kegunaan lama walaupun impaknya lambat.

Selain itu, amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan yang seimbang, pengambilan air yang secukupnya dan perlidungan daripada cahaya matahari juga dapat membantu untuk mengekalkan kesihatan kulit secara semula jadi.

Langkah pencegahan

Terdapat beberapa Langkah yang boleh diambil antaranya membeli produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semak label dan kandungan produk.

Seterusnya, elak pembelian dengan janji kesan secera, mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum menggunakan produk yang baharu serta meningkatkan kesedaran tentang bahaya․

Selain itu, pengguna juga digalakkan untuk menyemak nombor yang ada pada botol atau bekas produk kosmetik melalui laman rasmi KKM bagi memastikan kesahihan produk tersebut.

Kesimpulan

Penggunaan merkuri di dalam produk pencerahan kulit merupakan isu serius yang perlu diberi perhatian․ Meskipun mampu memberi impak yang pantas‚ bahaya yang bakal dihadapi amat tinggi serta dapat memudaratkan kesihatan untuk tempoh yang lama․

Kesedaran masyarakat terhadap bahaya bahan kimia ini masih berada pada tahap yang rendah dan perlu ditinkatkan lagi melalui pendidikan dan kempen kesihatan awam.

Golongan seperti wanita muda serta ibu hamil perlu lebih berhati-hati kerana mereka lebih terdedah kepada kesan bahan ini․ Justeru‚ kefahaman pengguna sangat diperlukan bagi membendung masalah ini․

Selain itu, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan terhadap produk kosmetik di pasaran․ khususnya yang dijual secara dalam talian. Mempergiat kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat tentang bahaya dalam penggunaan bahan terlarang․

Kerjasama antara pihak kerajaan, pengeluar dan juga pengguna amat penting bagi memastikan keselamatan sesuatu produk yang digunakan oleh masyarakat sekeliling.

Akhir sekali, pengguna mestilah bijak dalam mebuat keputusan dan pilihan.

Kecantikan sebenar tidak semestinya dicapai melalui jalan yang boleh membahayakan kesihatan. Pilihlah produk yang selamat. Ingatlah bahawa kesihatan adalah pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai harganya!.

-- BERNAMA

Norliawati Mohd Sidek ialah Pensyarah Kursus Kimia dan Masyarakat di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Nur Emiera Remali ialah Mahasiswi tahun akhir Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)