TINTA MINDA

Revolusi TVET Tahap 6–8: Masih Relevan?

11/06/2026 12:15 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Dr Affero Ismail

Malaysia kini berada pada fasa penting dalam transformasi pendidikan dan pembangunan tenaga kerja apabila kerajaan mula memperkukuh laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga ke tahap yang lebih tinggi yang dinamakan “Advanced TVET” atau TVET Termaju.

Langkah ini merangkumi penawaran pengajian TVET pada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah berasaskan amalan profesional serta industri.

Persoalannya, adakah laluan TVET sehingga tahap doktor falsafah benar-benar relevan untuk Malaysia?

Berdasarkan perkembangan ekonomi global dan pengalaman negara maju seperti Jerman, jawapannya adalah ya, namun pelaksanaannya perlu mengambil pendekatan yang berbeza daripada sistem akademik tradisional.

Jerman sering dianggap sebagai antara negara terbaik dalam pelaksanaan TVET melalui sistem “Dual Training System” yang menggabungkan latihan industri dan pembelajaran institusi secara serentak.

Sistem ini bukan sahaja melahirkan tenaga mahir, malah membentuk profesional teknikal, jurutera aplikasi dan inovator industri.

Antara kekuatan utama Jerman ialah kewujudan institusi seperti Fachhochschule (University of Applied Sciences) dan Technische Hochschule (Technical University of Applied Sciences) yang memberi fokus kepada pendidikan teknikal berorientasikan aplikasi industri.

Institusi ini berbeza daripada universiti penyelidikan tradisional kerana penekanannya lebih kepada penyelesaian masalah industri, inovasi teknologi, automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik dan pembangunan teknologi baharu.

Model ini sangat relevan untuk Malaysia dalam membangunkan TVET Tahap 6 hingga 8.

Malaysia tidak boleh sekadar menukar nama program vokasional kepada ijazah tanpa perubahan struktur dan falsafah pendidikan.


File photo

TVET Lanjutan

TVET lanjutan atau TVET termaju perlu dibina berasaskan pendekatan profesional dan industri, bukannya meniru sepenuhnya model akademik konvensional.

Pada tahap 6, program TVET perlu melahirkan teknologis profesional yang mampu mengendalikan sistem industri pintar, integrasi AI, automasi dan teknologi digital.

Pada tahap 7 pula, pengajian perlu memberi penekanan kepada inovasi industri, kepimpinan teknikal dan penyelidikan gunaan.

Bagi tahap 8, program doktoral TVET seharusnya memfokus kepada penyelesaian masalah industri sebenar seperti pembangunan kilang pintar, teknologi latihan XR, robotik industri dan transformasi digital sektor pembuatan.

Namun demikian, Malaysia masih berdepan beberapa cabaran utama.

Pertama, persepsi masyarakat terhadap TVET masih belum setanding laluan akademik tradisional.

TVET masih dianggap penyelesaian bagi melahirkan pekerja mahir yang terbatas dari segi kemampuan STEM.

Kedua, penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum dan latihan masih belum cukup kukuh. Kebanyakan inisiatif dalam pembentukan bakat datangnya dari pihak kerajaan.

Ketiga, terdapat risiko TVET kehilangan identitinya jika program tahap 6 hingga 8 terlalu berorientasikan teori akademik. Ini kerana acuan yang diguna pakai adalah berorientasikan akademik tradisional.

Selain itu, sistem TVET Malaysia masih melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan badan pensijilan yang menyebabkan isu penyelarasan, pertindihan fungsi serta standardisasi masih berlaku.


TVET Berteraskan Industri

Walaupun usaha ke arah harmonisasi dan kesepaduan TVET telah diperkukuh melalui penubuhan Majlis TVET Negara dan pelbagai inisiatif penyelarasan nasional, pelaksanaannya masih belum mencapai tahap yang benar-benar holistik, bersepadu dan efektif.

Berbeza dengan Jerman, sistem TVET negara tersebut disokong oleh ekosistem yang lebih tersusun dan berorientasikan industri melalui peranan institusi seperti Federal Institute for Vocational Education and Training (BIBB) yang menyelaras pembangunan standard kompetensi, penyelidikan TVET dan dasar latihan vokasional di peringkat nasional.

Selain itu, German Chamber of Commerce and Industry (DIHK) turut memainkan peranan penting dalam menentukan keperluan kemahiran industri, pelaksanaan apprenticeship, penilaian kompetensi serta pensijilan pelajar TVET.

Pendekatan ini menjadikan sektor industri di Jerman bukan sekadar rakan kerjasama, tetapi sebahagian daripada teras utama pembangunan sistem TVET negara.

Sehubungan itu, Malaysia perlu mengambil beberapa pendekatan strategik bagi memastikan pembangunan TVET tahap 6 hingga 8 benar-benar relevan, berkualiti dan berdaya saing di peringkat global.

Antaranya ialah memperkukuh kerjasama industri secara menyeluruh, membangunkan universiti teknologi gunaan ala Fachhochschule, memperluas sistem apprenticeship moden serta memperkenalkan doktor profesional TVET yang berteraskan inovasi industri dan penyelidikan gunaan.

Dalam usaha memperkukuh TVET termaju, peranan UNEVOC Network juga amat penting sebagai rangkaian global UNESCO yang menyokong pembangunan TVET berkualiti, inovasi pendidikan teknikal, pembelajaran sepanjang hayat dan transformasi kemahiran masa depan.

Di Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) merupakan antara ahli rangkaian UNEVOC yang aktif dalam memperkukuh ekosistem TVET negara melalui kerjasama antarabangsa, pembangunan kompetensi, penyelidikan gunaan dan inovasi pendidikan teknikal.

TVET masa depan bukan lagi pendidikan “kelas kedua”, sebaliknya merupakan pemacu utama ekonomi digital, automasi dan Revolusi Industri 4.0.

Jika dilaksanakan dengan betul, laluan TVET sehingga tahap 8 mampu melahirkan tenaga profesional teknikal bertaraf global serta memperkukuh daya saing ekonomi dan teknologi Malaysia pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr Affero Ismail ialah Pengurus Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (UNEVOC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)