TINTA MINDA

Lindungi Kanak-Kanak, Bukar Sekadar Sekat Akaun

10/06/2026 12:30 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nuur Alifah Roslan

Penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial pada 1 Jun 2026 menandakan permulaan fasa baharu dalam usaha Malaysia membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Dasar yang dikuatkuasakan melalui kerangka kawal selia keselamatan dalam talian ini bertujuan melindungi golongan muda daripada pelbagai risiko yang semakin membimbangkan dalam ruang digital.

Walaupun langkah ini menerima pelbagai reaksi, satu perkara tidak dapat dinafikan: keselamatan kanak-kanak dalam talian kini telah menjadi isu keselamatan awam yang memerlukan tindakan lebih tegas.

Menurut laporan Digital 2025 oleh DataReportal, Malaysia merekodkan kira-kira 25.1 juta pengguna media sosial aktif, bersamaan lebih 70 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Dalam masa sama, akses internet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dengan penggunaan telefon pintar sebagai medium utama untuk berkomunikasi, belajar dan berhibur.

Namun, di sebalik manfaat teknologi, risiko yang dihadapi juga semakin kompleks. Laporan UNICEF menunjukkan bahawa satu daripada setiap tiga pengguna internet di dunia terdiri daripada kanak-kanak.

Mereka berhadapan dengan ancaman seperti buli siber, eksploitasi seksual, pemangsa dalam talian, penipuan digital, penyebaran maklumat palsu dan kandungan berbahaya yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka.

Pembangunan ekosistem keselamatan digital

Dalam konteks Malaysia, kebimbangan ini bukan lagi bersifat teoritikal. Data CyberSecurity Malaysia menunjukkan bahawa ribuan insiden keselamatan siber melibatkan individu dilaporkan setiap tahun, termasuk kes gangguan dalam talian, penipuan digital dan penyalahgunaan media sosial.

Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia turut melaporkan peningkatan kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian yang melibatkan penggunaan platform digital sebagai medium utama untuk mendekati mangsa.

Lebih membimbangkan, kajian antarabangsa semakin menunjukkan hubungan antara penggunaan media sosial yang berlebihan dengan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja, termasuk kebimbangan, kemurungan, gangguan imej diri dan ketagihan digital.

Dalam persekitaran yang dipacu oleh algoritma untuk memaksimumkan perhatian pengguna, golongan muda menjadi antara kumpulan yang paling mudah terdedah kepada manipulasi kandungan.

Oleh sebab itu, keputusan kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial baharu boleh dianggap sebagai langkah pencegahan yang berasaskan prinsip perlindungan kanak-kanak.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada sekatan umur semata-mata mampu menyelesaikan masalah yang lebih besar.

Pengalaman beberapa negara menunjukkan bahawa sekatan umur tanpa mekanisme penguatkuasaan yang berkesan sering berdepan cabaran.

Pengguna bawah umur boleh menggunakan maklumat palsu ketika mendaftar akaun atau beralih kepada platform yang kurang dikawal.

Justeru, keberkesanan dasar ini bergantung kepada keupayaan platform melaksanakan sistem pengesahan umur yang benar-benar berfungsi tanpa menjejaskan privasi pengguna.

Pada masa sama, isu perlindungan data peribadi tidak boleh diketepikan. Penggunaan dokumen pengenalan diri atau sistem pengesahan identiti digital perlu disertakan dengan jaminan bahawa data yang dikumpulkan tidak disalahgunakan dan dilindungi mengikut piawaian keselamatan yang ketat.

Namun demikian, perlindungan kanak-kanak dalam talian tidak boleh bergantung kepada teknologi dan sekatan semata-mata. Apa yang lebih diperlukan ialah pembangunan ekosistem keselamatan digital yang menyeluruh.

Ini termasuk pendidikan literasi digital sejak peringkat sekolah, peningkatan kesedaran ibu bapa mengenai keibubapaan digital serta mekanisme pelaporan yang mudah, mesra pengguna dan berkesan.

Berdasaran dapatan pelbagai kajian berkaitan mekanisme pelaporan dan moderasi kandungan media sosial, satu lagi aspek yang perlu diberikan perhatian ialah kewujudan badan rayuan yang bebas dan telus di luar platform media sosial itu sendiri.

Pada masa ini, kebanyakan keputusan berkaitan penyingkiran kandungan, penggantungan akaun dan tindakan terhadap laporan pengguna masih ditentukan oleh syarikat platform masing-masing.

Keadaan ini sering menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, akauntabiliti dan konsistensi dalam membuat keputusan. Tambahan pula, setiap platform mempunyai definisi yang berbeza tentang apa yang dianggap sebagai kandungan berbahaya atau "online harm".

Justeru, Malaysia boleh mempertimbangkan penubuhan sebuah Tribunal Rayuan Keselamatan Dalam Talian yang bebas bagi membolehkan pengguna mencabar keputusan platform secara adil dan telus.

Tribunal sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem pelaporan, malah mampu mewujudkan standard perlindungan yang lebih konsisten merentas pelbagai platform digital.

Hakikatnya, had umur 16 tahun bukanlah penyelesaian mutlak kepada semua risiko dalam talian. Namun, ia merupakan langkah penting ke arah mewujudkan ruang digital yang lebih selamat untuk generasi muda.

Kejayaan dasar ini akhirnya tidak akan diukur melalui jumlah akaun yang disekat, tetapi melalui sejauh mana kita berjaya melindungi kanak-kanak daripada ancaman digital sambil memastikan mereka terus mendapat manfaat daripada teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA

Dr Nuur Alifah Roslan ialah Pensyarah di Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia atau e-mel nuuralifah@upm.edu.my

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)