WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Bekerjasama Dengan Agensi Berkaitan Pantau Harga Sayur - Armizan

15/10/2024 05:18 PM

PETALING JAYA, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan kerjasama dan perbincangan dengan kementerian serta agensi berkaitan mengenai isu harga sayur-sayuran yang dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda pada hujung tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan akan mengambil langkah intervensi sekiranya berlaku kenaikan secara mendadak.

 “Masih terlalu awal untuk saya komen tetapi kami memantau sebarang kenaikan harga, pergolakan harga atau isu berkaitan termasuk bekalan makanan.

“Kami juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Sekiranya ada keperluan, kami akan mengambil langkah intervensi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama syarikat Carsome Group di Carsome PJ Auto Mall Experience Center di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid yang menyatakan bahawa kebanyakan harga sayur di peringkat ladang telah meningkat antara 20 hingga 50 peratus pada awal Oktober.

Syed Abd Rahman berkata harga sayur-sayuran dijangka meningkat pada November dan Disember ini susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan