WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: Tabika Kemas Di Gombak Dan Ampang Ditutup Dua Hari Untuk Pembersihan

15/10/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Dua premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dekat sini yang terjejas banjir ditutup dua hari bermula hari ini bagi tujuan pembersihan. 

KEMAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan tabika berkenaan adalah Tabika KEMAS Klang Gate, Gombak dan Tabika KEMAS Jalan Hulu Klang, Batu 8, Ampang.

“KEMAS akan memastikan premis tersebut dibersihkan sepenuhnya dan disanitasi bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dan kakitangan apabila dibuka semula Khamis ini, selain melakukan penilaian terhadap kerosakan akibat banjir,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu, KEMAS juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasukan penyelamat untuk menilai keadaan sistem saliran di sekitar kawasan berkenaan, dan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memperbaiki sistem perparitan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

“Bagi kawalan penyakit berjangkit, KEMAS mengambil langkah mencegah dan mengawal penyakit berjangkit dengan mendapatkan khidmat nasihat pejabat kesihatan.

“KEMAS sentiasa mengikuti dan mengambil perhatian terhadap pengumuman Jawatankuasa Bencana Alam Negara dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. 

Banjir kilat melibatkan kedua-dua premis Tabika KEMAS iu tular di media sosial hari ini yang antaranya memaparkan sekumpulan pelajar berdepan detik cemas apabila bilik darjah dinaiki air secara tiba-tiba.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan