WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Objektif Strategik Astronautic Technology Sdn Bhd Telah Dicapai - MoF

15/10/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) --  Secara dasarnya objektif strategik Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB), syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) telah dicapai apabila membangunkan dan melancarkan satelit penderiaan jauh mikro TiungSAT-1 pada 26 Sept, 2000.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ATSB juga telah membangunkan satelit penderiaan jauh mikro RazakSAT yang dilancarkan pada 14 Julai, 2009 untuk membekalkan imej data lebih spesifik dan kerap.

“Daripada jumlah RM112.58 juta modal awal yang diterima daripada kerajaan, sebanyak RM25 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan, pembangunan dan pelancaran satelit TiungSAT-1, RM80 juta untuk pembinaan, pembangunan dan pelancaran satelit RazakSAT manakala RM7.579 juta dibelanjakan untuk kos operasi ATSB,” katanya dalam teks ucapan penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Teks ucapan itu dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Amir Hamzah yang berada dalam persidangan itu tidak dapat membuat ucapan penggulungan kerana mengalami keradangan saluran kerongkong atau laringitis.

Isu pelupusan saham ATSB termasuk nilai nominal saham berjumlah RM112.58 juta yang dijual hanya pada harga RM50,000 dibangkit oleh Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).

Menteri Kewangan II juga berkata ATSB ialah entiti yang bersifat strategik untuk pembangunan satelit dan bukan syarikat berasaskan keuntungan.

Beliau berkata Jemaah Menteri, dalam mesyuarat pada 14 Ogos, 2019, telah bersetuju melupuskan pegangan saham kerajaan dalam ATSB kerana tiada lagi keperluan strategik bagi kerajaan Persekutuan untuk terus memiliki syarikat tersebut serta berperanan dalam agenda memperkasakan industri angkasa negara.

“Pelupusan saham ini dilaksanakan melalui proses tender terbuka, yang disertai oleh empat syarikat pada Notis Pelawaan Cadangan (RFP) pertama dan tiga syarikat pada RFP kedua,” katanya.

Amir Hamzah berkata Rites Sdn Bhd merupakan pembida berjaya dengan harga bidaan sebanyak RM50,000 tanpa sebarang syarat yang mengikat kerajaan.

Pelupusan saham ATSB pada nilai nominal RM50,000 ini adalah berdasarkan “goodwill”, memandangkan segala aset dan liabiliti syarikat telah disifarkan, dan syarikat kini berstatus dorman tanpa sebarang operasi perniagaan atau pekerja, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan