WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aaron-Wooi Yik Lepasi Halangan Pertama Terbuka Denmark 2024

15/10/2024 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) --Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen mempertahankan gelaran Terbuka Denmark dengan langkah kanan selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu beraksi cemerlang dengan menundukkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 28-26, 21-11 dalam pertarungan sengit selama 49 minit.

Kemenangan ini juga mengekalkan rekod bersih mereka ke atas Mitsuhashi-Okamura setelah turut menewaskan pasangan yang sama pada Terbuka India 2024 dan Kejohanan Badminton Asia 2024.

Namun, Aaron mengakui tempoh rehat yang lama tanpa aksi kompetitif membuatkan mereka perlu mencari semula rentak permainan.

“Ini adalah kejohanan kedua kami selepas lama beraksi. Walaupun kami berpengalaman, sudah lama kami tidak beraksi di gelanggang, jadi banyak perkara yang perlu disesuaikan semula,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

.Sementara itu, Wooi Yik yang baru pulih daripada kecederaan retak jari kaki berkata perubahan strategi pada set kedua memastikan kemenangan mereka.

Menanti di pusingan kedua Khamis ini adalah pemenang perlawanan antara rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu England, Callum Hemming-Ethan Van Leeuwen.

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa pulang lebih awal apabila tewas kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-9, 22-24,10-24.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan