WILAYAH - SABAH > BERITA

Belanjawan 2025: Peruntukan Infrastruktur Penting Untuk Sabah - Shahelmey

16/10/2024 04:56 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Sabah percaya dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk mendengar dan memahami keutamaan yang diperlukannya bagi memastikan ia boleh terus maju dengan memiliki infrastruktur asas yang setanding dengan negeri-negeri lain, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau berkata kesinambungan penyaluran peruntukan pembangunan infrastruktur kepada Sabah dalam Belanjawan 2025 amat penting untuk memastikan penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air dilakukan secara berterusan demi manfaat rakyat.

Shahelmey turut menyuarakan harapan agar peruntukan kepada Sabah dalam Belanjawan 2025 dapat ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelumnya, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kadar pemberian khas interim kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun depan.

"Dalam aspek pembangunan infrastruktur, kerajaan Sabah sering menyatakan bahawa kita memerlukan peruntukan tambahan terutama bagi infrastruktur bekalan elektrik, air dan jalan raya.

"Selain jalan raya kita juga memerlukan peruntukan tambahan dalam penyelenggaraan infrastruktur jalan lama, pembaikan cerun, pemasangan lampu jalan serta pembetungan dan perparitan. Penggantian peralatan usang dalam sistem bekalan air juga sangat diperlukan di Sabah," kata kepada Bernama baru-baru ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata pembangunan tiga struktur asas iaitu elektrik, air dan jalan raya perlu diberi tumpuan khusus untuk kemudahan rakyat serta merapatkan jurang perbezaan infrastruktur antara Sabah dan Semenanjung.

Ahli Parlimen Putatan itu juga berpandangan sekolah daif dan klinik kesihatan di Sabah perlu dinaik taraf memandangkan masih ada bangunan dalam struktur kayu yang berusia puluhan tahun selain berharap kerajaan Persekutuan dapat membekalkan peralatan terkini bagi pejabat Persekutuan termasuk Jabatan Imigresen di negeri itu.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali juga menyuarakan harapan agar kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan infrastruktur jalan raya luar bandar Sabah, terutama jalan raya yang tidak termasuk dalam jajaran Lebuh Raya Pan Borneo.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata usaha mengatasi isu air di Papar sudah dimulakan menerusi pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon, dan beliau berharap pelaksanaannya dapat segerakan. 

“Selain itu pembinaan dua jalan utama iaitu Sabindo-Sungai Kinarut dan Melinsung-Papar Spur yang dimasukkan dalam belanjawan lepas, kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan reka bentuk sebelum pelantikan kontraktor,” katanya.

Beliau berkata isu legasi infrastruktur utama di Papar telah dimasukkan dalam belanjawan tahun lepas dan beliau berharap pelaksanaanya dapat disegerakan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan