WILAYAH - TIMUR > BERITA

JKM Terengganu Lakukan Persiapan Awal Hadapi Banjir

17/10/2024 12:37 PM

KUALA TERENGGANU, 17 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu melakukan persiapan awal bagi menghadapi banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL), yang dijangka berlaku lebih awal kali ini.

Pengarahnya Mazura Ngah Abdul Manan berkata antara yang dilakukan ialah penghantaran sebanyak 4.4 tan bekalan makanan dan keperluan asas kepada lebih kurang 300 keluarga di Pulau Redang di Kuala Nerus, hari ini.

“Biasanya penghantaran bekalan makanan ke pangkalan hadapan di pulau-pulau termasuk Pulau Redang, dilakukan pada hujung Oktober tetapi MTL dijangka lebih awal kali ini jadi kita hantar hari ini.

“Begitu juga bekalan kepada penduduk di Pulau Perhentian di Besut, kita akan hantar dalam waktu terdekat ini,” katanya kepada pemberita pada Program Penghantaran Barang Keperluan Semasa Bencana ke Pulau Redang di Jeti Jabatan Laut Malaysia, di sini hari ini.

Mazura berkata bekalan seperti beras, minyak masak, tepung, dan susu formula bayi itu mampu menampung kegunaan penduduk di pulau tersebut selama tiga bulan.

“Sekiranya berlaku kekurangan bekalan ke kawasan terjejas termasuk di pulau-pulau, kita akan buat aturan awal melibatkan pelbagai pihak seperti kalau keadaan serius mungkin perlu gunakan khidmat agensi lain termasuk pengangkutan udara,” katanya.

Selain itu katanya pihaknya juga akan memastikan bekalan makanan dan keperluan asas di Depot Simpanan Utama di Pulau Kerengga, Marang dan 10 mini depot serta 155 pangkalan hadapan di seluruh negeri sentiasa mencukupi, bagi menghadapi bencana banjir.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan