WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tenaga Boleh Baharu: Pemohonan Kuota Fit 2.0 Dibuka Pada 15 Jan-19 Feb Depan

17/10/2024 09:25 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia mengumumkan permohonan kuota tarif galakan (FiT) 2.0 sebanyak 190 megawatt (MW) akan dibuka bermula 15 Jan hingga 19 Feb tahun hadapan.

Dalam kenyataan hari ini, SEDA Malaysia memaklumkan pemohonan kuota FiT 2.0 yang merangkumi pecahan kuota sebanyak 50 MW bagi biogas, 40 MW bagi biojisim dan 100 MW bagi hidrokuasa kecil boleh dibida secara talian melalui sistem e-FiT pada tempoh tersebut.

Menurut kenyataan itu kaedah permohonan kuota FiT telah ditambah baik dengan pengenalan konsep kadar tarif dua fasa iaitu untuk 10 tahun pertama dan untuk syarikat yang layak berdasarkan kadar tarif lantai dan siling yang ditetapkan untuk baki 11 tahun seterusnya, hingga tamat tempoh perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh baharu (REPPA).

SEDA Malaysia memaklumkan pengenalan penawaran kuota FiT 2.0 bagi tahun depan dijangka menjana pelaburan sebanyak RM2.1 billion serta mewujudkan 4,514 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dalam industri tenaga boleh baharu.

“Projek tenaga boleh baharu ini dijangka boleh menjana dan membekalkan elektrik mulai 2028 hingga 2030.

“Langkah ini juga sebahagian daripada usaha kerajaan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam pembangunan sektor tenaga boleh baharu di samping menyokong sasaran 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050,” menurut kenyataan itu.

Menurut SEDA Malaysia sejak mekanisme FiT diperkenalkan pada 2011, sejumlah 1,271.69 MW kuota FiT telah diluluskan bagi kesemua sumber boleh baharu melibatkan 9,644 projek di Semenanjung. 

Kenyataan itu turut memaklumkan satu sesi taklimat berhubung penawaran kuota FiT 2.0 telah diadakan bersama pemain industri serta pihak berkepentingan dan maklumat lanjut mengenai penawaran berkenaan boleh dilayari menerusi portal SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan