WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ABIM Johor Sambut Baik Perubahan Cuti Hujung Minggu

17/10/2024 08:49 PM

JOHOR BAHRU, 17 Okt (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor menjunjung kasih titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenaan perubahan cuti hujung minggu negeri itu daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad. 

ABIM Johor dalam satu kenyataan hari ini menyambut baik titah baginda dan menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini agar menghormati perubahan berkenaan yang akan bermula pada 1 Jan 2025. 

Menurut kenyataan itu ABIM Johor yakin dan percaya titah tersebut telah diteliti bersama pihak kerajaan negeri Johor dan paling penting mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Sebagai masyarakat Islam yang memahami tuntutan-Nya, kita mestilah memahami bahawa Allah SWT menyeru supaya keluar pada hari Jumaat menyelesaikan urusan masing-masing,” menurut kenyataan itu. 

Menurut  ABIM Johor dalam memperkukuh hubungan rakyat berbilang agama, kaum dan bangsa, pihaknya mencadangkan tiga perkara yang boleh dilaksanakan pada hari Jumaat iaitu memperkasakan semula Program Semarak Al Quran di setiap jabatan dan agensi kerajaan dan swasta seperti termaktub dalam Fasal 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Selain itu, menurut kenyataan itu majikan, pihak berkuasa dan pentadbir jabatan, institusi dan agensi kerajaan serta swasta diseru agar memberi masa yang munasabah untuk pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat termasuk waktu rehat dan makan tengahari.

“Untuk menyantuni semua bangsa Johor yang berbilang agama, bangsa dan kaum dicadangkan agar kerajaan Johor memperuntukkan program khas berbentuk perpaduan, keharmonian dan budaya damai kepada warga bukan Islam termasuk wanita pada waktu tersebut,” menurut kenyataan itu. 

ABIM Johor memaklumkan bekerja pada hari Jumaat bukan perkara baharu bagi Bangsa Johor kerana sebelum 2015, cuti hujung minggu adalah pada Sabtu dan Ahad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan