WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025: Malaysia Teguh Pahat Agenda Pembaharuan Di Peringkat ASEAN

19/10/2024 01:09 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia berpegang teguh kepada pendekatan bersama dalam memahat agenda pembaharuan di peringkat ASEAN termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan bersempadan dengan negara tetangga untuk kemakmuran bersama.

Ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepengerusian ASEAN 2025 merupakan peluang terbaik Malaysia mengemudi ASEAN berpandukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Justeru Anwar berkata Malaysia beriltizam melakar hala tuju ASEAN lebih berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat.

“Tentunya mencabar untuk melunas amanah besar pada detik ini, apa lagi ASEAN teruji dengan persaingan kuasa-kuasa besar, isu Laut China Selatan, krisis Myanmar, hal keterjaminan makanan serta perubahan iklim.

“Atas kelebihan yang ada, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk)  + China buat julung kalinya,” kata beliau.

Anwar berkata bagi menyokong penggiat kraf tangan, sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kerajaan menetapkan semua kementerian dan jabatan yang terlibat dengan penganjuran mesyuarat dan aktiviti, hendaklah memperoleh kraf tangan daripada pengusaha tempatan yang boleh mengetengahkan kehalusan, keunikan dan keaslian hasil tangan anak tempatan untuk dikongsikan kepada semua.

Beliau memberi contoh beg dokumen yang digunakannya hari ini yang merupakan kerja seni tenunan songket hasil pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung bersama dengan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN di Vientiane.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.

Anwar turut memperkenal logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025: ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ pada majlis itu.

Tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bermula secara rasmi pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan