WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Peruntuk RM2 Bilion Dalam Hal Ehwal Islam Tahun Depan

19/10/2024 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt Bernama) -- Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2025, dengan sebahagian daripadanya adalah untuk memperkasakan institusi pendidikan Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak RM150 juta dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.

“Kerajaan bersetuju menambah kuota guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk kanak-kanak,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut bersetuju meningkatkan kadar wang saku sebanyak RM100 bagi membantu penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM.

Anwar berkata susulan Op Global yang dijalankan, kerajaan menyediakan tambahan RM25 juta kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.

“Pemikiran dan aliran yang menyimpang daripada Islam yang sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah semakin membimbangkan.

“Usaha bersepadu giat dijalankan bagi mengekang segala aktiviti pemesongan akidah yang kian menular sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melancarkan ikhtiar wakaf al-Quran dengan niat mencetak sejuta naskah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin dan Sweden.

Beliau berkata usaha bagi menyemai kesedaran terhadap Islam susulan insiden membakar al-Quran di Sweden dan penentangan terhadap Islam kerana sifat kejahilan yang menebal itu akan dilaksanakan JAKIM dengan kerjasama pihak seperti Yayasan Restu.

Dalam pada itu, bagi menyokong usaha pengumpulan bantuan atas tanggungjawab bersama, Anwar berkata kerajaan mencadangkan skop pelepasan cukai untuk badan amal di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan diperluas meliputi sumbangan kepada bukan warganegara yang terjejas.

Beliau berkata hal ini susulan pendekatan kerajaan Malaysia membawa lebih 40 rakyat Palestin yang memerlukan rawatan kesihatan ke negara ini, sebagai tanda persaudaraan.

Anwar berkata bagi menghargai sumbangan besar lebih 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta.

Berhubung isu halal, Perdana Menteri berkata juruaudit halal JAKIM akan ditambah sebanyak 100 orang ke arah mempercepat urusan pengeluaran sijil halal Malaysia yang diiktiraf hampir keseluruhan negara di dunia.

Beliau berkata usaha sama JAKIM, Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) harus dilipatgandakan dalam memperkukuh industri halal negara dan menyokong syarikat halal tempatan.

Anwar berkata Wakaf MADANI turut diperkasa dengan penglibatan meluas agensi-agensi kerajaan dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) menyediakan dana RM300 juta bagi meningkatkan pembangunan tanah wakaf untuk membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada pesara pendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata UDA Holdings Berhad (UDA) dengan dana RM200 juta akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf manakala Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan menyediakan dana untuk penjawat awam yang membeli rumah di atas tanah wakaf.

Beliau berkata Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula akan menjamin pinjaman pembeli rumah pertama bernilai hingga RM500,000 yang dibangunkan di atas tanah-tanah wakaf.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan