WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dana Padanan RM100 Juta Galak Inovasi Pembiayaan Kewangan Islam

19/10/2024 01:06 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyediakan dana padanan berjumlah RM100 juta bagi mengalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam supaya tidak lagi bergantung kepada produk patuh syariah yang mirip konvensional.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musharakah yang melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil.

“Kemudahan ini tertumpu kepada projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana daripada institusi perbankan Islam dan pelabur swasta,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor kewangan Islam perlu dipacu supaya lebih berdaya cipta.

“Bagi merancakkan kajian dalam bidang ekonomi Islam, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai-nilai universal ekonomi Islam,” kata beliau.

Beliau berkata perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa yang selaras dengan prinsip maqasid syariah yang adil, inklusif, lestari untuk kemakmuran bersama.

Selain itu, Perdana Menteri berkata hampir keseluruhan negara dunia mengiktiraf pensijilan halal Malaysia.

Oleh itu, usaha sama Jakim Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) harus dilipatgandakan dalam memperkukuh industri halal negara dan menyokong syarikat halal tempatan, kata beliau.

“Ke arah mempercepat urusan pengeluaran sijil halal, juruaudit halal Jakim akan ditambah sebanyak 100 orang lagi. Sistem MYeHALAL juga ditambah baik bagi memusatkan 20 agensi kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara di bawah satu platform.

“Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir RM600 juta,” kata beliau.

Anwar berkata Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) juga sedia menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan PKS halal dengan nilai jaminan sehingga RM1 bilion.

“MATRADE ditugaskan untuk memacu perkembangan kapasiti lebih banyak perusahaan halal supaya lebih berdaya saing dengan peruntukan RM20 juta,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan