WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Cadang Sistem Taksir Sendiri Duti Setem Dilaksanakan Secara Berfasa - MoF

19/10/2024 01:27 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan supaya Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) dilaksanakan secara berfasa berdasarkan kepada jenis surat cara atau perjanjian, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF berkata cadangan tersebut adalah bagi memastikan sistem penyeteman dan pembayaran secara kendiri lebih cekap dan turut membantu dalam peningkatan pematuhan.

“Melalui STSDS, pembayar duti atau ejen dilantik perlu memuat naik maklumat dalam Sistem Taksiran Dan Pembayaran Duti Setem atau ‘STAMPS’ dan membuat taksiran sendiri ke atas nilai duti setem bagi surat cara atau perjanjian dan seterusnya membuat pembayaran dalam tempo yang ditetapkan,” katanya dalam lampiran dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Menurut MoF, fasa pertama STSDS akan berkuat kuasa pada 1 Januari, 2026 menerusi jenis surat cara atau perjanjian berkaitan sewa atau pajakan, penyematan am dan sekuriti, diikuti fasa kedua  pada 1 Januari, 2027 melalui jenis surat cara pindah milik hartanah.

“Manakala, fasa ketiga STSDS, ia akan berkuatkuasa pada 1 Jan, 2028, menerusi jenis surat cara atau perjanjian selain yang dinyatakan dalam fasa yang pertama dan kedua,” katanya.

Menurutnya sebelum 2021, penyeteman surat cara atau perianiian boleh dilaksanakan secara manual melalui kaedah Sistem Frangki Digital (SFD) atau secara dalam talian melalui Stamp Assessment and Payment System (STAMPS).

Bagaimanapun, SFD telah ditamatkan pada 30 Jun, 2021, menjadikan STAMPS adalah sistem utama bagi proses penyeteman dalam talian, kata kementerian itu.

“Walaupun penggunaan STAMPS telah dilaksanakan sepenuhnya dan proses memasukkan maklumat duti setem dilakukan ole pembayar duti, pentaksiran duti stem masih di bawah tanggungjawab Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

“Pembayar duti akan membuat pembayaran duti setem berdasarkan notis taksiran dikeluarkan oleh LHDN dalam STAMPS,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan