WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Akta Kredit Pengguna Akan Kawal Penyedia Kredit Bukan Bank Dan Perkhidmatan Kredit -- BNM

19/10/2024 10:34 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Akta Kredit Pengguna (CCA) yang akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang akan menangani pertindanan tanggungjawab antara pihak berkuasa pengawalseliaan serta mengurangkan jurang dalam pengawasan penyedia kredit pengguna.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata apabila CCA diluluskan, Suruhanjaya Kredit Pengguna (CCC) akan ditubuhkan sebagai pihak berkuasa baharu yang mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit di Malaysia.

"CCC akan mengawal selia pelbagai entiti yang pada masa ini tidak tertakluk pada mana-mana pihak berkuasa pengawalseliaan di Malaysia.

"Entiti ini termasuk syarikat 'Beli Sekarang Bayar Kemudian' (BNPL), syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank, pembeli pinjaman terjejas, agensi pengutip hutang dan agensi kaunseling serta pengurusan hutang,” kata BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

. Pada masa ini, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) yang diterajui  Kementerian Kewangan, BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah ditugaskan untuk memuktamadkan CCA dengan kerjasama kementerian dan agensi yang berkaitan

Inisiatif BNM lain di bawah Belanjawan 2025 termasuk RM3.8 bilion untuk membiayai perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam melaksanakan pendigitalan dan automasi, menerap amalan lestari dan rendah karbon, dan meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Selain itu, had pembiayaan bagi Skim Pembiayaan Mikro oleh institusi kewangan telah dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Geran sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan bagi modal permulaan iTEKAD dan untuk menanggung sumbangan takaful tahunan bagi usahawan mikro.

Inisiatif lain termasuklah Baucar Perlindungan Tenang berjumlah RM30 bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah dan dana padanan sebanyak RM100 juta untuk inovasi kewangan Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan