WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belia Perlu Bijak Guna Peluang, Inisiatif Melalui Belanjawan 2025 - MBM

19/10/2024 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belia Malaysia perlu bijak dalam mengurus peluang yang ada menerusi Belanjawan 2025 dan menggunakannya dengan cermat serta penuh tanggungjawab demi masa depan lebih baik.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata Belanjawan 2025 jelas menunjukkan tumpuan kerajaan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.

Mengambil contoh kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, beliau berkata ia selaras komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan golongan belia, khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif itu dalam menghadapi cabaran kos sara hidup. 

Selain itu, beliau berkata Program Belia Kreatif MADANI yang menyasarkan 6,000 anak muda menerusi aktiviti seperti bengkel kemahiran videografi, kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek dapat memeriahkan lagi industri penciptaan idea dan kreatif untuk anak muda. 

"Peruntukan RM30 juta bagi Program Anak Kita serta sokongan tambahan oleh Yayasan Hasanah yang memfokuskan kepada minat anak-anak dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting bagi memastikan generasi muda mendapat kemahiran relevan dengan keperluan pasaran kerja masa kini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai peruntukan RM50 juta bagi Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0), Mohd Izzat Afifi berkata program itu akan memberikan pengalaman lebih holistik dan berstruktur kepada lepasan kadet sekolah serta MBM yakin ia mampu memupuk disiplin, tanggungjawab dan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

Mohd Izzat Afifi berkata pengenalan skim Step Up Financing dengan jaminan kerajaan hingga RM5 bilion, khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama dapat meringankan beban kewangan serta membantu mereka dengan bayaran balik pinjaman yang rendah.

"MBM juga menyokong inisiatif Geran Padanan RM10 juta oleh TalentCorp di bawah Program LiKES yang membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM)  kerana ia dapat memperkasakan graduan muda dengan kemahiran relevan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang-bidang kritikal masa hadapan.

"Peruntukan RM20 juta bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) menggalakkan generasi muda menceburi bidang keusahawanan untuk meningkatkan taraf hidup dan memainkan peranan dalam memperkukuh ekonomi negara melalui pembinaan perniagaan baharu," katanya. 

Mengenai penyelenggaraan kemudahan belia dan sukan, Mohd Izzat Afifi berkata langkah itu penting untuk memastikan golongan berkenaan mempunyai akses kepada fasiliti yang berkualiti bagi menjalankan aktiviti sihat dan produktif.

Selain itu, beliau berkata Inisiatif Geran Padanan Sukan untuk menggalakkan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja akan memperkasakan aktiviti sukan di peringkat akar umbi tetapi memupuk perpaduan dan kesihatan dalam kalangan belia.

"MBM komited untuk terus memainkan peranan dalam memastikan semua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 memberikan impak positif dan berkekalan kepada golongan belia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan