BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

203 Menara Telekomunikasi Jendela Fasa 1 Di Sabah Siap - Fahmi

19/10/2024 03:02 PM

TUARAN, 19 Okt (Bernama) -- Sebanyak 203 daripada 400 menara telekomunikasi yang dibina di bawah pelaksanaan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Sabah telah siap setakat hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata menara telekomunikasi selebihnya kini hampir siap, namun lapan daripadanya telah diserahkan semula kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana syarikat tidak mampu melaksanakan projek dipertanggungjawabkan kerana terlalu sukar.

“Antara masalah menyebabkan kesukaran berkenaan adalah faktor muka bumi dan pemilikan tanah yang tidak dapat diselesaikan, namun MCMC akan meneliti semula lapan tapak yang diserahkan semula itu supaya kita dapat melaksanakannya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian menara telekomunikasi JENDELA Fasa 1 di Kampung Logub Tamparuli, dekat sini hari ini.

Fahmi berkata mana-mana syarikat yang gagal menyiapkan projek seperti ditetapkan akan dikenakan penalti.

“Saya telah menyatakan kepada mereka bahawa melaksanakan dan menyiapkan projek adalah tanggungjawab dan amanah besar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata dengan pengoperasian menara telekomunikasi JENDELA Fasa 1 di Kampung Logub Tamparuli itu, sebanyak 643 penduduk dari sekitar kawasan itu akan mendapat manfaat liputan Internet berkelajuan tinggi melebihi 200 mbps mengikut ujian kelajuan yang telah dilaksanakan.

“Saya berharap kemudahan ini dapat membantu komuniti setempat bukan hanya mengakses media sosial tetapi memanfaatkan untuk melakukan perniagaan dalam talian,” katanya.

JENDELA yang dilancarkan pada September 2020, bermatlamat mewujudkan sambungan digital yang mantap dan mampu milik dengan liputan jalur lebar berkualiti serta menyediakan akses Internet merentasi semua lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara.

Pada masa sama, Fahmi berkata bagi pelaksanaan JENDELA Fasa 2, sebanyak 2,700 lokasi menara telekomunikasi dikenal pasti termasuk di kawasan terpencil, bukit bukau dan pulau-pulau.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang meneliti teknologi baharu iaitu satelit jenis low earth orbit (LEO) atau orbit rendah bumi bagi meningkatkan perkhidmatan Internet di seluruh negara terutama kawasan pedalaman.

“Teknologi ini sangat berguna di kawasan yang benar-benar tidak mempunyai talian Internet dan ia akan terus ke telefon pintar kita tanpa melalui menara…saya difahamkan satu projek perintis akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat suku kedua tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan