BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anwar Mahu Rakyat Sehingga Akar Umbi Nikmati Inisiatif Dalam Belanjawan 2025

19/10/2024 06:20 PM

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat sehingga peringkat akar umbi terutama golongan miskin dan miskin tegar dapat menikmati pelbagai inisiatif yang disediakan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata antara inisiatif penting belanjawan itu ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM10 bilion sebelum ini.

"Sekarang SARA kita luaskan kepada 700,000 orang, STR itu sekarang cecah sembilan juta orang, maknanya sekarang kesemua B40 juga M40 dapat manfaat. Pegawai daerah, penghulu, ketua kampung pastikan orang miskin tidak terlepas peluang ini. Saya sudah pesan tidak mahu ada tercicir.

"Maknanya, kerajaan Persekutuan jamin setiap keluarga … pendapatan campur semua kemudahan diberi kerajaan Persekutuan tidak kurang RM1,000 sebulan mesti masuk akaun dia. Tidak banyak negara buat (seperti) Malaysia MADANI laksanakan, setiap rakyat tidak ditinggalkan," kata beliau berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sabah.

Anwar berkata dalam usaha membantu rakyat, kerajaan berdepan beberapa cabaran besar antaranya kebocoran dan ketirisan bantuan yang merampas hak rakyat untuk menikmati pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan itu.

Subsidi petrol misalnya, Perdana Menteri berkata kerajaan berusaha melakukan penyasaran semula subsidi itu bagi memastikan rakyat benar-benar memerlukan dapat dibantu secara optimum dan ia tidak jatuh ke tangan golongan yang mengambil kesempatan.

"Subsidi kerajaan keluarkan supaya harga (petrol) tidak naik, bantu rakyat susah. Tetapi, sekarang ini (subsidi) petrol masuk warga asing yang tidak ada kad pengenalan pun kita bantu, dia tidak bayar cukai tetapi diberi subsidi … orang kaya (ada) rumah banglo, untung berjuta (ringgit), tetapi subsidi petrol kita bagi.

"Jadi, kalangan orang kaya teratas 15 peratus campur orang asing mereka guna subsidi 40 peratus atau RM8 bilion satu tahun kerajaan murah hati beri, sebab itu kita kena fikir cara untuk mengubahnya supaya rakyat memerlukan dapat menikmatinya, agar 85 peratus rakyat B40, M40 dapat nikmatinya," kata beliau.

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata beliau memerlukan semua rakyat Malaysia untuk memahami sebaiknya dan menyokong usaha yang dilakukan kerajaan MADANI dalam merealisasikan hasrat itu, seterusnya meringankan beban yang ditanggung rakyat ketika ini.

Sementara itu, Perdana Menteri mahu rakyat menggunakan sebaiknya peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) dalam Belanjawan 2025 bagi mengubah kehidupan dalam komuniti mereka dengan melaksanakan program bermanfaat.

"Kita beri hingga RM100,000 ikut projek kepada kampung, di Sarawak ada rumah panjang. Tetapkan nak buat apa bukan pegawai daerah, menteri, ketua jabatan, tetapi orang kampung (adakan) mesyuarat fikir nak buat apa. Pelihara ayam, ikan atau apa-apa projek untuk tingkat kehidupan," kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan