WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemandu Maut, Penumpang Cedera Kereta Terbakar Di NPE

20/10/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera ringan selepas kereta dinaiki terbabas dan terbakar di KM14.9 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) kira-kira 8 pagi ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.28 pagi tadi.

“Sepasukan sembilan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama jentera Fire Rescue Tender dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian digegaskan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Toyota Vios sedang terbakar dipercayai impak daripada kemalangan jalan raya sebelum terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala mayat pemandu diserahkan kepada pihak polis.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit sempat dikeluarkan oleh orang ramai sebelum kereta berkenaan terbakar dan mereka dipercayai mempunyai pertalian saudara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan trafik lebih 300 meter di lebuh raya berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mempercayai kejadian berlaku apabila pemandu berusia 28 tahun itu melanggar pembahagi jalan hingga menyebabkan kereta jenis Toyota Corolla Altis dipandunya terbakar secara keseluruhan.

"Mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang kenderaan terbabit iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun yang cedera di kepala dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kemalangan berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan