WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APMM Tahan Bot Penumpang Tanpa Lesen Di Perairan Pulau Perhentian

21/10/2024 10:42 AM

KUALA TERENGGANU, 21 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot penumpang tidak berlesen di perairan Pulau Perhentian, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bot tersebut ditahan dalam Op Iman di kedudukan 11 batu nautika Timur Laut dari muara Kuala Besut.

Beliau berkata bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh seorang operator lelaki warga tempatan berusia 33 tahun.

"Terdapat lapan pelancong luar negara berada dalam bot yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian ke Pulau Rawa (di sini) bagi melakukan aktiviti pelancongan.

"Ketika pemeriksaan, operator bot tersebut juga telah mengemukakan lesen yang telah tamat tempoh yang jelas merupakan satu kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairulanuar berkata kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius kerana aspek pengabaian keselamatan melibatkan bukan sahaja operator bot, tetapi juga lapan penumpang.

Susulan itu, pihaknya telah menahan bot dan operator tersebut atas kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu membawa penumpang tanpa lesen sah serta insurans yang tamat tempoh.

"APMM mengingatkan agar pengusaha bot yang membawa penumpang mematuhi undang-undang atau peraturan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini, terutamanya dengan kedatangan musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan