WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah Rekod Lebih 480,000 Pengunjung

21/10/2024 05:42 PM

KOTA KINABALU, 21 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah mencapai sasaran apabila merekodkan 485,474 pengunjung di Pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini selama tiga hari mulai Jumaat lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata penganjuran bagi zon Sabah, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berjaya mencapai objektif dalam usaha merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak merentasi kementerian serta agensi Persekutuan dan negeri, syarikat swasta, para usahawan dan warga Sabah yang hadir memeriahkan program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata pelaksanaan Program MADANI Rakyat 2024 bagi zon Sabah itu merupakan kolaborasi antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama KPDN dan kerajaan Sabah.

Beliau berkata pengisian program itu melibatkan 36 unit reruai kementerian dan agensi Persekutuan dan kerajaan Sabah selain penglibatan sektor swasta dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung.

Armizan berkata sebanyak 215 Perkhidmatan Touchpoint Rakyat merupakan antara komponen yang disediakan pada program itu, selain turut melibatkan 118 usahawan Jualan MADANI.

“Turut disediakan ialah pameran aset oleh empat agensi kerajaan, 14 majikan di karnival kerjaya, 40 acara sesi libat urus pentas, 20 aktiviti luar, 28 perkhidmatan kos sara hidup dan 18 aktiviti agenda belia,” katanya.

Pada majlis perasmian, Armizan berkata inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) turut dilancarkan sebagai langkah strategik kerajaan menerusi KPDN untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan serta ketirisan melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Beliau berkata penyampaian surat hak milik tanah individu (Native Title) kepada wakil penerima dari lapan daerah turut diadakan pada majlis itu dan usaha berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

Ia dilaksanakan melalui bantuan peruntukan kerajaan Persekutuan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM yang dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Armizan berkata objektif PANTAS antaranya adalah untuk memelihara dan melindungi kepentingan Anak Negeri Sabah atas tuntutan hak tanah adat dan pemilikan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah.

Majlis perasmian program itu turut menyaksikan Perdana Menteri menyerahkan cek cura kepada wakil penerima Program Sejahtera Komuniti MADANI bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendekatan program berasaskan komuniti dan melancarkan Nombor Plat Istimewa MADANI bagi tujuan bidaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan