WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CEO LHDN Dilantik Presiden CATA Bagi Penggal 2024-2027

24/10/2024 12:44 AM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA) bagi penggal 2024-2027, berkuat kuasa semalam.

Pelantikan itu diumum semasa Persidangan Teknikal CATA ke-44 di Mauritius.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu mencerminkan kepercayaan penuh negara-negara anggota terhadap kepimpinan Abu Tariq untuk menerajui CATA.

"Ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap Malaysia dan LHDN tetapi juga terhadap ketokohan dan komitmen tinggi Abu Tariq untuk membawa pertubuhan ini ke tahap yang lebih tinggi," menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan pengiktirafan itu turut mengangkat suara Malaysia di persada dunia dalam membawa hala tuju yang dinamik sekali gus memangkin pentadbiran percukaian lebih mampan.

CATA adalah pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 negara Komanwel dan juga terbesar di dunia mengikut bilangan keahlian dengan objektif utama untuk membantu anggota mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pentadbiran percukaian.

Sehingga kini, CATA memainkan peranan penting dalam mempromosi pemodenan pentadbiran percukaian dan penggunaan polisi, proses serta prosedur kerja yang efisien dalam kalangan anggota Komanwel terutama negara-negara membangun.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan