WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Analisis Lanjut Bagi Ketahui Punca Pencemaran Pantai Esen - Exco

26/10/2024 08:00 PM

GEORGE TOWN, 26 Okt (Bernama) -- Bendasing yang menyebabkan pencemaran Pantai Esen di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dekat sini masih belum diketahui, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati bendasing itu mengandungi kekotoran yang memerlukan analisis lanjut dan kerajaan negeri memandang serius sebarang insiden pencemaran kerana memberi kesan kepada ekosistem laut serta kehidupan penduduk.

"Kita perlu tunggu keputusan ujian sama ada ia (bendasing) datang dari laut atau kerja tapak, tetapi buat masa ini kita tidak boleh membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak sehingga punca sebenar diketahui yang kita akan maklumkan kelak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada Khamis lepas berkata beberapa sampel telah diambil di tiga lokasi di pantai berkenaan pada 21 Okt untuk dianalisis.

Media sebelum ini melaporkan keadaan Pantai Esen yang dipenuhi lumpur dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman, dipercayai ada kaitan dengan projek penambakan yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata pihaknya melalui pemaju projek telah menggerakkan 10 pekerja hari ini untuk membantu membersihkan kawasan berkenaan.

“PIC mengambil maklum kebimbangan komuniti berhubung kejadian selut di Pantai Esen dan sementara kerja pembersihan ini dijalankan, PIC juga bekerjasama rapat dengan pakar alam sekitar yang sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi memahami punca kejadian ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan