WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tidak Semua Benjolan Pada Payudara Simptom Kanser - Pakar

27/10/2024 10:05 AM

JITRA, 27 Okt (Bernama) -- Tidak semua benjolan yang terjadi pada bahagian payudara adalah simptom penyakit kanser, namun pemeriksaan kesihatan wajib dilakukan bagi mengelakkan sebarang risiko.

Pakar Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Sungai Petani Dr Shazril Imran Shaukat berkata setiap individu tidak boleh mengambil mudah terhadap perubahan pada diri mereka dan perlu memanfaatkan akses kepada pemeriksaan kesihatan yang disediakan sama ada swasta mahupun hospital kerajaan.

"Kanser agak susah untuk dikenal pasti sebab ia boleh menyerupai penyakit lain yang kurang bahaya, contohnya simptom biasa kanser payudara adalah ketulan (benjolan) di payudara, namun majoritinya adalah bukan kanser.

"Jadi untuk tahu adakah itu (benjolan) kanser ataupun tidak, kena buat pemeriksaan mendalam atau disebut triple assesment, yang ada prosedur, langkah demi langkah untuk mengetahui apakah benjolan itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Forum Kesihatan: Rawatan Kanser Payudara Komprehensif dan Holistik sempena Sambutan Pink Oktober yang juga Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia, di Tasik Darul Aman Park sini.

Dr Shazril Imran berkata rakyat negara ini sangat bertuah kerana akses kepada pemeriksaan kesihatan sangat mudah serta selesa dan mereka mempunyai banyak pilihan bergantung kepada kemampuan masing-masing.

"Di United Kingdom misalnya, nak berjumpa doktor anda kena buat janji temu sama ada swasta atau kerajaan, tiada langsung walk in, tapi di sini kita boleh terus ke klinik, doktor akan periksa dan jika ada keraguan boleh terus rujuk kepada doktor pakar dan kalau dapat kesan awal, insya-Allah penyakit boleh sembuh," katanya.

Sementara itu, Pakar bedah Am (Payudara dan Endokrin) Hospital Pantai Sungai Petani Dr Norhashimah Khadir berkata kebanyakan pesakit kanser di negara ini dikesan apabila sudah berada di tahap tiga berbanding di negara jiran Singapura, biasanya individu dikesan pada tahap satu atau dua.

"Tahap kesedaran rakyat kita masih rendah... Kalau tahap satu kadar penyembuhan adalah hingga 90 peratus, tahap dua 70 peratus, tahap tiga 50 peratus dan tahap empat hampir kosong," katanya.

Beliau berkata apabila bercakap mengenai kepentingan mamogram dalam pengesanan awal kanser payudara, banyak individu agak keberatan untuk melakukan pemeriksaan tersebut kerana menganggap prosedur itu menyakitkan.

"Mamogram ni bagus kerana walaupun ketulan belum ada, ia sudah boleh kesan ciri-ciri awal kanser. Memang sakit sedikit bila payudara dikepit, tapi tak ada lebam atau perlu makan ubat selepas tu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata individu berusia 40 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai risiko seperti mempunyai ahli keluarga pesakit kanser, sangat digalakkan untuk melakukan ujian mamogram bagi mempercepatkan proses rawatan sekiranya mereka disahkan menghidap penyakit kronik itu.

Pakar Perubatan Paliatif Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Dr Fazlina Ahmad berkata kekuatan dalaman pesakit kanser boleh 'diubah suai' dan mereka sebenarnya boleh menjalani hidup dengan lebih bermakna.

"Walaupun hidup dengan kanser, mereka boleh hidup seperti biasa. Fungsi utama rawatan paliatif adalah untuk memberi keselesaan serta kualiti kehidupan terbaik kepada pesakit kanser.

"Rawatan paliatif sangat penting dan kita akan bantu dari segi pengurusan emosi, kenal pasti gejala kemurungan dan bantu pesakit dari segi sosial serta menangani isu kerohanian.

"Tujuan rawatan paliatif adalah keluarkan pesakit daripada kepompong agar mereka hidup dengan lebih bermakna walau apa juga tahap kanser dihidapi. Sebut paliatif, ramai takut tapi sebenarnya ada pesakit kita yang bertahan kerana kita bantu mereka untuk kembali berdiri atas kaki mereka sendiri," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan