WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Permintaan Untuk Bangunan Hijau Di Malaysia Dijangka Capai 10 Juta Kaki Persegi Setiap Tahun

28/10/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Permintaan untuk bangunan hijau (bangunan yang bercirikan teknologi binaan mesra alam semulajadi) di Malaysia dijangka meningkat dengan ketara untuk beberapa tahun akan datang, berpotensi mencecah sekitar 10 juta kaki persegi setiap tahun.

Bagaimanapun, permintaan itu tidak dicapai buat ketika ini, menurut JLL Appraisal & Property Services Sdn Bhd (JLL Malaysia).

Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia, Yulia Nikulicheva berkata bekalan bangunan hijau yang mencukupi boleh dicapai sama ada dengan menaik taraf inventori sedia ada atau dengan membina struktur baharu.

“Saya percaya ini adalah isu kompleks kerana banyak bangunan lama berpotensi untuk dinaik taraf dengan ciri hijau.

“Bagaimanapun, pada masa ini aspek kewangan mencabar dan beberapa bangunan juga mungkin digunakan semula untuk kegunaan lain,” katanya pada sidang media untuk Laporan Office Market Dynamics untuk suku ketiga 2024.

JLL Malaysia adalah unit Jones Lang LaSalle IP Inc, sebuah syarikat pengurusan pelaburan dan hartanah komersial global disenaraikan di Bursa Saham New York.

Nikulicheva berkata pasaran bangunan hijau di Malaysia menunjukkan prestasi baik walaupun masih ketinggalan berbanding Singapura yang mempunyai bahagian ruang hijau lebih tinggi.

"Berbanding Hong Kong, di sana nisbah kawasan hijau agak rendah, kita menunjukkan prestasi baik," katanya.

Beliau berkata beberapa pasaran pejabat lama seperti di Jepun dan Hong Kong menghadapi cabaran yang lebih besar dalam transformasi.

“Di Malaysia, kedudukannya baik kerana banyak bangunan telah dibina baru-baru ini. Walaupun ia mungkin tidak mempunyai ciri hijau, kami melihat bahawa pemilik bangunan ini boleh melaksanakan transformasi hijau.

“Mulai tahun ini, kami telah melihat lebih pemilik tanah/bangunan menjalankan inisiatif pelanggan dalam amalan hijau dan tahun depan mungkin akan menjadi penting untuk perkembangan ini. Saya percaya bahawa beberapa tahun akan datang, kita akan melihat lebih banyak kemajuan,” tambahnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan