WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sobri Anuar Jadikan Pemuda Autistik Sebagai Inspirasi Demi Bahalol

28/10/2024 08:48 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Tidak mengharap pada skrip semata-mata untuk memahami dan mendalami watak pemuda autistik bernama Bilal yang dilakonkannya dalam drama Bahalol, Sobri Anuar menyelami kehidupan seorang lelaki Cina yang mengalami keadaan serupa.

Kemampuan lelaki autistik berusia 40-an itu menguruskan kehidupannya dengan baik dijadikan rujukan oleh aktor berkenaan sehingga berjaya membawa watak tersebut dengan cemerlang, dan dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024), Sabtu lepas.

Sobri atau nama sebenarnya Mohd Sobri Anuar Mohd Tarmizi, 48, berkata watak itu memerlukannya melakukan pembacaan dan kajian mendalam agar dapat memahami dengan lebih jelas tentang autisme.

“Biasanya, kita selalu melihat autisme dalam kalangan kanak-kanak, tetapi apa pula yang berlaku apabila mereka mencapai usia dewasa? Saya akhirnya menjumpai seorang lelaki Cina dewasa yang mengalami autisme tetapi mampu hidup berdikari hasil didikan ibu dan bapanya. Dia menjadi inspirasi saya untuk watak ini.

pic-2

"Oleh sebab itu, kesedaran awal terhadap masalah ini sangat penting agar mereka boleh terus bertahan dan ibu bapa juga dapat memberikan persekitaran yang lebih baik, seterusnya menyokong perkembangan anak mereka,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak ASA 2024, Sabtu lepas.

Bersyukur atas kejayaan itu, Sobri menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Que Haidar selaku pengarah drama Bahalol, selain turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada arwah bapanya Mohd Tarmizi yang meninggal dunia setahun lepas.

"Saya sangat berterima kasih kepada Que Haidar kerana watak ini asalnya adalah untuk dia. Saya anggap saya bertuah atas rezeki ini. Alhamdulillah. Lagipun, ini adalah majlis anugerah pertama yang saya hadiri selepas 35 tahun terlibat dalam bidang ini.

"Ayah merupakan penyokong utama saya. Drama ini cerita terakhir yang dia tonton sebelum meninggal dunia. Dia sebenarnya jarang menonton lakonan saya, tetapi cerita ini, dia melihatnya hingga habis, dan ibu beritahu ayah menangis ketika menontonnya," kata Sobri.

pic-3

Berkongsi perasaan serupa, seniwati Liza Othman, 63, yang dinobatkan sebagai  Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menerusi naskhah sama, mengakui terpaksa membatalkan hasrat untuk bersara dari dunia lakonan demi menjayakan drama tersebut. 

"Sebenarnya, saya dah banyak kali cuba berhenti berlakon, tapi saya kembali berlakon atas sebab ajakan rakan lama selain kerana naskhah yang bagus. Tapi saya hanya buat untuk drama yang tidak memerlukan masa (penggambaran) yang lama,” katanya.

"Saya mahu berhenti kerana penat dan juga kerana sudah mula melukis. Selain itu, saya juga ada galeri sendiri. Pada masa sama, saya dan adik-beradik lain juga masih menjaga mak dan ayah, jadi masa untuk berlakon tidak ada," tambah beliau.

Pelakon filem Rahsia ini menyifatkan kejayaannya itu sebagai sesuatu yang bermakna kerana kemenangan tersebut adalah yang pertama buatnya selepas hampir empat dekad dalam industri.

"Saya sangat gembira. Ini adalah produksi yang kecil, tetapi semua orang bekerja keras dan melakukan tugas dengan baik. Sepanjang dalam industri, saya tidak pernah terfikir untuk mendapatkan anugerah. Saya tidak berlakon untuk mengejar penghargaan," katanya.

Bahalol mengisahkan seorang lelaki autistik berusia 40-an bernama Bilal dan ibunya, Rokiah yang sentiasa berusaha memastikan anaknya itu dapat hidup berdikari seperti individu normal.

pic-4

Drama arahan dan idea asal Que Haidar yang diterbitkan oleh Gambo TV ini turut diangkat sebagai Drama TV Terbaik, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi serta menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM200,000.

Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, 45, menyifatkan drama sulung arahannya itu sebagai sesuatu yang sangat dekat di hatinya.

"Saya dapat idea untuk membuat drama ini dua tahun sebelum menjalani penggambaran. Idea tercetus kerana saya mahu berlakon dengan seniwati Liza. Saya memang dah lama mahu bekerjasama dengan Liza kerana lakonannya yang mantap.

"Asalnya watak Bilal untuk saya, tetapi selepas berjumpa Sobri, saya rasa dia adalah individu yang paling tepat untuk memainkan peranan itu. Oleh itu, kami bertukar peranan," katanya yang turut menggondol Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik pada ASA 2024 menerusi drama Lebai Sampan.

pic-5

Sekalipun tidak menampilkan wajah-wajah popular, penerbit drama berkenaan Mohd Azrai Fahmi Mohd Zain percaya dengan kekuatan skrip dan naskhah yang disiarkan di TV Okey pada 2022 itu.

"Walau apapun cerita, tunjang utamanya ialah naskhah dan skrip yang bagus. Jadi, apabila ada peluang, kami semua melakukannya bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, saya percaya akan kebolehan 'trained actors', maksudnya pelakon yang ada ilmu dalam lakonan, akan dapat memberikan hasil berbaloi kerana mereka mempunyai kecerdasan emosi dan disiplin yang tinggi," katanya.

Mohd Azrai Fahmi turut menyifatkan pemberian dana DKK bagaikan talian hayat buatnya bagi menghasilkan lebih banyak karya kreatif dan malar segar, kerana dana merupakan masalah terbesar penerbit sepertinya, terutama selepas COVID-19. 

"Apabila berlaku bencana, industri kita paling cepat ditutup tetapi paling lewat dibuka. Kita seolah-olah berada di pinggiran, jadi bila ada bantuan kewangan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan